OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
MENGGUGURKAN semua tuduhan terhadap seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang mengkritik kelemahan sistem pendidikan bukanlah kesudahan yang diharapkan. Langkah sedemikian lebih dilihat meredakan ketegangan berbanding iltizam untuk memperksakan sistem pendidikan.
Malah keputusan yang demikian dilihat terpaksa dilakukan disebabkan sokongan padu dalam kalangan guru dan orang awam terhadap guru berkenaan. Hal ini kerana guru berkenaan tidak melakukan kesalahan, malah yang dikritik itu dilalui oleh guru lain juga.
Perkara yang sangat diharapkan oleh rakyat terutama dalam kalangan guru dan ibu bapa adalah penambahbaikan terhadap sistem pendidikan. Perkara tersebut sudah banyak kali dibangkitkan termasuk oleh kalangan profesional dalam bidang pendidikan.
Sebagai penjawat awam, Mohd Fadli tentunya sangat faham dengan prosedur tertentu dalam memberikan kritikan atau pandangan. Akan tetapi disebabkan oleh sikap sesetengah elit birokrat yang lebih menjaga ‘kerusi’, karenah birokrasi memungkinkan kritikan mengikut prosedur hilang di tangah jalan.
Mohd Fadli mengkritik isu beg sekolah yang berat tetapi tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh. Pelajar terus terdera dengan kegagalam sistem. Sekalipun menteri dan elit birokrat bertukar ganti, banyak pula kenaikan pangkat, akan tetapi isu-isu yang fundamental tidak berubah.
Selain itu beliau juga mengangkat sekali lagi isu silibus yang terlalu tinggi dengan keupayaan pelajar, keadaan kelas yang sesak menyukarkan guru memberikan tumpuan kepada semua pelajar, subjek yang terlalu banyak dan masa belajar subjek teras tidak mencukupi.
Yang diharapkan daripada kritikan itu adalah perubahan. Malah Mohd Fadli tidak mengharapkan dakwaan itu digugurkan dan beliau boleh kembali bekerja seperti sedia kala. Itu bukan tujuannya beliau mengkriktik melainkan isu yang dibangkitkan itu diberi perhatian dan berlaku perubahan.
Apabila ada kritikan, tidak kiralah dalam kalangan penjawat awam atau tidak, perkara yang utama mesti dilakukan dalam kadar segera adalah menjawab dengan hujah dan fatka.
Maknanya apabila ada yang mempersoalkan sesuatu, maka perlulah ada pihak yang menjawab perkara yang dipersoalkan. Inilah yang dinamakan kritikan membina iaitu mencetuskan tindakan untuk melakukan penambahbaikan terhada sesuatu perkara.
Apa lagi kritikan untuk kepentingan umum, sudah semestinya hal seperti ini diraikan dengan keterbukaan dan tiada prasangka. Bagaimanapun sangat malang apabila pihak birokrat hanya menjawab hal prosedur, bukan isu yang dibangkitkan.
Tentunya amat tipis untuk mengharapkan perubahan disebabkan ciri-ciri ‘sapu bawah karpet’ agak ketara. Menggugurkan semua tuduhan menjurus usaha menutup mulut dan terbukti banyak yang terlupa isu yang sebenar.
Banyak yang bergembira kerana tuduhan itu digugurkan, akan tetapi mereka lupa sekiranya guru berkenaan memilih zon selesa tentulah beliau tidak bertindak dengan cara mendatangkan risiko. Maknanya yang lebih penting bukanlah digugurkan atau tidak, akan tetapi diambil perhatian atau diabaikan seperti selalu.
Rakyat sebenarnya sudah muak dengan frasa basi, “Kami akan kaji…bla…bla…” Untuk menyakinkan rakyat berilah bingkai masanya dengan jelas – sebulan, tiga bulan, setahun atau sepuluh tahun lagi.
Difahamkan Mohd Fadli adalah seorang guru yang sangat dedikasi terhadap tugas, tidak ada sebarang rekod yang mengatakan beliau adalah individu yang bermasalah di sekolahnya. Prestasi tahunannya melepasi 90 peratus, bahkan pernah mencecah 98 peratus. Selebihnya mencatatkan rekod kehadiran bertugas yang bersih.
Melihat perkara di atas, Mohd Fadli sebenarnya seorang yang memenuhi tuntutan tata tertib seorang guru terhadap tuntutan tugasnya. Beliau boleh dikatakan melanggar tata tertib sekiranya mempunyai rekod buruk di sekolah. Atau prestasinya terhadap tugas sangat buruk.
Tentulah suatu yang sangat pelik apabila guru yang bukan sahaja memenuhi malah melampaui tuntutan dalam kerjaya perguruan dikenakan tindakan ‘tata tertib.’
Daripada kes Mohd Fadli ini boleh dirumuskan bahawa tata tertib terhadap tugas bukan suatu yang penting. Yang penting adalah ikut prosedur sekalipun sudah dapat dijangka kesudahannya.
Maka cara Kementerian Pendidikan menyelesaikan isu yang berbangkit sangat tidak menggembirakan. Pengorbanan seorang penjawat awam yang sanggup menghulur tengkuk demi kepentingan anak-anak kita tidak mendatangkan manfaat yang besar apabila isu yang utama tidak diutamakan, hal ranting pula yang didahulukan. – KUSEMAN.COM