Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
KETIKA ini filem bercorak purba, Mat Kilau menjadi satu fenomena. Di mana-mana orang bercakap mengenai filem yang tayangan hari pertama sahaja mencatatkan kutipan tiket lebih RM1 juta. Khabarnya banyak panggung penuh dengan tempahan awal.
Pada satu sudut keadaan ini menunjukkan satu perkembangan yang menarik. Filem tempatan kembali mendapat sambutan dan mereka yang melabur dalam bidang ini mendapat pulangan yang memungkinkan filem seterusnya yang lebih baik. Di mana-mana negara sekalipun bidang penerbitan filem memerlukan khalayak. Khalayak atau penonton yang berkualiti.
Banyak catatan yang memuji filem ini di media sosial dan saya membaca sebahagian besar daripada reaksi berkenaan. Saya meraikan semua sudut pandangan mengikut aras apresiasi masing-masing. Setidak-tidaknya kita tahu apakah yang dilihat dan dipetik oleh sebahagian besar dalam kalangan penonton daipada filem ini.
Saya antara peminat filem bercorak purba, tidak kiralah ketika zaman Jalan Ampas, Studio Merdeka hinggalah penerbitan filem diusahakan oleh penerbit independen di Kuala Lumpur pada awal 1980-an. Filem bercorak purba Melayu tidak ada di tempat lain dan kita sahaja yang mempelopori bentuk seperti ini.
Antara filem bercorak purba yang mempesonakan saya sejak dulu hingga kini tentulah Hang Jebat arahan Hussein Haniff, Gurindam Jiwa (M Amin), Seri Mersing (Salleh Ghani), Hanyut (Uwei Haji Saari) dan drama televisyen Budi Semantan (Rohani Yousoff). Budi Semantan sepatutnya sebuah filem bukan drama televisyen.
Maka saya membayangkan filem Mat Kilau bukan sahaja mengangkat satu zaman penuh getir yang jauh di belakang malah mengemukakan wacana tentang kebangkitan. Walaupun latar sosial filem ini menentang penjajah British, tetapi suatu yang lebih besar adalah kebangkitan. Ini termasuklah kebangkitan melawan rasa terpesona dengan zon selesa sebagai Melayu. Wacana kebangkitan ini merentas zaman dan sesuai dengan keadaan hari ini.
Pada bahagian awal filem Mat Kilau sudah ada isyarat akan wacana kebangkitan ini. Wacana ini jauh lebih besar berbanding ledakan semangat penentangan orang Melayu terhadap British. Kisah Mat Kilau ini sebenarnya tidak ada yang baharu, semuanya sudah diketahui. Sudah banyak buku sejarah mengenai Mat Kilau.
Maka seharusnya ada wacana daripada kisah purba Melayu abad ke 19 ini. Inilah yang baharu dan diangkat melalui proses representasi orang Melayu pada suatu zaman lampau untuk dipantul pada zaman sekarang. Hasilnya menyeru pada sebuah kebangkitan yang tidak luput ditelan zaman.
Apa mesej filem ini? Tentu sahaja saya akan berkata filem tidak ada mesej. Kalau hendak direka-reka adalah. Sebaliknya yang lebih penting lagi besar adalah wacana kebangkitan yang sifatnya yang meluas. Lebih menarik lagi dalam keadaan orang Melayu banyak yang lena.
Bagaimanapun kebangkitan itu tenggelam dalam ledak marah yang emosional, agak melulu dan berlebihaan terhadap penjajah. Marah pula bukan ditunjukkan tetapi dihamburkan dengan kata-kata. Terabailah salah satu sifat filem yang berkata-kata dengan visual. Dalam istilah pengajian filem disebut bahasa filem.
Wacana kebangkitan ini tidak ditelusuri secara mendalam apabila kemarahan kepada penjajah ini diulang-ulang hingga jemu di depan orang Melayu sendiri. Wacana kebangkitan juga ikut terbiar di sebalik pertarungan fizikal yang agak berlebihan berbanding helah akal untuk mengalahkan penjajah. Sibuk bertarung, wacana terbang entah di mana.
Saya juga mencari maksud terlindung atau semiotik di sebalik adegan pertarungan, tetapi tidak jumpa. Hanya bertarung semata-mata. Kalau kita mengingat kembali pertarungan dalam flem Hang Jebat, itu bukan semata-mata bertarung. Adegan itu penuh pengucapan yang disampaikan dengan visual pertarungan.
Sudut kamera yang dikendalikan oleh A Bakar Ali untuk adegan pertarungan ifilem Hang Jebat mencipta pengucapan visual yang hebat. Wacana mencari keadilam dalam filem Hang Jebat terpancar pada adegan pertarungan oleh watak Hang Tuah dan Hang Jebat.
Sudut lain yang terabai daripada filem Mat Kilau adalah pembinaan watak. Watak mesti ada perwatakan untuk berkembang sebagai plot. Kelihatannya banyak watak tetapi tidak ada perwatakan terutama yang penting seperti Mat Kilau. Maka bergeraklah watak ini tanpa didokong oleh perwatakan yang diberikan kepadanya.
Ini bukan masalah pelakon, tetapi penulis lakon layar seterusnya pengarah yang tidak membina perwatakan kepada watak. Tanpa perwatakan, watak seperti tidak bernyawa, sekadar ke hulu dan ke hilir tanpa memberikan makna. Pelakon yang hebat sekalipun akan tenggelam kalau tidak ada perwatakan.
Cuma bezanya pelakon hebat tidak pula menerima tawaran berlakon watak yang tidak berperwatakan. Ketika membaca lakon layar sudah boleh menjangka kedudukan watak di dalam filem.
Sekiranya pembinaan watak mantap dan kemas, Mat Kilau tidak perlu lagi mengulang-ulang dialog yang mengecam penjajah. Ini kerana pembinaan yang baik tidak memerlukan watak bertenggek di atas dialog. Kalau dipadamkan dialog pun tetap boleh berlakon dengan baik.
Disebabkan pembinaan watak kurang mantap, watak Mat Kilau ini boleh sahaja digantikan dengan nama lain dan sama sekali tidak menjejaskan filem ini. Malah kalau latar kampung digantikan dengan bandar juga tidak berkurangan apa-apa. Ini menunjukkan perwatakan Mat Kilau tidak dibina untuk filem ini.
Hal ini sangat berbeza dengan watak Mahatma Gandhi dalam filem Gandhi (1982) atau Umar Mukhtar dalam Lion of the Desert (1981). Perwatakan watak-watak itu dibina khusus untuk filem-filem berkenaan.
Seharusnya watak Mat Kilau yang mengembangkan filem ini berpandukan wacana yang hendak dilontarkan oleh pengarah. Watak ini harus kelihatan lebih tertampil berbanding yang lain kerana di situ yang menentukan perkembangan filem ini.
Saya melihat struktur filem ini sangat dipengaruhi oleh filem-filem aksi dari Hong Kong dan Hollywood. Pengalaman menonton Mat Kilau mendapati filem ini tidak jauh bezanya dengan karya aksi Hong Kong. Maka filem Mat Kilau seolah-olah menyalin fantasi sosial di luar latar dunia Melayu abad ke 19. Condongnya amat ketara. Sangat terasa.
Ini ditambah dengan terabainya pemaparan estetika kemelayuan pada latar abad ke 19. Filem Melayu bercorak purba tidak harus terputus dengan estetika kemelayuan sebagai latarnya. Tetapi Mat Kilau sangat terasa estetika dari fantasi sosial dari luar alam Melayu.
Silat itu sendiri sebuah seni yang semua geraknya ada maksud dan falsafah. Bagaimanapun silat dalam filem Mat Kilau terganggu dengan kaedah merakam dan menyunting yang menghilangkan keindahan seni pertarungan itu.
Saya fikir sudah boleh dimulakan usaha untuk meningkatkan kecelikan apresiasi dalam kalangan khalayak. Bukan sahaja untuk karya filem malah seni yang lain juga – muzik, teater dan kesusasteraan.
Dalam konteks ini, kita mempunyai khalayak penonton khususnya filem Melayu. Masa yang sama kualiti penonton juga harus dipertingkatkan oleh pihak-pihak yang mengawal selia bidang ini. Hanya penonton yang berkualiti memungkinkan kewujudan filem yang baik. Penonton yang ada ‘rasa filem’ yang tinggi tidak akan terjebak dengan hal-hal luaran seperti kutipan.
Khalayak harus dibimbing supaya ada kemampuan meneroka sudut pemikiran yang terlindung dalam sesebuah karya. Apabila kecelikan semakin tinggi, karyawan tidak boleh ‘lena’ dalam zon selesa. Khalayak sentiasa kritis terhadap karya mereka. Tidak boleh disumbat apa sahaja kerana penonton ada citarasa yang tinggi.
Seperti yang dikatakan awal tadi, ini bukan sebuah kritikan. Sekadar catatan pengalaman menikmati filem purba Melayu selepas dua dekad berlalunya abad ke 21. Catatan ini berdasarkan apresiasi peribadi untuk dikongsikan dengan khalayak filem Melayu. (WILAYAHKU 1 JULAI 2022)