PEMBIKIN flem dan pencinta sinema, Martin Scorsese dalam tulisannya di The New York Times pada 4 November 2019 menjelaskan sinema ialah pencerahan estetika, emosi dan spiritual. Paksi utama sinema ialah watak dan perwatakan dan bagaimana kerumitan psikologi manusia itu dibentangkan, bagaimana manusia boleh melukakan dan kemudian meluahkan kasih sayang.
Scorsese melihat sinema adalah tentang berhadapan dengan perkara tidak terjangka di layar perak dan bagaimana kehidupan itu diterjemahkan dalam bentuk seni.
Scorsese melihat elemen seperti ini tidak muncul dalam filem-filem adiwira Marvel. Tiada pencerahan, misteri dan emosi tulen. Filem-filem Marvel bagi Scorsese dibikin hanya untuk memuaskan permintaan penontonan yang spesifik dan kelihatan seperti taman teman yang memberikan hiburan audiovisual tetapi bukan sinema yang hadir dengan falsafah dan semangatnya.
Pandangan Scorsese mengenai filem Marvel sesuai dijadikan asas perbincangan mengenai filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof. Filem ini melihatkan pengaruh besar daripada KL Gangster dan Munafik khususnya dari sudut aksi dan tema Melayu-Islam. Walau Mat Kilau cuba ditampilkan sebagai filem berbeza, namun ia sebahagian semesta Syamsul. Memiliki keseragaman dalam identiti pembikinnya.
Pembentukan watak dalam Mat Kilau bermasalah kerana bersifat generik tanpa latar jelas, menjadikan penceritaan tidak lancar dan kewujudan karakter hanya untuk bertempur. Kita tidak mampu menyelami psikologi dan memahami tindakan setiap wataknya, sekali gus menempa risiko menonton emosi kosong dan tidak stabil.
Dalam melihat sinema, Scorsese memberi panduan menilai estetika, emosi dan spiritual. Tiga elemen ini mempunyai perkaitan kukuh dan boleh roboh jika salah satunya tidak diberikan perhatian.
Ini bukan kali pertama kita membuat filem dalam jenis purbawara, kepahlawanan dan semangat perjuangan Melayu. Genre seperti ini milik kita. Agak hairan Mat Kilau yang dibikin dalam zaman terkini masih jauh ketinggalan di belakang dengan filem-filem dalam jenis serupa ketika era perfileman klasik.
Hang Jebat (1961) dan Dang Anom (1962) arahan Hussain Haniff wajar inspirasi berguna kepada pembikin filem Mat Kilau untuk membentuk suasana kemelayuan tepat. Dua filem ini merupakan adaptasi daripada hikayat Melayu. Pengaruh filem-filem seperti ini membuatkan pembikin muda lebih memahami subjek yang disentuhnya.
Dalam Mat Kilau, semangat sinema Melayu itu jauh dan tidak terasa. Ini dapat dilihat kepada estetika visual yang ditampilkan. Ia adalah salin dan tampal daripada Hollywood atau Wu Xia yang kemudian dikhatankan untuk dijelmakan sebagai ‘masuk Melayu’. Ini terjelma dalam suntingan laju ketika adegan aksi dan tempo terlalu pantas tanpa memberikan ruang untuk setiap watak bernafas serta menonjolkan keadaan psikologinya.
Hussain Haniff cemerlang ketika menangani Hang Jebat. Babak pembukaannya sudah menampilkan penindasan feudal apabila tanjak pembesar berada di kaki sultan. Hussain tidak tergesa-gesa merungkaikan diam dan ketakutan di balai rong seri.
Hussain memberi peluang kita menikmati wajah-wajah pembesar yang gusar dan resah dalam marah seorang Sultan. Keadaan tegang ini menimbulkan persoalan mengenai apa yang berlaku. Hussain menggunakan muzik latar untuk meninggalkan kesan psikologi kepada penonton dan kesunyian dipecahkan dipecahkan dengan jeritan Sultan, “Tuah mesti dibunuh!”
Hussain memberi pelbagai warna dalam karakter Jebat. Kita tidak hanya mengenali Jebat sebagai pahlawan yang memberontak melawan ketidakadilan. Jebat tidaklah tegang sepanjang waktu namun memiliki dinamika emosi, misalnya romantis Jebat ketika memadu kasih bersama Dang Baru. Jebat juga dijelmakan dengan sangat sinematik, misalnya ketika melutut di kaki Tuah dan duduk merenung gelora laut di atas batu, memikirkan pemberontakan.
Begitu juga dengan Dang Anom yang memberikan masa untuk kita memahami visual ditampilkan. Misalnya ketika Malang dan Dang Anom naik perahu memberikan perasaan seperti diperhatikan. Kita juga diberikan nilai baharu dalam sinema apabila Hussain menggunakan babak tarian sebagai merungkai kemelut emosi dan psikologi watak. Kesakitan muncul dalam pertentangan mata antara Malang dan Anom.
Pergaduhan dalam Hang Jebat dan Dang Anom meyakinkan dan jelas silat Melayunya. Ia tidak digambarkan dengan suntingan berlebihan tetapi menunjukkan kekuatan aktor dalam berpencak. Dang Anom diingati dengan pertarungan dalam lumpur, manakala kesan adegan pertikaman Tuah-Jebat sudah tentu sukar dilupakan.
Berbanding Mat Kilau yang mengulang polemik Melayu perlu bersatu dengan dialog canggung, Hang Jebat dan Dang Anom tampil lebih universal membawakan wacana keadilan. Ia bukan tentang kerambangan perjuangan orang Melayu, tetapi Hussain meletakkannya dalam keadaan lebih sejagat.
Pembikin filem yang mahu membikin genre purbawara harus kembali meminjam bahu orang-orang terdahulu yang jelas telah merintis jalan untuk kita mengetahui dan memahami.
Mat Kilau sama seperti filem adiwira Marvel, ia mungkin taman tema yang menggembirakan sebahagian besar pengunjung, namun apabila pulang ke rumah, pengalaman ke taman tema itu lama-kelamaan pudar daripada ingatan. (SELANGORKINI)
- DANIYAL KADIR adalah penjawat awam yang rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator.