Oleh Mohd Ridwan bin Talib
PADA 19 Mac 2022 yang lalu genaplah setahun Korea Utara bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Ia berpunca daripada tindakan Malaysia mengekstradisi warga Korea Utara, Mun Chol Myong ke Amerika atas kesalahan melanggar sekatan ekonomi AS dan PBB ke atas Korea Utara.
Sebelum itu, Malaysia telah menghalau bekas duta Korea Utara ke Malaysia sebagai persona non grata lantaran kritikan keterlaluan terhadap Putrajaya sepanjang siasatan pembunuhan Kim Jong Nam pada 2017. Dalam satu wacana maya pada 2021, saya ditanya oleh seorang peguam senior; mengapa Malaysia tidak memutuskan saja hubungan dua hala dengan Korea Utara pada 2017?
Soalan yang bagus. Pembunuhan kejam Kim Jong Nam pada 13 Febuari 2017 ialah petanda marabahaya bahawa Malaysia bakal terjerembat ke kancah konflik diplomatik. Soalnya, adakah isu diplomatik enteng diselesaikan? Jika ya, mengapa tergalang hubungan Putrajaya-Pyongyang selama ini?
Bibit perkenalan kedua-dua negara bercambah pada awal 1970-an ketika Malaysia dipimpin Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Menariknya, hubungan diplomatik dimulai dengan aksi ping pong dan bola sepak persahabatan.
Dalam ranah diplomasi, langkah ini dipanggil sports diplomacy – seni diplomasi yang popular dan selanjar. Menyedari kedua-dua negara beraspirasi ke arah pergerakan berkecuali (Non-Aligned Movement), hubungan dua hala tersimpul rasmi pada 30 Jun 1973.
Begitulah dulu gambaran Korea Utara. Kini, ia umpama sebuah negara nyanyuk yang bergulat dengan keruntuhan ekonomi dan kecanduan ideologi. Jika Pyongyang mahu dunia bersuci hati, rejim Kim perlu mengocok semula polisi supaya telus dan manusiawi. Tiada lagi Juche (mandiri), hapuskan Songun (militarism) dan lupakan saja Byungjin (pembangunan serentak ekonomi dan senjata nuklear).
Semuanya bertujuan memimpin Korea Utara ke pangkuan masyarakat dunia. Matlamat sepunya hanya boleh dicapai jika Pyongyang dan dunia mengadaptasi langgam pentadbiran seragam seperti prinsip Rule of Law dan Natural Justice. Jika tidak, tentu The Hermit Kingdom terus tergelincir ke lurah kehancuran.
Korea Utara ialah sebuah negara yang diperkasa dengan senjata pemusnah Marcapada (Weapons of Mass Destruction) seperti senjata kimia yang membunuh Kim Jong Nam. Ia juga dilengkapi peluru berpandu Hwasong 15 – sejenis Inter-Continental Ballistic Missiles (ICBM) yang mampu menerobos sejauh 13 ribu kilometer dan berdaya mengangkut kepala peledak nuklear (nuclear warheads).
Maka, sudah bersediakah Malaysia berdepan retribusi rejim Kim jika terburu-buru menggentas hubungan diplomatik pada 2017?
Kebitaraan diplomasi wangsa Melayu bukan rahsia lagi. Kepimpinan negara mewarisi legasi seni diplomasi yang dipancang dwi-prinsip Non-Alignment dan Neutrality. Dinamisme dunia diplomatik memerlukan Malaysia menggembleng strategi Hedging untuk melindungi kepentingan strategik.
Layar diplomasi Malaysia tekal mengemudi polisi ke jajaran perdamaian, bukannya provokasi atau peperangan. Malahan, al-Quran sendiri menyaran dalam surah al-Hujurat ayat 9 agar ditenangkan dahulu dua pihak yang berbalahan.
Liciknya langkah Malaysia harus setajam akalnya. Usah ragu-ragu memanipulasi ‘jerangkung dalam almari’ untuk mengunci Pyongyang di meja rundingan – bahawa rejim Kim gagal dalam revolusi menjadi mandiri; bahawa Pyongyang berselindung disebalik hipokrasi lantaran masih berpaut di dahan hegemoni (misalnya China) demi menyelamatkan rakyat daripada kebuluran dan legitimasi kekuasaan.
Abaikan obsesi Kim terhadap senjata nuklear kerana ia akan memakan diri ibarat “matinya rusa kerana tanduknya.” Kalihkan obsesinya perlahan-lahan terhadap Sports Diplomacy sebagai asbab Malaysia memulih hubungan diplomatik yang berantakan.
Apatah lagi, tiada peruntukan jelas dalam Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961 sebagai pedoman negara-negara bergolak mencapai penyelesaian. Malaysia boleh saja membuka gelanggang diplomasi dengan Korea Utara di atas jaluran bilateralism sepertimana yang disepakati antara Malaysia dan China dalam isu Laut China Selatan.
Justeru, terserahlah kepada iltizam dan kreativiti dalam mencari jalan perdamaian, “tiada air hujan ditampung, tiada air peluh diurut, tiada air talang dipancung.”
Serempak itu, benteng keselamatan Malaysia haruslah siap siaga kerana dibimbangi “terkelap mata, hilang lading perinya.” Malaysia mesti berwaspada kerana Korea Utara sememangnya pakar memain makar ‘jarum halus, kelindan sutera.’ Jika lepa, isu diplomatik yang mengaibkan pasti berulang seperti terlepasnya Batu Putih ke tangan Singapura.
Malaysia pasti memulihkan hubungan diplomatik dengan Korea Utara meski berdepan pelbagai rintangan. Benar, Korea Utara sedang mereput. Namun, ia bakal direbut jika gagasan penyatuan Korea Utara dan Korea Selatan yang diusahakan sejak 2000 menjadi kenyataan.
Malaysia pula akan menerima laba berganda, hasil hubungan harmonis dengan kedua-dua Korea. Sungguhpun berdamai kadang kalanya sulit, nescaya terhindarlah Malaysia daripada ditimpa mala petaka akibat merembet-rembet dalam konflik diplomatik yang meleret-leret.
* MOHD RIDWAN TALIB adalah peguam dan penyelidik di Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).