Boeing 737-400 milik Israel

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Kita boleh sahaja bersangka baik bahawa pesawat Boeing 737-400 milik Israel yang memasuki ruang udara Malaysia hanya penerbangan ujian. Malah pesawat ini memasuki ruang udara negara ini dengan kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pesawat itu pula milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) bukan  Israel Defence Force (IDF).  Sekali pandang tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Tetapi berdepan dengan isu yang melibatkan kedaulatan negara tidak boleh dibuat semudah itu.

Mesti ingat, kita berdepan dengan Israel yang terkenal dengan manipulasi. Maka perlu dicurigai terhadap semua yang berkaitan dengan rejim zionis itu. Tidak boleh ambil mudah dengan sesuatu yang berkaitan dengan musuh seperti Isrealyang pada masa sama tidak ada hubungan diplomatik dengan kita.

Kehadiran pesawat itu wajar dibimbangkan walaupun dengan alasan menjalani ujian. Tidak ada pihak yang boleh memastikan sebenar-benarnya penerbangan ujian bukan sebaliknya. Daripada laman web Flightradar 24, pesawat itu dikatakan berlegar selama empat jam mulai pukul 6 pagi 20 Mei lalu. Kalau hal ini benar, penerbangan pesawat itu mempunyai tujuan lain.

Kebimbangan ini ada asas kukuh kerana perkara ini berlaku selang beberapa hari selepas Israel melabelkan Malaysia negara paling tegar menyokong Palestin. Kemudian diikuti ugutan melancarkan serangan siber kepada negara ini. Hal-hal seperti ini sepatutnya menjadi asas kepada CAAM menolak permohohan pihak pesawat tersebut.

Benjamin Netayahu

Oleh hal yang demikian, isu pesawat ini tidak boleh lihat secara berasingan dengan beberapa isu yang melibatkan Malaysia, Palestin dan Israel.  Perkara ini berkaitan antara satu dengan lain walaupun yang terzahir hanya pesawat yang ‘dikatakan’  membuat  ujian.

Singapura merupakan ‘anak angkat’  Israel di wilayah ASEAN. Itu pun satu bala kepada negara-negara rantau sebelah sini. Malaysia pula tidak menjalin hubungan diplomatik,  maka atas alasan apa sekalipun pesawat itu tidak sepatutnya berada dalam  wilayah kedaulatan kita.  Asas-asas ini sudah cukup untuk CAAM  dengan tidak bertolak ansur.

Ada pihak yang cuba mewajarkan kemasukan pesawat itu dengan hujah itu bukan pesawat pengintip, sebaliknya pesawat komersial dan sedang diuji. Pemilik pesawat itu bukan IDF. Jadi, tidak ada yang perlu dibimbangi dengan kehadiran pesawat itu.

Tidak cukup itu, dihujah lagi bahawa  Israel tidak perlu digunakan  pesawat untuk mengintip. Alasannya sekarang ini ada lebih 16 satelit Israel yang berterbangan di angkasa raya dan boleh merakamkan data mengenai negara ini. Tidak perlu menggunakan pesawat.

Hujah-hujah itu ada munasabahnya.  Bagaimanapun tidak boleh dijadikan alasan untuk kita berfikir selangkah ke depanmengenai Israel.  Banyak sudut lain yang mesti dilihat dan diteliti. Misalnya kemungkinan ini satu bentuk provokasi, boleh jadi berupa ugutan seperti yang telah disiarkan sebelum ini.

Memang benar satelit yang berlegar di angkasa itu lebih berkeupayaan untuk mengintip Malaysia.  Hal itu memang semua tahu malah kedudukan tempat-tempat strategik dalam ketenteraan bukan lagi satu rahsia.  Walaupun begitu tidak boleh melihat sesuatu berkaitan Israel dengan lurus dan mudah.

Pihak berkuasa seperti CAAM  perlu melihat melampaui yang tersurat. Lagi pun kita tidak perlu memberi alasan melarang pesawat dari negara yang tiada hubungan diplomatik memasuki ruang udara Malaysia. Siapa Israel untuk mempersoal kita kalau tidak dibenarkan melintas ruang udara kita.

Ruang udara adalah kedaulatan negara.  Hal ini sama dengan kawasan perairan negara. Ini kedaulatan seperti kita menjagasupaya bendera negara tidak diperlakukan tidak senonoh oleh sesiapa juga.  Ruang udara adalah halaman rumah kita. Musuh tidak dibenarkan, bukan sahaja berada malah melintas pun tidak boleh.

Tambahan pula keberadaan pesawat itu tidak ada keperluan kemanusiaan yang mendesak, misalnya itu dalam keadaan kecemasan.   Maka semua ini lebih menjurus kesengajaan dan provokasi untuk menunjukkan kepada dunia  yang Israel menembusi wilayah Malaysia.

Isu-isu geopolitik apa lagi yang  melibatkan pendirian Malaysia terhadap perjuangan kemanusiaan di Palestin,  tidak boleh dilihat atau dibaca dengan menggunakan formula matematik.  Sensitiviti geopolitik tidak semudah matematik untuk menjawabnya.

Advertisement

Apabila pesawat  Isreal dibenarkan berada di ruang udara Malaysia  sudan tentu ini mengundang banyak pertanyaan. Bukan sahaja tentang keselamatan tetapi kedaulatan dan pendirian Malaysia terhadap isu antarabangsa. Tentang simbol-simbol yang membawa maksud memperkecilkan kedaulatan negara.

Perbuatan yang dilakukan oleh Israel ini boleh diibaratkan penceroboh siber (hacker) masuk dalam laman sesawang kita kemudian meninggalkan komen menunjukkan keberadaan dia dalam laman itu. Walaupun tidak mengubah isi kandungan, tetapi kita faham itu satu provokasi.

Dalam hal begini kita perlu mengambil teladan pendirian Indonesia yang tidak pernah berubah dalam mendokong perjuangan Palestin. Indonesia seperti juga Malaysia yang sangat menonjol mengecam keganasan Israel. Ini ditunjukkan dengan ketegasan melarang pesawat Israel melintasi ruang udaranya.

Pada kejadian 21 Februari 2017  Indonesia dengan tegas melarang pesawat membawa Perdana Menteri  Israel Benjamin Netayahu menggunakan ruang udara negaranya.  Ketika itu pesawat berkenaan akan berlepas dari Lapangan Terbang Changi, Singapura menuju Sydney, Australia.

Sudut geografinya, penerbangan dari Singapura ke Sydney lebih singkat di segi jarak dan masa kalau melintas dalam ruang udara Indonesia. Bagaimanapun pesawat berkenaan terpaksa mengalih pada laluan yang lebih jauh – daripada jarak 6,664 kilometer (7 jam 28 minit) menjadi 9,474 kilometer (11 jam 3 minit).

Walaupun ternyata itu bukan pesawat pengintip yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan,  tetapi ruang udara adalah kedaulatan Indonesia.   Tidak boleh sama sekali dicemarkan oleh pesawat yang membawa pengganas seperti Netayahu. 

Apakah kalau kita  berada pada kedudukan seperti Indonesia akan memikirkan dan bertindak sedemikian demi kedaulatan negara?   

Maka kerajaan perlu segera menjelaskan kepada rakyat tentang kejadian berkenaan, apa lagi difahamkan dengan izin CAAM. Kejadian ini sebenarnya menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Ini lebih merupakan isyarat Israel yang dihantar kepada Malaysia. Ruang udara sudah lepas, tunggu serangan siber pula. (Utusan Malaysia 31 Mei 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *