Tiket konsert Justin Bieber pada Oktober depan habis dijual dalam lima jam sahaja.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PENCERAMAH bebas Ustazah Asma’ Harun dikecam teruk oleh ibu bapa peminat fanatik Justin Bieber. Puncanya beliau menasihatkan supaya tidak membiarkan anak-anak ke konsert  penyanyi itu. Nasihat itu bukan sahaja diabaikan malah disanggah dengan reaksi sedikit angkuh. Ada yang berkata “Jangan campur, ini tidak menggunakan duit ustazah pun.”

Sebenarnya terbayangkan bahawa kedudukan penceramah agama atau alim ulama, termasuk juga tok guru di kampung yang disanggah sedemikian rupa. Bagaimanapun disebabkan perubahan sosial yang pesat,  penghormatan  kepada individu yang dulunya amat tinggi  sebagai pendiri masyarakat turut berubah.

Perubahan itu berlaku kerana budaya popular dan hedonisme telah lulus proses normalisasi dalam masyarakat di negara ini.  Tidak banyak yang prasangka dengan penularan pandemmik sosial akibat pemujaan individu yang dilahirkan oleh budaya popular.

Masa yang sama juga sesetengah dalam kalangan ibu bapa telah menormalisasi pengalaman anak remaja bergelumang dalam hedonisme sebagai  ‘pendidikan awal’ dan percaya itu hanya sementara. Mereka menormalisasi suatu yang tidak baik sebagai pendidikan atau pengalaman kepada anak-anak.

Itulah antara cara  sesetengah keluarga sekarang mendidik anak. Walaupun nasihat itu datang daripada pihak yang tidak berkepentingan,  disebabkan sayangkan anak nasihat itu dianggap mencampuri hal ehwal keluarga. Nasihat dan campur tangan telah disatukan maksudnya.

Keluarga  nampaknya bukan lagi benteng kepada anak-anak yang mungkin belum matang daripada segala macam pengaruh asing.  Sesetengahya keluarga memperlihatkan keadaan itu. Sikap ibu bapa sedemikian amatlah membimbangkan untuk jangka panjang.

Sikap ibu bapa seperti ini menjadi ekosistem untuk  hedonisme bertapak sekaligus melingkungi kehidupan para remaja. Banyak yang tidak memahami kesan berpanjangan daripada hedonisme yang datang secara pakej – kapitalisme, konsumerisme dan budaya popular. 

Melihat pada ekosistem hedonisne disuburkan di negara ini, tentulah  tidak mengejutkan apabila tiket konsert Justin Bieber  pada Oktober depan habis dijual dalam masa lima jam sahaja.  Sekali lagi – lima jam sahaja. Memang luar biasa.

Malaysia mungkin memegang rekod luar biasa itu. Bagaimanapun rekod itu memperlihatkan suatu yang tidak baik dalam konteks membina remaja hari ini sebagai pemimpn masa depan.

Harga tiket paling murah RM288 hingga  RM1,088.  Bagaimanapun harga tiket bukanlah isunya.  Sekiranya konsert itu percuma sekalipun kecederaan  peribadi individu berada dalam acuan hedonisme itu sama sahaja. Seperti dadah juga – berbayar atau percuma sama buruknya.

Maka Justin Bieber bukanlah perihal muzik dan nyanyi. Bukan juga perihal apresiasi seni – nyanyian dan muzik.  Sebaliknya penyanyi ini telah teranjak sebagai pencetus menu gaya hidup  kepada remaja. Segalanya tentang Justin Bieber – pakaian, pergaulan bebas dan ketrampilan menjadi ikutan.

Daripada sudut pandang peminat fanatik, tertinggal mengikuti perjalanan kehidupan ikon sanjungan mereka adalah kerugian yang besar.  Apa sahaja yang terbaru mesti diambil tahu. Berada di konsert ikon hedonisme ini pula adalah kemuncak kesempurnaan hidup.

Advertisement

Dalam pemujaan melampau itu, sudah tentu tidak ada ruang yang diberikan kepada individu seperti Ustazah Asma’  yang mengalih hala tuju kehidupan mereka. Padahal ketokohan Ustazah Asma’  boleh dijadikan pengimbang antara hedonisme dan adab susila menurut agama. Boleh dijadikan untuk mencari di mana pemberat pada kesejahteraan untuk jangka panjang.

Tetapi lihatlah, walaupun dua tahun terseksa akibat pandemik,  ini pun belum cukup  menginsafkan.  Baru sahaja enam bulan menyeberang fasa endemik, mereka  meraikan  belon-belon mimpi  keseronokan hedonisme. Ternyata pengalaman pahit ketika pandemik tidak banyak mengajarkan tentang kewaspadaan kemusnahan sosial.

Sebagai ikon hedonisme, sudah tentu pengaruh penyanyi berkenaan membentuk kesatuan yang kukuh dalam kalangan remaja.  Kesatuan ini sangat kuat lagi berpengaruh  untuk mengubah sudut pandangan umum  terhadap gaya hidup berkenaan.

Sambutan luar biasa terhadap konsert berkenaan memberikan isyarat awal tentang keruntuhan generasi remaja yang berlaku ketika ini dan masa depan.  Menurut satu  laporan, majoriti peminat fanatik Justin Bieber berusia antara 18 hingga 25 tahun.  Sampah-sampak kerosakan menyasarkan usia yang sedemikian – mentah dan tidak memahami eksploitasi.

Di negara kita usia begini belum bekerjaya dan mengharap biaya daripada keluarga. remaja pada usia begini juga akan diserahkan tanggungjawab terbesar sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) yang djangka tahun depan.

Cuba kita lihat statistik, sebanyak 7.8 juta pengundi berusia 18 tahun  didaftar secara automatik hingga Disember lalu. Jumlah ini tidak termasuk pengundi memasuki usia 21 tahun yang sudah ada dalam senarai pemilih sebelum ini.  Bayangkan kalau dicampur semua yang berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun.

Bayangkan juga kalau hanya 10 peratus sahaja dalam kalangan yang berusia 18 hingga 25 tahun peminat fanatik ikon hedonisme seperti Justin Bieber.  Keberadaan 10 peratus itu akan terlihat pada keputusan PRU15.  Peribadi dan kecenderungan pemimpin yang terpilih serba sedikit terpantul daripada keberadaan pemilih.

Sebenarnya tidak ada satu pun nilai  membina yang boleh diangkat daripada peribadi dan gaya hidup penyanyi ini. Dia sama sekali tidak membina jiwa remaja sebaliknya melarutkan dalam gaya hidup yang dibawa.  Anasir-anasir pemecah peribadi bertapak  dalam kalangan anak muda pemimpin masa depan kita.

Tidak ada nilai tambah yang boleh diharapkan daripada peminat-peminat budaya popular seperti Justin Bieber. Keadaan mereka sendiri tidak terpimpin, inikan pula untuk memilih pemimpin. Kualiti pemimpin yang dipilih memantulkan pemilihnya. Semoga sesuatu yang dibimbangi ini tidak menjadi kenyataan. (Utusan Malaysia 11 April 2022)

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *