Pelakon Imuda, N Nasir dan Pyanhabib dalam satu Satu adegan filem Kembara Seniman Jalanan.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PADA dekad 1980-an, bidang perfileman dam muzik terbiar tumbuh terbiar dan tanpa peduli. Tidak ada pembelaan  yang bersungguh-sungguh terhadap pencabulan hak karyawan yang dimangsai kartel cetak rompak. Karyawan hidup melarat kerana tiada daya untuk berlawan dengan kartel itu.

Seingat saya itulah zaman di mana sistem dan elit berkuasa yang korup memberi peluang kartel dan mafia cetak rompak bermaharajalela.  Undang-undang memang ada tetapi tersimpan dalam almari. Akibatnya kartel dan mafia ini merompak sesuka hati.

Walaupun tidak ada statistik, tetapi dijangka ekonomi hitam (black economy) berpunca daripada cetak rompak itu bernilai berpuluh juta ringgit dan mengalir ke dalam poket kartel dan mafia. Sedikit pun tidak tempias kepada rakyat, jauh sekali kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana sifatnya yang ‘hitam.’

Saya berdiri di tengah-tengah zaman yang penuh  gelora korupsi itu dan menyaksikan dengan mata kepala sendiri  dekad keruntuhan akhlak sesetengah elit penguasa.  Banyak dirakamkan dalam tulisan dan  selebihnya  pada ingatan  tentang karyawan yang dimangsai sistem tidak adil.

Seingat saya tidak ada seorang pun kartel yang menyedut berpuluh juta ringgit hak karyawan dihukum. Tidak ada. Kalau ingatan saya salah, mereka yang ada fakta boleh tolong membuktikan sekaligus membetulkan.

Nasir Jani ketika mengarahkan Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Ketika berdepan dengan zaman penuh duga itulah  bangkit seorang  karyawan muda, Nasir Jani dengan filem sulungnya filem Kembara Seniman Jalanan (1986).  Berlatarkan Kuala Lumpur yang pesat membangun, filem itu memperlihatkan kebangkitan golongan karyawan berperang dengan kartel cetak rompak.

Filem ini sebenarnya terkeluar daripada lumrah zaman.  Ketika Kembara Seniman Jalanan dihasilkan, filem tempatan penuh dengan kisah cinta setengah masak dan komedi yang hilang jenaka. Kembara Seniman Jalanan menongkah lumrah ini.  Tidak ada resipi cinta dan komedi seperti selalu – isunya keras, lantang dan penuh pemberontakan.

Kembara Seniman Jalanan adalah filem pemberontakan  selepas Hang Jebat (1961) oleh Hussein Hanif, Pemburu (1982) dan Matinya Seorang Patriot (1984) kedua-duanya arahan Rahim Razali.  Selepas itu muncul Kembara Seniman Jalanan. Sebenarnya itu sebuah ‘filem perang.’  Berperang dengan kartel dan mafia cetak rompak yang tidak diendah elit penguasa.

Nasir Jani mengangkat pemikiran sosial anak muda sekaligus membawa idealisme mereka kepada khalayak. Muzik rock menjadi wadah ekspresi idealisme anak muda. Kembara Seniman Jalanan menyatukan ‘pemberontak’ dengan muzik rock untuk menuntut hak mereka yang dirompak.

Melalui Kembara Seniman Jalanan, Nasir Jani memberi suatu yang jauh lebih besar berbanding beliau mendapat daripada zamannya.  Filem ini dilihat ganas dan liar daripada sudut pandangan pemikiran yang terkepung oleh sistem yang korup.

Kembara Seniman Jalanan juga menjadi tanda sejarah yang penting dan terlepas daripada rakaman banyak sejarawan. Filem ini adalah perakam dan saksi pada zamannya dan dalam konteks filem ini adalah pencabulan dan merompak hak karyawan.

Advertisement

Kegiatan cetak rompak dilakukan tanpa sedikit pun rasa gentar.  Kartelnya kebal dan kaya raya daripada gemerlapan dunia filem dan muzik.  Apakah elit penguasa sebenarnya gagal menjejak kartel dan mafia ini? Tidak mungkin.  Buktinya pada dekad itu membeli video atau kaset cetak rompak lebih mudah daripada kacang putih.

Nasir Jani

Sebenarnya Nasir Jani melampaui filem arahannya. Beliau tidak sekadar pengarah atau karyawan filem malah menjadi pemberontak hingga di luar filem. Bagaimanapun Nasir Jani bukan ‘budak nakal’ yang memberontak tanpa sebab.

Beliau menyerbu sendiri kedai yang menjual pita video Kembara Seniman Jalanan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur antaranya di Pertama Kompleks.  Saya menyaksikan peristiwa kegigihan dan iltizam yang luar biasa itu untuk menyelamatkan haknya.

Sebaliknya Nasir Jani pula yang dikenakan tindakan kerana dituduh menceroboh premis. Bayangkan, hendak diharapkan elit penguasa tidak ke manalah jawabnya. Mengambil tindakan sendiri pula menyalahi undang-undang. Sekali lagi kartel dan mafia terlepas daripada pandangan.

Belum ada karyawan yang sanggup turun ke jalanan mempertahankan karyanya.  Nasir Jani memulakan kerja yang dilabelkan sebagai samseng itu. Dekad 1980-an hingga 1990-an menuntut keberanian yang luar biasa  untuk menyelamatkan rezeki yang hampir sampai ke mulut jatuh ke tangan kartel.

Dalam keadaan yang sedemikian,  memberontak dalam karya sahaja belum cukup.Untuk melawan kartel memaksa Nasir Jani bertindak selangkah ke depan dan  memberontak di luar filem.  Banyak yang setuju dengan tindakan itu,  tetapi tidak banyak yang punya kemampuan untuk berbuat demikian. 

Harga yang perlu dibayar terlalu mahal. Kepada mereka yang bergantung hidup dalam bidang ini, tentu sahaja berfikir berpuluh kali untuk memberontak seperti Nasir Jani. Malah banyak juga yang takut mendekati Nasir Jani yang dilabel pemberontak.

Kelantangan Nasir Jani membuat beliau terpaksa mengharungi fragmen paling hitam dalam hidupnya. Hukuman paling tidak berperikemanusiaan pernah diterima adalah diharamkan daripada berkarya – membuat filem atau drama televisyen.

Ini membuatkan beliau hilang ‘suara’ dan punca rezeki untuk menyara keluarga. Bagaimanapun Nasir Jani tidak pernah undur kerana tindakannya  punya matlamat yang jelas. Beliau realistik dan amat faham akan akibat daripada tindakannya.

Buku terbaru beliau, Pemberontakan Filem II terbitan RABAT – LIT yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang lalu adalah suara pemberontakan Nasir Jani. Melalui buku ini beliau melontar kritikan dan pemikiran sambil merakam sejarahnya yang silam.

Anak semua bangsa yang lahir selepas era Nasir Jani wajar membaca buku ini. Sejarah dan peristiwa ini tidak tercatat di mana-mana. Ini fragmen sejarah kebangkitan anak muda  pada dekad penuh korupsi yang terpadam. Ini sejarah. Tidak kenal sejarah tidak merdeka selama-lamanya. –  (UTUSAN MALAYSIA 13 JUN 2022)

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *