Disebabkan sikap warga maya, pensyarah yang dedikasi menjadi mangsa buli siber dan tidak ada siapa peduli .

Oleh Ku Seman Ku Hussain

RABU lalu tersebar klip video seorang pensyarah memarahi pelajarnya yang tidak mempunyai komputer riba walaupun sudah berada di semester lima. Pensyarah berkenaan dikecam teruk oleh warga maya di media sosial. Malah sampai ke tahap membuli dan mencederakan peribadi.

Malah  ada hantaran di media sosial yang mengugut dan mengancam keselamatan.   Alamat rumah dan nombor telefon didedahkan kepada umum untuk memberi tekanan. Kelakuan ini ternyata melampaui batas dan tidak mencerminkan pekerti yang baik.

Tindak balas melampau ini disebabkan  sesetengah warga maya tidak memahami isu dalam konteks premis asal – kuliah dalam talian. Khalayaknya pelajar dan jumlah terhad. Apabila dicuri sebar, premis asal berubah menjadi  terbuka kepada umum. Apabila berubah premis dan medium, makna dan tanggapan juga turut berubah.

Bagaimanapun mereka yang memberi tindak balas melampaui tidak memahami premis asal video berkenaan.  Mereka melihat seperti siaran di televisyen yang ditujukan kepada semua orang. Hakikatnya, sama seperti dalam kuliah, tertutup dan berlaku antara pensyarah dengan pelajar.

Bayangkan kalau seorang bapa bercakap dengan suara agak tinggi kepada anaknya di rumah. Kemudian dirakam dan disebarkan. Hasilnya makna dan tanggapan sebenar  sudah berubah.   Tujuan juga berubah malah timbul berbagai-bagai tanggapan yang menyimpang.

Warga maya boleh melatah, terloncat atau marah sebagai tindak balas daripada yang ditonton di media sosial.  Bagaimanapun pada masa yang sama mereka perlu belajar membaca yang tersirat. Terimalah hakikat bahawa hidup ini ada kalanya seperti iceberg,  yang terlindung lebih besar daripada yang kelihatan.

Kata-kata yang seolah-olah menghina B40 secara tersiratnya mencabar pelajar supaya keluar daripada lingkungan itu. Salahkah pensyarah membawa anak-anak  muda yang dibimbingnya keluar daripada pusaka kemiskinan yang membelenggu B40?

Kalau untuk khalayak yang umum,  pensyarah itu sudah  tentu tidak berkata demikian.  Beliau realistik tidak mampu mengubah khalayak yang sudah sebati dengan B40.  Beliau pensyarah bukan ahi politik.  Malah ahli politik pun tidak berjaya mengubah. Maka yang dilakukan ialah membentuk rebung menjadi bentuk yang dikehendaki – keluar daripada belenggu kemiskinan.

Kita mesti berlaku adil kepada pensyarah berkenaan dan setiap warga maya perlu meletakkan kembali video itu dalam premis asal –  kuliah dalam talian.  Letakkan diri mereka sebagai pelajar  dan menghayati makna kemarahan pensyarah itu.  Inilah cara orang bijak dan berfikir berdepan dengan media sosial.

Tindak balas melampau berkumpulan dan berduyun-duyun ini hanya berlaku kepada individu yang tenggelam dalam keadaan yang disebut  mentaliti massa (mob mentality).  Antara ciri-ciri mentaliti massa adalah menjadikan arus pendapat utama sebagai satu tanda aras kebenaran.

Sebahagian besar  memberi tindak balas  mengecam dengan menggunakan perkataan yang menunjukkan rendahnya nilai budi dan pekerti.  Mereka tidak memberikan hujah tetapi serangan kepada hal-hal peribadi. Itulah kerendahan pekerti disebabkan prasangka melampau kepada yang dianggap ‘elit.’

Perisiwa yang berlaku itu adalah suatu yang memalukan bangsa  (Melayu) dan negara. Warga maya tidak melihat hasrat meninggikan tahap pendidikan kerana dibelenggu emosi golongan daif yang bercelaru.  Maka tidak ada gunanya mempunyai telefon pintar kalau tidak diselarikan dengan ketinggian pekerti dan akhlak.

Advertisement

Banyak yang rasa terhina kerana tidak mampu menghadam makna sebenar untuk mengeluarkan dari belenggu B40 (kalau benar menghina B40). Mereka tidak memahami frasa yang menjadi teras dalam video itu,  “Saya dulu ada lima pasang pakaian saja.” Maknanya beliau dulu pun pernah susah dan hanya orang susah sahaja lebih bertekad mengeluarkan orang lain daripada keadaan itu.

Dalam konteks isu ini kualiti warga maya sebahagian besarnya rendah dan dibelenggu emosi  sebagai ‘manusia tewas’  dalam perlumbaan  di bidang ekonomi, pendidikan malah budaya dengan kaum lain. Pensyarah itu hanya menjadi sasaran melepaskan kemarahan.

Kalau benarlah mereka dalam kalangan B40 terhina dengan ‘penghinaan’ pensyarah itu daripada sudut ekonomi, tunjuklah mereka tetap menang kerana memiliki sisi peribadi yang menjulang pekerti.  Malangnya sebahagian besar   daripada mereka sudah muflis pekerti.

Pembuli siber sudah lama bermaharajalela dalam masyarakat. Ini entah kali yang ke berapa mereka membuli dan menghukum orang lain tanpa usul periksa. Kali ini berlaku kepada pensyarah yang dedikasi mendidik anak bangsa.

Bagaimanapun pada Khamis, banyak bekas pelajar pensyarah berkenaan mendedahkan perkara sebenar.  Ribut hari Rabu di media sosial pun senyap. Walau apa sekalipun jiwa dan perasaan individu yang dikecam sudah terluka. Parah dan cedera.

Peristiwa tragis ini mengingatkan saya pada buku The Crowd: A Study of Popular Mind (1895)  tulisan Gustare Le Bon. Buku ini memaparkan mentaliti massa memberikan kesan buruk dan berpenjangan kepada masyarakat.  Untuk  mengatakan faktor majoriti bukan tanda aras kebenaran adalah suatu yang amat sukar.

Apa lagi pada era di mana definisi kejiranan, sahabat dan sosialisasi  antara individu merentas geografi berbanding sebelum kewujudan media sosial.  Arus pandapat utama sering menenggelamkan pandangan daripada minoriti atau yang menongkah arus itu. 

Maka tidak hairanlah apabila sesetengah individu akan  hilang pendapat atau pemikiran apabila berada dalam kelompok maya.  Sebahagian besar  yang tidak ada pendapat atau pemikiran akan larut dalam pendapat utama,  sama ada benar atau sebaliknya.

Le Bon menggariskan beberapa ciri psikologi khalayak iaitu  impulsif, cepat marah, ketidakupayaan menaakul, tiada pertimbangan yang kritis  dan terlalu emosi. Kemuduan mereka tenggelam dalam khalayak majoriti dan tidak ada lagi diri atau pendirian terhadap sesuatu perkara.

Tidak  semua perkara yang menjadi arus pendapat utama  di media sosial berlaku secara semula jadi.  Banyak  yang dibentuk  atau dirancang untuk mencapai matlamat tertentu.  Hal-hal beginilah menuntut keupayaan menaakul supaya tidak masuk perangkap.

Pihak yang mempunyai agenda menggunakan media sosial membentuk pendapat utama yang kemudiannya memerangkap individu yang tidak punya apa-apa – pemikiran dan keyakinan.  Mereka menjadi pengikut yang pasif,  mudah rasa terhina atau terhibur yang ditentukan oleh arus pendapat utama.  

Saya percaya  Profesor Roshana Takim realistik dengan dengan permasalahan ‘popular mind’ seperti yang diungkapkan oleh Le Bon dalam bukunya. Semoga jiwa dan peribadi beliau tidak cedera dengan kejadian berkenaan. Memilih berterus terang demikianlah adatnya – tidak disukai oleh yang tidak memahami. (Utusan Malaysia 4 April 2022)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *