Oleh Ku Seman Ku Hussain
BAGI kebanyakkan dalam kalangan kita tentunya suatu yang tidak munasabah, tidak masuk akal malah sangat sukar dipercayai bahawa remaja berusia antara 13 tahun hingga 17 tahun merayau di jalan raya pukul 3 pagi. Sekali lagi, pukul 3 pagi. Mereka bukan pelajar asrama yang mencuri keluar tanpa izin warden. Mereka ada rumah.
Remaja ini tinggal dengan ibu bapa atau keluarga. Tentulah pelik apabila hal ini sudah menjadi kebiasaan – merayau dengan basikal lajak hingga pukul 3 pagi. Apakah ini satu tolak ansur? Bertolak ansur dengan anak-anak atau remaja di bawah jagaan ada batasnya. Membiarkan berada di jalan raya pukul 3 pagi adalah satu pengabaian.
Pada 18 Februari 2017, lapan remaja yang berusia antara 13 tahun hingga 17 tahun yang bermain basikal lajak telah maut dilanggar kereta pada pukul 3.20 pagi di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru. Kes kemalangan ini mendapat liputan meluas kerana tragis – lapan remaja meninggal dunia sekaligus.
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan seorang kerani wanita berusia 24, tahun, Sam Ke Ting pemandu kereta berkenaan dipenjara enam tahun dan denda RM6,000. Beliau dituduh cuai hingga menyebabkan kematian lapan remaja tersebut.
Proses undang-undang telah dijalankan dan pemandu kereta yang terlibat dengan kamalangan itu dijatuhkan hukuman. Bagaimanapun isu yang lebih besar daripada kemalangan itu adalah ‘tragedi pengabaian remaja’. Isu ini tidak berakhir dengan menghukum pemandu yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Daripada latar masa, tempat dan perbuatan remaja-remaja berkenaan, tragedi itu sewajarnya memberikan iktibar kepada ibu bapa dan keluarga. Menyalahkan pemandu tidak menyelesaikan masalah pengabaian terhadap remaja. Iktibarnya keluarga mesti mengambil endah perihal anak remaja.
Tanpa kawalan, pada tahap usia mereka remaja mempunyai kecenderungan untuk berada pada waktu dan tempat yang salah. Sepatutnya mereka berada di rumah dan mengkaji pelajaran. Itulah tempat dan masa yang sesuai dengan remaja.
Tragedi ini mengingatkan peranan keluarga, termasuk yang anak-anak tidak terlibat dalam kemalangan supaya memikul tanggungjawab utama mereka. Dalam ruang litup yang luas, mengawal remaja bukan sahaja untuk mengelak mereka bermain basikal lajar, tetapi banyak masalah sosial yang lain.
Kita tidak tahu apakah yang berada dalam fikiran keluarga hingga mengabaikan remaja bawah kawalan mereka sedemikian rupa. Adakah ini sebahagian daripada definisi kasih sayang dan untuk memberikan kebebasan untuk melakukan sesuatu yang disukai? Atau adakah ini satu pengabaian secara tanpa sedar?
Sebenarnya memberi kebebasan kepada remaja yang semuda itu berkeliaran lewat tengah malam bukan sahaja berlaku di Johor Bahru. Hal ini banyak juga berlaku di bandar-bandar atau pinggir bandar yang lain. Berlaku pula dalam kalangan keluarga yang status ekonominya agak rendah dan banyak masa ditumpukan untuk mencari biaya hidup.
Di Kuala Lumpur misalnya, remaja belasan tahun bebas berbasikal secara berkumpulan pada lewat tengah malam bukan suatu yang luar biasa. Pada usia yang sangat muda lagaknya memberi risiko kepada pengguna jalan raya yang lain. Bolehkah hal-hal seperti ini didiamkan atau disapu di bawah karpet?
Keadaan ini boleh dilihat pada hari-haru tertentu misalnya malam minggu, sambutan tahun baharu, malam ulang tahun kemerdekaan atau ketika diadakan konsert percuma di Dataran Merdeka. Banyak remaja seawal usia 13 tahun berkeliaran di atas jalan raya dan bersuka ria.
Sudah pasti ada dalam kalangan pemandu pernah berdepan detik-detik cemas di atas jalan raya akibat gelagat remaja-remaja ini. Lagak mereka seperti mat rempit, tetapi kerana tidak mempunyai motor, mereka merempit dengan basikal. Kalau terlanggar sudah tentu pemandu dituduh cuai – mungkin didenda atau dipenjara.
Menghukum dan menyalahkan pemandu tidak menjanjikan kes tragis yang seumpama ini tidak berulang. Sikap keluarga yang meletakkan nasib anak kepada pihak lain menjadi penyumbang kejadian yang serupa. Semua kejadian ini menuntut kita dan semua keluarga melihat semula peranan masing-masing.
Oleh hal yang demikian isu utama daripada pengabaian remaja ini bukan sahaja menunggang basikal secara bahaya di jalan raya. Pengabaian atau kebebasan tanpa had yang diberikan kepada remaja menjadi pemangkin kerosakan moral hingga meningkat tinggi usianya.
Kalau kebetulan berlaku kemalangan dan boleh diletakkan kesalahan kepada pemandu. Tetapu bagaimana pula kalau remaja seawal usia itu yang terlibat dengan gidu gam, merokok, dadah malah mencuba seks bebas sesama sendiri? Pihak manakah yang hendak diletakkan kesalahan itu?
Memanglah masalah sedemikian tidak melibatkan kehilangan nyawa, tetapi ini mencederakan dan merencatkan perjalanan kehidupan remaja yang masih panjang. Suatu ketika dulu heboh isu remaja melepak di pusat siber dan menjadi bohsia. Ini sebenarnya lebih tragis, kerosakan yang sukar untuk diperbaiki lagi.
Isu remaja melepak di pusat siber sudah tidak ada kerana ibu bapa masing-masing membelikan telefon pintar. Tetapi gejala remaja menjadi bohsia terus berlaku terutama dalam kalangan mat rempit. Bagaimanapun disebabkan isu lapuk, maka tidak ada siapa yang membangkitkan lagi.
Keluarga adalah institusi paling utama dan penting untuk membentuk peribadi golongan remaja. Itulah yang paling dekat berbanding guru atau masyarakat. Maka sekiranya yang dekat ini tergelincir atau terlepas pandang akan kegiatan remaja, kesannya sangat buruk.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh ulama ulung Ibnu Khaldun, sekiranya anak-anak itu tidak dibentuk serta dibimbing oleh kedua-dua ibu bapa, maka mereka akan dibentuk oleh zaman.
Definisi zaman yang digunakan oleh Ibnu Khaldun adalah persekitaran sosial yang rakus mempengaruhi remaja. Memang benar akhirnya remaja akan berdepan dengan realiti di sekeliling mereka.
Bagaimanapun kalau ditanam dengan kekuatan peribadi oleh ibu bapa atau keluarga, remaja begini boleh menjadi ikan hidup yang tidak masin walaupun seumur hidup di dalam lautan.
Kita bukan tidak bersimpati dengan keluarga remaja yang maut dalam tragedi di Johor Bahru itu. Bgaimanapun setiap tragedi tidak sahaja menghantar kepiluan atau kesedihan. Masa yang sama menghantar peringatan dan kesedaran. (Utusan Malaysia 18 April 2022)