Oleh Ku Seman Ku Hussain
TUGAS hakiki guru adalah mendidik anak bangsa menjadi generasi yang bukan sahaja bijak akademik tetapi tinggi sahsiah diri. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana menuntut kepakaran dan juga pengalaman. Jangka masa penglibatan menjadi faktor utama tinggi atau rendahnya pengalaman itu.
Pengalaman dan kepakaran guru sedemikian mesti dimanfaat untuk mengangkat bidang pendidikan. Semakin berusia seseorang guru bermakna teranjak juga kepakaran mengalirkan ilmu dan pengalaman menangani karenah pelajar yang pelbagai ragam.
Mendidik adalah satu seni yang sangat unik. Tidak semua yang berilmu atau berpendidikan tinggi mampu menjadi pendidik yang baik. Maknanya ini satu bidang khusus dan sama sekali tidak boleh dicampur aduk dengan tugas-tugas sampingan di luar lingkungan mendidik.
Tentulah amat malang kalau seorang guru yang mempunyai kepakaran dan pengalaman ini mengambil keputusan bersara awal – bukan disebabkan faktor kesihatan tetapi tekanan dengan persekitaran tempat kerja yang tidak kondusif.
Mereka inilah yang mencetuskan fenomena guru bersara awal apabila tidak tahan dengan tekanan membuat kerja sampingan hingga menjejaskan tugas hakiki. Hal ini disebabkan oleh sistem penagihan kerja di sekolah yang carca marba, keliru dan hilang fokus. Akibatnya memangsakan guru yang dedikasi.
Baru-baru ini Kementerian Pendidikan secara rasmi mengakui wujudnya fenomena guru yang bersara awal – apabila mencapai usia 56 tahun. Walaupun mempunyai baki perkhidmatan empat tahun lagi, tetapi sebahagian besar tidak tahan dengan keadaan di tempat bekerja.
Sebenarnya isu guru dibeban tugas sampingan bukanlah suatu yang baru. Isu ini sudah lama tetapi tidak ada tindakan proaktif oleh pihak atasan untuk dan tampil menyelesaikan demi masa depan bidang pendidikan negara.
Pegawai tinggi di Kementerian Pendidikan mengambil sikap berdiam diri. Semacam ada kecenderungan sengaja tidak mahu berkata benar kepada pembuat dasar. Ini memberikan isyarat yang salah kepada menteri yang silih berganti bahawa semuanya ‘berjalan lancar.’
Kita menerima hakikat bahawa tidak semua Menteri Pendidikan mahir, arif, memahami dan mempunyai iltizam tinggi untuk melonjakkan bidang pendidikan. Dalam keadaan beginilah pegawai atasan di kementerian perlu membantu menteri dengan memberikan pandangan yang benar.
Katakan dengan sebenarnya kepada menteri bahawa isu guru mengeluar duit sendiri membeli kertas A4 adalah benar, membebankan guru dengan kerja perkeranian bukan rekaan dan guru diperkudakan untuk kenaikan pangkat pengetua juga bukan satu tohmahan. Semua ini benar belaka.
Guru tidak memunyai akses yang lebih tinggi, tidak boleh mengambil jalan pintas menyampaikan keluhan tanpa melalui pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Maka perkara yang dibawa oleh kesatuan atau persatuan berkaitan bidang perguruan perlu diambil endah oleh ‘orang-orang besar’ di kementerian.
Menurut statistik, daripada 409,977 guru di negara ini, lebih kurang satu peratus atau 4,000 mengambil keputusan bersara awal. Daripada jumlah itu hanya segelintir disebabkan faktor kesihatan. Selebihnya merek berbuat demikian disebabkan tidak ada keseronokan bekerja.
Difahamkan ketika ini sebahagian besar daripada guru senior yang berpengalaman hanya menunggu usia 56 tahun untuk bersara. Apabila seorang guru begini bersara awal empat tahun daripada waktu sepatutnya, ini kerugian dalam bidang pendidikan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, tugas sampingan yang pelbagai termasuk kerja perkeranian menjadikan banyak dalam kalangan guru hilang keseronokan untuk terus mengajar.
Beliau juga mndedahkan bahawa dalam kalangan guru terpaksa berdepan dengan dasar baharu yang sering berubah setiap kali berlaku pertukaran Menteri Pendidikan. Hal ini menganggu tumpuan guru untuk mendidik apabila ada dasar baharu yang perlu dipatuhi.
Walaupun di segi peratus kelihatan sangat kecil, tetapi perlu ada tindak balas segera. Dalam kalangan bukan guru pun sudah memahami keadaan yang membebankan guru ketika ini. Permasalahan ini memberikan gambaran yang tidak baik, khususnya pada kerjaya perguruan.
Kini terpulanglah kepada yang berada di atas sana, untuk mengambil endah atau terus dengan keangkuhan semula jadi menghambakan guru dengan kerja-kerja sampingan melampaui tugas hakiki.
Tetapi jangan menafikan bahawa kepakaran guru dalam hal ehwal mendidik telah dibazirkan oleh pembahagian tugas yang bercelaru. Masa untuk mendidik terbuang dengan kerja yang dulunya hanya sampingan, tetapi secara perlahan-lahan menjadi seolah-olah tugas utama.
Keadaan ini meresahkan masyarakat terutama mereka yang mempunyai anak. masih bersekolah Kehilangan guru yang berpengalaman ibarat hilangnya punca ilmu. Proses kematangan dan pengalaman seseorang guru ditentukan oleh masa bukan sijil atau ijazah. Maknanya mengganti guru yang bersara bukan perkara mudah.
Terlalu lamakah untuk menghabiskan masa empat tahun? Kalau ditanya kepada yang bekerja dalam persekitaran yang kondusif, ada hubungan pengetua dan guru yang penuh insani, empat tahun itu terasa singkat sahaja.
Tetapi kepada yang bekerja dalam keadaan tertekan menunggu empat tahun sangat menyeksakan. Maka bersara awal adalah langkah terbaik untuk memberi laluan kepada yang masih sabar.
Kesatuan dan persatuan yang berkaitan dunia keguruan dan pendidikan sudah banyak kali menimbulkan perkara demikian. Berulang-ulang kali. Tetapi seperti biasa apalah sangat dengan masalah guru, mereka tidak ada kuasa untuk menunjuk rasa tidak puas hati..
Guru terikat dengan perkeliling-perkeliling lapuk yang menghalang mereka menyuarakan masalah kepada pihak atasan. Mereka tidak boleh melangkau pengetua yang sesetengahnya lebih menjaga kerusi berbanding guru-guru di bawahnya. Jangan kata hendak menyuarakan kepada menteri, hendak sampai ke PPD pun perlu melalui pengetua.
Malah bukan rahsia juga banyak guru tertekan dengan sikap ibu bapa pelajar yang tidak memahami tugas guru. Ditambah dengan disiplin pelajar yang sangat buruk. Bagaimanapun guru berdepan halangan untuk mendidik. Banyak bidang kuasa guru sebagai pembimbing sahsiah telah hilang.
Pensyarah Pusat Kesejahteraan dan Pendidikan Kmuniti, UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, fenomena guru bersara awal ibarat sebuah iceberg, yang kelihatan jauh lebih kecil daripada yang terlindung di bawah permukaan.
Tambah beliau, apabila dalam kalangan guru semakin tertekan, tidak gembira, hilang minat dan rasa terbeban, keputusan akhir yang mereka terpaksa ambil ialah bersara awal. Keadaan ini sangat merugikan sistem pendidikan kerana kehilangan guru-guru yang berpengalaman.
Olah hal yang demikian, kita hanya boleh menaruh harapan supaya Kementerian Pendidikan tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan isu guru bersara awal. Hal ini menjejaskan bidang pendidikan. Apabila bidang pendidikan terjejas, kesannya kepada masyarakat. (Utusan Malaysia 28 Mac 2022)