Padang Merbuk menjadi monumen penting yang menatang dan menyaksikan perhimpunan aktivis seni yang menggelegak pada dekad 1980-an. (Gambar hiasan).

Oleh Ku Seman Ku Hussain

TAHUN 1970-an dan 1980-an adalah dekad kebangkitan ekspresi seniman di Kuala Lumpur.  Mereka berekspresi dengan karya seni yang berada di tangan – sastera, teater dan lukisan. Pada dekad yang dibelenggu kemiskinan itu, mereka bercakap dengan karya seni mewakili rakyat tertindas.

Menariknya mereka dalam kalangan orang muda, rata-rata berusia awal 20-an hingga pertengahan 30-an. Tetapi memperlihatkan kematangan berfikir dan menanggapi isu rakyat yang penting. Karya-karya mereka menjadi manifestasi sosial yang berlaku di sekitar masyarakat.

Kemunculan seniman itu diawali dengan  kelompokan yang menamakan mereka Anak Alam pada  dekad 1970-an.  Dalam Anak Alam ada penyair,  pemain teater, penulis dan pelukis. Ekspresi mereka tampak dalam karya. Sekaligus menjadi jurubicara rakyat berdepan bermacam-macam cabaran.

Bagaimanapun ketika saya menjejak kaki ke Kuala Lumpur tahun 1984,  Anak Alam sudah tidak seaktif seperti tahun 1970-an. Tetapi kegiatan berpusat di sebuah banglo kolonial di tepi Padang Merbuk yang dinamakan Rumah Anak Alam tidak terhenti.

Berdekatan Rumah Anak Alam ada Rumah Teater Kreatif. Rumah ini dikendalikan oleh Grup Teater Kreatif yang dipimpin tokoh teater Mior Hashim Manap dan isterinya Izaidah Khairan.  Grup Teater Kreatif bukan sahaja aktif mementaskan teater malah membimbing bakat-bakat baharu.

Mengangkat dua kumpulan ini – Anak alam dan Grup  Teater Kreatif bukan menafikan banyak lagi kumpulan teater yang mengisi dekad 1980-an sebagai kemuncak seni teater di Kuala Lumpur. 

Cuma KBN, Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif dihubungkan antara satu dengan lain oleh Padang Merbuk.  Tulisan saya kali ini melihat Padang Merbuk yang besar signifikannya dengan ekspresi seniman muda di Kuala Lumpur.  Kawasan lapang yang menghijau itu sering menjadi lokasi pertemuan kecil aktivis seni.

Padang Merbuk  menjadi lebih diingati apabila sekretariat Perhimpunan Penyair Muda 1978 memilih padang ini sebagai lokasi utama.  Ini perhimpunan terbesar yang menghimpunkan beratus penyair muda dari seluruh negara – berdiskusi tentang sumbangan dan masa depan seni.

Memperkatakan tentang epskresi seniman muda dalam Perhimpunan Penyair Muda 1987 tentu sahaja tidak boleh melupakan penat lelah mereka seperti Mohamad Daud Mohd, Hanafiah Samad, Swanlerd Pro Poul, Imlan Adabi,  Pyanhabib, Ladin Nuawi, Aziz HM, Azmi Yusof, Kumpulan Kopratasa dan banyak lagi. Merekalah antara yang menzahirkan satu perhimpunan seniman muda terbesar dalam keadaan yang serba kurang.

A Samad Said dan  Usman Awang turut hadir memberi sokongan walaupun bukan lagi dalam kelompok penyair muda.  Malah banyak penyair yang mapan lain turut memberikan sokongan menyemarakkan  penyair muda berekspresi. Walaupun saya tidak terlibat secara langsung, tetapi tetap berkeliaran di perhimpunan ini.

Ini adalah ekspresi kebangkitan  seniman anak muda. Kebangkitan golongan seniman dekad 1980-an ini menjadi satu catatan penting dalam sejarah negara. Selepas merdeka, gerakan seniman dekad 1980-an  adalah yang paling tertonjol menyuarakan isu-isu sosial yang membelenggu rakyat selepas Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) pada dekad 1950-an.

Mereka dalam kalangan seniman muda – lingkungan 20-an hingga 30-an. Bagaimanapun kesedearan sosial membuatkan mereka bangkit dengan berani berpaksi seni yang ada di tangan.  Padang Merbuk menjadi monumen penting yang menatang  dan menyaksikan perhimpunan aktivis seni yang menggelegak ini.

Kenapa di Padang Merbuk?  Saya tidak tahu apakah yang membuatkan sektetariat perhimpunan memilih Padang Merbuk.  Bagaimanapun pemilihan itu sangat tepat kerana sebelum itu di Padang Merbuk sudah menjadi tempat pertemuan kecil-kecilan dalam kalangan aktivis seni.

Saya sering mengikuti acara kecil-kecilan seperti itu diadakan di Padang Merbuk serta beberapa tempat awam lain seperti Taman Tasik Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa.  Mereka berkumpul secara tidak formal kemudian berdiskusi atau mendeklamasi puisi.

Maknanya ketika itu ekspresi seni golongan muda sudah merakyat sifatnya. Kebangkitan mereka sangat ketara hingga acara baca puisi di bawah tiang lampu di Central Market menjadi fenomena. Seniman muda menyusur di mana-mana malah seluruh negara.

Menariknya waktu itu aktivis seni tidak terasuk dengan ideologi politik kepartian.  Malah tidak ada perhimpunan haram di tengah-tengah Kuala Lumpur yang memperalatkan orang muda sebagai barisan depan. Aktivis seni mengambil endah perihal rakyat dengan cara yang tertib.

Malah sepanjang pengetahuan saya, pada dekad 1980-an tidak sekalipun Padang Merbuk dicemar oleh perhimpunan yang berbau politik. Tidak ada.  Kalau perhimpunan di Padang Merbuk, tentu sahaja dirujuk pada Perhimpunan Penyair Muda 1987. Tidak seperti tahun-tahun terakhir ini  di mana Padang Merbuk sudah menjadi lokasi perhimpunan politik.

Sebenarnya di tengah-tengah Kuala Lumpur sudah tidak ada padang yang lapang. Padang hijau yang boleh memberikan ketenangan pada mata yang telalu banyak melihat kota batu yang memutih. Kota yang kehilangan hijau terasa  seperti terhenti degup kehidupan alamnya.

Pembangunan begitu rancak dan tanah menjadi suatu yang sangat berharga bagi pemaju. Seingat saya hanya dua padang di tengah Kuala Lumpur yang tidak diusik.  

Pertama Padang Kelab Selangor yang kemudiannya pada 1990 ditukar menjadi Dataran Merdeka dan kedua, Padang Merbuk. Ini tentunya disebabkan pendirian yang diambil oleh  penguasa Kuala Lumpur supaya ada padang  hijau di tengah bandar raya itu.

Saya masih ingat kata-kata Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, Allahyarham Tan Sri Elyas Omar yang bercita-cita menjadikan bandar raya itu sebagai kota dalam taman.  Maka pelestarian Padang Merbuk menjadi bukti usaha dan gagasan Elyas pada Kuala Lumpur.  Padang Merbuk memberikan ciri-ciri taman pada Kuala Lumpur yang penuh batu.

Padang Merbuk yang letaknya di sebelah kiri di Jalan Parlimen menuju arah bangunan Parlimen. Sebaik sahaja masuk ke Jalan Parlimen  di sebeah kanan kita akan nampak padang luas yang menghijau.  Jauh di hujung kelihatan kampus induk Aswara.

Saya selalu berjalan kaki dari Puduraya atau Bangkok Bank yang menjadi hentian utama bas mini. Kemudian menyusur ke Lebuh Pasar dan masuk ke Jalan Tun Perak sebelum terus ke bulatan berhampiran Bank Negara. Dari situ terus rentas Padang Merbuk untuk ke ketiga-tiga tempat tadi.

Selepas tiga dekad kemudian, sesekali ada masa terluang saya masih bemersra dengan rumput-rumput menghijau di Padang Merbuk. Suasananya amat melekakan dan tidak terasa berada di kota metropolitan yang penuh batu. Cuma yang  bezanya sudah tidak ada kawan-kawan aktivis seni berkumpul di bawah pokok di tepi padang seperti dulu.

Saya amat berharap supaya penguasa Kuala Lumpur terus melindungi padang hijau itu daripada segala percubaan merosakkan atas nama pembangunan.  Itu taktik lama. Kuala Lumpur pasti tidak akan menjadi mundur kalau terus pertahankan padang hijau yang satu ini. (Wilayahku 24 Disember 2021).

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *