Satu adegan filem The Godfather arahan Francis Ford Coppola tahun 1972.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

FILEM The Godfather (1972) arahan Francis Ford Coppola menjadi pantulan gagasan ‘American Dream yang secara idealnya memberikan peluang sama rata kepada rakyat asal dan pendatang menikmati hidup yang sempurna di Amerika.  Malah American Dream juga yang terus ‘menghidupkan’ The Godfather selepas setengah abad (50 tahun) pembikinannya.

American Dream terlalu ideal  dan kenyataan adalah sebaliknya.  Keadilan sosial yang dijanjikan kepada pendatang dimungkiri dan  The Godfather mengangkat  dan membongkar sisi gelapnya.

Watak utama Vito Corleone (Marlon Brando) seorang mafia yang berpengaruh adalah hasil manipulasi American Dream.  Vito Corleone keturunan Itali – Amerika menikmati kehidupan ultra mewah dengan kerjaya mafia dan Coppola  membuktikan American Dream sudah dipergunakan secara tidak bermoral.

Vito Corleone mengecapi kehidupan mewah dengan kegiatan menyalahi undang-undang dan moral.  Dengan pengaruh yang ada  dia membunuh semua yang dianggap penghalangnya daripada terus berkuasa. Malah secara tidak langsung  The Godfahter mengkritik kapitalisme Amerika yang terpesona dengan  nilai ringgit bukan keadilan yang dijanjikan dalam American Dream.

Filem ini dibuka dengan dialog berbunyi, “I believe in America.”  Dialog itu disampaikan kepada penonton dalam keadaan layar gelap yang secara semiotiknya membawa maksud sisi gelap American Dream.  Kemudian kamera bergerak perlahan-lahan hingga kelihatan lelaki keturunan Itali – Amerika, Amerigo Bonasera.

Adegan awal ini adalah kunci pada adegan yang seterusnya dalam The Godfather. Bonasera juga seorang pendatang yang berjaya kerana American Dream.  Dia pengusaha perkhidmatan pengurusan pengebumian yang berpengaruh dan perniagaannya berskala besar.  Tetapi makna American Dream antara mereka jauh berbeza –  Vito Corleone dengan kelicikan dunia mafia dan jenayah, sementara Bonasera  dengan cara sah di sisi undang-undang.

Francis Ford Coppola (dua dari kiri) ketika mengarah filem The Godfather tahun 1972.

Bagaimanapun Bonesera mulai mempersoalkan American Dream apabila anak perempuannya yang dibesarkan di Amerika dibunuh oleh teman lelaki daripada keluarga berpengaruh. Kerana Bonasera  keturunan Itali – Amerika dan pendatang, keadilan undang-undang dinafikan. Pembunuh anaknya dibebaskan. Kerana itu dia datang menemui Vito Corleone untuk menuntut bela.

Coppola kelihatan sangat kritikal pada Amerika, boleh jadi kerana asal usulnya Itali -Amerika yang dimangsai diskriminasi  secara sosial dan budaya. Di sebalik kehidupan dunia mafia,   Amerika bagi Coppola penuh sesak dengan moral dan sosial yang korup. The Godfather cuba menunjukkan bahawa manusia berebut dalam kehidupan yang korup itu.

Tayangan pertama filem The Godfather pada 15 Mac 1972 menanda kelahiran sebuah mercu tanda penting dalam perfileman Amerika.  The Godfather antara filem wajib tonton oleh sarjana dan pengkaji filem kerana melampaui paparan kehidupan mafia di Amerika tahun 1945.

Ketika filem ini dihasilkan, genre filem gangster bukanlah suatu yang baharu. Malah sudah menjadi genre filem yang popular dan menarik perhatian penonton. Ini kerana dunia gangster atau mafia sudah menjadi sebahagian kehidupan di Amerika.

Bagaimanapun keberadaan The Godfather telah memacak tanda aras baharu filem gangster . Ia sangat berbeza dengan yang lain.  Gangster di tangan Coppola menjadi jenama baharu  –  ada nilai manusia  dan pertentangan dengan realiti kehidupan yang membungkus. Kasih sayang, cinta dan ambil peduli diapungkan dalam filem yang bersalut ganas dan kejam ini.

Genre gangster sudah bermula awal dekad 1930-an. Little Ceaser tahun 1931 dikatakan filem gangster pertama dalam dunia perfileman Amerika. Bermula dari situ banyak filem yang menjejaki Little Ceaser dan mengambil peluang daripada keterpesonaan penonton terhadap genre baharu itu.

Antara yang sangat menonjol ialah Scarface (1932) arahan Howard Hawkes dan White Heat (1949) arahan Raoul Walsh. Bagaimanapun pendekatan genre gangster ini agak stereotaip – mafia muda berjuang dalam kerjaya jenayah ini  untuk menjadi kaya dan berkuasa.

Tetapi The Godfather sangat berbeza. Coppola membawa  filem dalam jalur yang lain. Kehidupan mafianya berbeza dan agak mengejutkan apabila mafia diangkat sebagai perniagaan keluarga yang kemudiannya diperturunkan kepada generasi selepasnya. American Dream tidak pernah menyoal tentang perkara ini.

Mafia dalam pengertian The Godfathter adalah organisasi jenayah yang sistematik dan sangat terancang.  Masa yang sama menjadi perniagaan keluarga yang diturunkan daripada generasi kepada generasi.  Coppola memperlihatkan kerakusan  budaya Amerika dalam mengukur dan mengenal pasti keluhuran  amalan dan sistem sosialnya.

The Godfather juga mengingatkan kita tentang sebuah karya besar yang teradun dengan kepedulian seni yang tinggi. Kepayahan yang merintangi pembikinan filem ini bukan kerana mengadaptasi novel berpengaruh oleh Mario Fuzo. Tetapi kepayahan yang ditanggap oleh pengarah untuk menghasilkan karya yang memantul realiti sosial Amerika.

The Godfahter terus hidup dan relevan dengan semua garis perubahan dalam sosiopolitik dan budaya yang berlapis-lapis. Setengah abad tidak pernah menjadikan ini sebuah ‘filem lama’ malah sentiasa terapung sisinya yang baharu dan menuntut pengkajian yang mendalam.

Ketika mengarah The Giodfahter, Coppola baru berusia 31 tahun dan merupakan ‘the angry young man’  dalam perfileman Amerika.  Bagaimanapun namanya agak tersorok dan tercorot kerana pengkaryaan yang mendatar. Tidak ada yang mengejutkan atau luar biasa pada zamannya. Maka tidak hairanlah kalau Coppola bukan pilihan pertama untuk mengarah The Godfahter yang mulanya berlatar dekad 1970-an dengan sulam seli budaya hippies.

Robert Evans yang bertanggungjawab mengambil Coppola mengarah The Godfahter dalam buku memoirnya, The Kid Stay In The Picture menulis, “Saya memilih pengarah Itali-Amerika supaya penonton boleh menghidu aroma spagheti. Tetapi Paramout Studio menawaran kepada banyak pengarah lain yang saya tidak begitu gemar kerja mereka.”

Masa yang sama Coppola sendiri berdepan dengan halangan, antaranya untuk menawarkan watak utama Vito Corleone kepada pelakon Marlon Brando.  Coppola tidak nampak pelakon lain dan gandingannya sebagai Micheal Corleone ialah Al Pacino. Maka dia bertegas untuk  memastikan The Godfather digerak dan dihidupkan oleh kedua-dua pelakon itu.

The Godfather pernah memenangi Oscar Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Marlon Brando) dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik (Francis Ford Coppola) pada Anugerah Academy ke 45 tahun 1973.  Bagaimanapun Brando menolak menerima trofi Oscar. Dia hanya menghantar wakil naik ke pentas dan membaca kenyataan 15 halamannya.

Brando memprotes layanan buruk dunia perfileman Amerika terhadap pelakon yang datang dari luar Amerika. Kini selepas seengah abad,  persembahan luar biasa Brando, Al Pacino dan Coppola terus diperkatakan. Karya yang baik  ternyata tidak pernah memusuhi zaman malah sentiasa selari dengan semua zaman. – Utusan Malaysia 28 Februari 2022.

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *