Sutan Puasa lebih awal membukan perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

YAP AH LOY atau Sutan Puasa?  Ini bukan persoalan baharu tetapi telah lama kedengaran dalam kalangan pengkaji sejarah.  Nama Yap Ah Loy memang sangat dominan dengan Kuala Lumpur.  Dia mendapat dokongan penjajah British yang yang mempunyai kepentingan terhadap perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur.

Siapa Sulan Puasa?  Ini sosok yang penting dalam sejarah Kuala Lumpur. Pemimpin masyarakat Mandailing yang datang dari Sumatera ini sudah lama wujud dalam catatan sejarah. Beliau individu mengasas Kuala Lumpur ketika Yap Ah Loy belum datang ke Kuala Lumpur lagi. Bagaimanapun namanya gugur sebagai pengasas Kuala Lumpur kerana manipulasi British untuk mendapat sokongan Yap Ah Loy.

Sejarah bukan benda mati. Sejarah adalah suatu yang dinamik dan apabila ditemukan fakta-fakta terkini yang kukuh,  perlu diteliti kesahihannya.  Fakta baharu tidak wajar dimusuhi, tetapi dipastian ketulenan dengan penyelidikan dan kajian. Dinamiknya sejarah adalah sedia menerima fakta baharu sebagai menggantikan yang sebelumnya.

Mengambil sikap berdiam diri pada fakta-fakta yang disokong kukuh oleh penyelidikan dan tahap ilmiahnya adalah tidak adil pada sejarah.  Bukti-bukti baharu kelihatan mempunyai asas kukuh menolak Yap Ah Loy sebagai pengasas Kuala Lumpur.

Oleh itu kerajaan tidak ada pilihan kecuali mengambil sikap yang proaktif –  berlapang dada kalau ada keperluan sejarah Kuala Lumur ditulis semula. Kepentingan sejarah ketika British mengangkat Yap Ah Loy sebagai pengasas Kuala Lumpur tidak sama dengan pentingnya Sutan Puasa pada Kuala Lumpur pada abad ke 21 ini.

Pengasas Kuala Lumppur  bukan Yap Ah Loy,  kapitan Cina itu hanya sekutu British yang ada kepentingan atas pelombongan bijih timah. (Gambar hiasan New Straits Times)

Kepentingan penjajah British terhadap Kuala Lumpur sudah menjadi tidak relevan. Malah melihat semula sejarah Kuala Lumpur bukan sebuah konspirasi untuk kepentingan mana-mana pihak.  Ketepatan sejarah adalah kepentinagn semua rakyat negara ini. Apa lagi berkaitan dengan sebuah ibu negara. Ketepatan sejarah menunjukkan sikap rakyat dan kerajaan terhadap sesuatu peristiwa besar negara ini.

Februari ini adalah sejarah bagi Kuala Lumpur.  Pada Februari ini 50 tahun lalu Kuala Lumpur  teranjak sekaligus melakarkan sejarah buat pertama kali ibu negara berstarus ‘bandar raya’.  Ini peristiwa besar yang melonjakkan nama Kuala Lumpur di persada antarabangsa, khususnya di Asia Tenggara ketika itu.

Status bandar raya perlu dilihat sebagai pencapaian ibu negara bekas tanah jajahan British yang baru 13 tahun mencapai kemerdekaan.  Menjadi sebuah bandar raya pula secara tidak angsung membawa Kuala Lumpur melebar di peta dunia. Ketika itu Kuala Lumpur meninggalkan Singapura dan lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

Sejak 50 tahun lalu  juga Kuala Lumpur mengorak maju sebagai ibu kota pentadbiran kerajaan Persekutuan. Pada masa yang sama menjadi pusat perdagangan ternama di rantau sebelah sini.  Kuala Lumpur menjadi setanding malah ada kalanya jauh lebih berkembang berbanding beberapa bandar raya di Asia Tenggara.

Maknanya sejarah kewujudan Kuala Lumpur itu sama penting dengan keberadaannya pada hari ini.  Maka sejarah Kuala Lumpur tidak boleh dipandang ringan kerana bandar raya ini berkembang dengan proses  tindak balas alam dan manusia yang semula jadi.

Daripada sudut sejarahnya Kuala Lumur bermula petempatan pelombong bijih timah oleh pelombong dari China  dan juga masyarakat Mandailing.  Walaupun banyak yang mengungkapkan perlombongan dikerjakan oleh pelombong  dari China,  hakikatnya orang Mandailing yang lebih awal menjadikan Kuala Lumpur pusat perlombongan.

Pembangunan Kuala Lumpur menjadi semakin terancang apabila pada 1 Januari 1974  Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan yang pertama dan ditadbirkan oleh kerajaan Persekutuan.  Wilayah Persekutuan kemudiannya berkembang menjadi tiga dengan kemasukkan Labuan dan Putrajaya.

Tetapi siapakah sebenarnya yang membuka Kuala Lumpur?  Yap Ah Loy atau Sutan Puasa?  Selepas ditemukan banyak fakta sejarah yang baharu,   Yap Ah Loy bukan lagi satu-satunya yang dikaitkan sebagai pengasas Kuala Lumpur.  Sutan Puasa  mempunyai hak daripada sudut sejarah berdasarkan beberapa fakta hasil penyelidikan ilmiah.

Mengambil sempena  50 tahun sebagai bandar raya, sejarah pembukaan Kuala Lumpur mesti dibetulkan.  Hakikatnya membetulkan sejarah yang tidak tepat bukan satu kerja mudah. Bagaimanapun tidak ada pilihan melainkan memulakan usaha memurnikan sejarah penting ibu negara kita.

Itu bukanlah suatu yang menghairankan kerana telah beratus tahun  kalau diambil zaman awal Kuala Lumpur, rakyat  ditanam dengan fakta bahawa Yap Ah Loy pengasas Kuala Lumpur. Tidak ada peluang untuk menentukan kesahihan kerana semuanya di tangan British.

Bagaimanapun selepas negara kembali kepada anak watan,  sikap sesetengah pihak terhadap manipulasi British juga sangat mengecewakan.  Pemikiran yang terjajah menjadi pemangkin sejarah pengasas Kuala Lumpur tidak dibahaskan selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Ini menunjukkan sikap sebenar dalam kalangan kita terhadap sejarah negara.

Maka buku Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur yang ditulis oleh Abdur Razzaq Lubis beberapa tahun lalu boleh dijadikan asas kukuh untuk melihat semula fakta sejarah pembukaan Kuala Lumpur.  Buku  ini dihasilkan dengan penyelidikan dan kajian yang sangat komprehensif.

Kalau selama ini ada pihak memberi alasan tidak ada asas dari manakah hendak bermula, kini sudah ada asasnya. Bergeraklah mencari kejernihan daripada fakta  daripada yang dipaparkan penulis buku ini.  Walaupun kita tidak boleh menerima secara melulu semua fakta dalam buku ini, tetapi mengabaikan tanpa meneliti adalah sikap yang tidak intelektual dan antisejarah.

Usaha menjernihkan fakta sejarah Kuala Lumpur bukanlah bertujuan menolak secara melulu kedudukan Yap Ah Loy sebagai pengasas Kuala Lumpur. Tetapi dengan keberadaan buku ini, kita mempunyai ruang untuk membandingkan antara dua fakta. Satu daripda naratif penjajah dan satu lagi hasil kajian ilmiah anak watan.

Untuk terus meletakkan Yap Ah Loy sebagai pengasas Kuala Lumpur,  semua pihak mesti bersepakat mengatakan fakta dalam buku Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur tidak betul. Bukan setakat mengatakan, tetapi dibuktikan dengan hujah bahawa fakta dalam buku ini tidak benar. Hujah mesti dilawan hujah, fakta mesti dilawan dengan fakta.

Bagaimanapun setakat ini tidak ada pihak yang mencabar kesahihan fakta dalam buku ini. Masa yang sama banyak pihak yang sepatutnya bersuara terus mendiamkan diri. Padahal mereka mempunyai peluang sama ada untuk terus meletakkan Yap Ah Loy sebagai pengasas Kuala Lumpur atau sebaliknya.

Dalam prakata buku ini, Profesor Emeritus Terry McGee dari Pusat Penyelidikan dan Geografi Asia, University of British Columbia di Kanada berkata, penyelidikan penulis buku ini menampilkan satu interpretasi baharu berhubung sejarah Kuala Lumpur.  Kenyataan ini membuktikan buku ini ada nilainya daripada sudut sejarah.

Maka permurnian sejarah Kuala Lumpur mesti bermula sekarang. Tidak perlu menunggu setengah abad lagi untuk mula bercakap atau berhujah mengenai pengasas Kuala Lumpur. Membiarkan polemik pengasas Kuala Lumpur tergantung memperlihatkan sikap sebenarnya sesetengah dalam kalangan kita terhadap sejarah di tanah air sendiri. (Wilayahku 18 Februari 2022)

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *