U-Wei Haji Saari ketika mengarahkan filem Hanyut adaptasi dari novel karya Joseph Conrad mendapat dana daripada kerajaan. Filem ini menyertai banyak festival filem antarabangsa kerana kualitinya.

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

FILEM yang baik adalah yang dhasilkan oleh karyawan yang sekaligus menjadi pemikir pada zamannya.  Apabila kearifan dalam seni dan pemikiran digabungkan, maka yang tercipta adalah karya yang boleh dijadikan rujukan walaupun selepas zamannya.

Sesebuah karya yang dibina oleh pemikiran akan  terus hidup merentas zaman dan  relevan dalam pergulatan sosial yang berbeza.   Malah terus hidup dan memberikan penyataan mengenai suatu  masa lalu berkaitan  manusia, sikap dan pemikiran mereka.

Hayat filem yang nilainya tidak berhujungan ini membezakan dengan yang picisan dan dihasilkan mengikut kehendak khalayak sepenuhnya.

Sekalipun pengkelasan antara filem yang baik dan yang sebalik adalah subjektif, akan tetapi tetap ada ciri atau kriteria yang boleh dijadikan asas ukuran. Mengulang sebut frasa, ‘karya seni itu subjektif’’  tidak lebih sebagai ruang selamat  daripada kritikan kerana buruknya sesebuah karya itu.

Pada masa yang sama untuk  mengukur sesuatu karya seni termasuk filem tidak boleh menggunakan prinsip  pilihan raya – yang majoriti akan menang dan menguasai minoriti. Hakikatnya filem yang ditonton oleh sejuta orang pun belum tentu baik berbanding karya yang ditonton oleh seribu orang.

Hal ini samalah dengan berjuta-juta lalat yang tidak boleh mengubah  sifat sampah sebagai sampah. Maknanya majoriti bukan satu tanda asas atau aras, apatah lagi dalam masyarakat kita yang rendah apresiasi terhadap karya seni. Walaupun begitu faktor majoriti – tidak kira jumlah penonton atau kutipan tetap mengumpan penonton sebagai tanda aras kualiti.

Akan tetapi usaha menghasilkan filem yang baik pasti berganda cabaran dan halangannya.  Dalam keadaan majoriti khalayak penonton yang berselera picisan, filem yang baik tentunya tidak mempunyai tempat yang sewajarnya. Ini membuatkan hanya  karyawan dan penerbit yang tegar mengambil risiko menerbitkan filem sedemikian.

Banyak dalam kalangan karyawan kita menjadikan filem Amerika dan Hong Kong sebagai rujukan.  Tidak banyak yang kenal dan menghayati filem di luar Amerika. Kefahaman mereka mengenai filem sangat terbatas di bawah pengaruh  budaya popular yang menguasai dunia.  

Dengan tahap apresiasi yang sangat rendah dan ledakan hedonisme  menggila tentunya tidak ada penerbit yang sanggup menghasilkan filem yang berisiko tidak mendapat sambutan. 

Sebahagian besar dalam kalangan penerbit dan pengarah  kita adalah yang   berfikiran seperti peniaga, untung dan rugi menjadi perkiraan utamanya. Mereka bukan karyawan yang  berfikir dan berkarya. Malah bukan suatu yang menghairankan  apabila ada yang sanggup menghasilkan filem buruk asalkan memberi keuntungan.

Kita boleh melihat sendiri betapa rendah malah tidak adanya penghayatan seni dan pemikiran dalam sesetengah filem tempatan. Masyarakat pula diasuh melihat filem daripada  sisi yang tidak ada kena mengena – pelakon cantik, isu sensasi dan yang penting kutipan.

Advertisement

Banyak pihak yang bercakap mengenai pulangan wang ringgit,  pada hal kuasa filem yang sebenarnya melangkau jauh daripada itu.  Sumbangan atau pulangan sebenar sesebuah  karya termasuk filem adalah menyemarakkan pemikiran  khalayak dan memancarkan citra bangsa di pentas dunia.

Filem hanya ada dua tujuan – pertama menghanyutkan penonton dalam khayalan dan kedua, membawa mereka  berpijak pada hakikat sebenar. Kelompok yang pertama itu filem dijadikan ruang eskapisme, dan yang kedua menjadikan filem sebagai cermin yang memantul kebenaran.

Oleh kerana itu di mana-mana negara sekalipun yang memahami kuasa dan peranan  filem akan tampil menunjukkan tanggungjawab membantu menghasilkan filem sedemikian.  Untung dan rugi bukan sahaja daripada sudut matematik, malah mengajak khalayak berfikir juga adalah satu keuntungan.

Dalam konteks tempatan,  kerajaan telah sedar akan pengaruh filem  yang baik dan menyalurkan dana untuk tujuan itu. Penerbitan filem-filem yang diistilahkan sebagai bercorak kenegaraan adalah buktinya. Ini adalah suatu usaha yang baik oleh kerajaan dalam memanfaatkan pengaruh filem.

Kerajaan telah menunjukkan iltizam untuk menzahirkan filem-filem yang membawa citra dan pemikiran besar bangsa ke pentas dunia. Tanpa dukungan dan sokongan kerajaan, sudah pasti kita akan terlepas untuk memanfaatkan soft power yang ada pada filem seperti negara lain.

Filem yang baik diukur pada tingginya wacana yang dibawa dan hal ini berkait rapat dengan wibawa karyawan yang berperanan besar di sebalik tabir sesebuah karya.

Sokongan kerajaan ini adalah suatu yang sangat besar maknanya. Ini satu sikap yang seharusnya dipuji kerana tanpa dana kerajaan, filem yang terkeluar daripada kerangka  yang menjadi pilihan majoriti penonton tidak dapat dihasilkan.

Kita mempunyai banyak karyawan filem yang bertaraf dunia.  Mereka telah membuktikan dengan usaha kendiri dan belanja yag sangat terhad untuk  memacak bendera negara di persada filem dunia.  Tentu sahaja mereka melakukan bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk bangsa dan negara.

Maka pemberian dana untuk penerbitan filem seperti ini mesti tepat dengan kemampuan karyawannya. Ini disebabkan bukan semua pengarah filem  termasuk yang ‘pecah panggung’   di tahap seorang pemikir. Banyak juga  hanya bertaraf operator, asalkan ada gambar bergerak, filemlah namanya.

Iltizam kerajaan akan berdepan kegagalan sekiranya peringkat pelaksana tidak memahami matlamat pemberian dana dan peri pentingnya filem yang sedemikian.  Untuk menyaring permohonan atau kertas cadangan bagi mendapat dana, kepercayaan mesti diberikan kepada pihak yang memahami filem,  biarpun bukan dalam kalangan birokrat.

Dana ini menggunakan duit cukai yang dikutip daripada rakyat yang secara mudahnya untuk kepentingan rakyat.  Maka dana ini perlu disalurkan kepada pihak yang tepat – sudah memperlihatkan pencapaian cemerlang di dalam dan luar negara. 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *