OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
SEWAKTU Nasir Jani mengarahkan filem Kembara Seniman Jalanan tahun 1986, ada pihak yang skeptikal dengan kemampuan pengarah baharu itu. Sesetengah daripadanya berpendapat, isu cetak rompak tidak boleh ‘menjual’ filem itu kepada penonton.
Kembara Seniman Jalanan dihasilkan ketika dunia filem Melayu dilambakkan dengan melodrama percintaan yang memerah air mata. Selebihnya bercorak komedi yang sebenarnya tidak kelakar. Tetapi hanya itulah sahaja menu yang dihidangkan kepada penonton.
Banyak yang berkata, siapa yang hendak menonton filem yang tidak ada yang popular. Walaupun M Nasir menjadi pelakon utama, tetapi dia belum popular. Kalau dilihat daripada formula menarik penonton ke pawagam, M Nasir bukanlah orangnya.
Saya pernah bertanya kepada Nasir Jani, “Hendak jual apa dalam Kembara Seniman Jalanan?” Nasir Jani pantas menjawab, “Aku tak nak jual apa, aku nak ajak orang melawan cetak rompak. Aku nak bagitau ada orang muda bangkit lawan perusahaan haram itu.”
Nasir Jani menyertai dunia perfileman dengan jiwa yang rebel. Dia bukan anti establishment yang membuta tuli, akan tetapi melawan kebobrokan dan dominasi politik kembungkan poket sendiri. Sekalipun begitu yang berfikiran seperti Nasir Jani tidak banyak pada zaman itu.
Tentulah tidak munasabah Nasir Jani mahu menghasilkan filem melodrama. Filem Kembara Seniman Jalanan di tangannya sangat keras dan lantang. Filem ini bukan lagi satira, sebaliknya ‘membelasah’ tepat pada sasar – birokrat yang karat. Akhirnya hingga kini itulah satu-satunya filem Melayu yang bangkit melawan cetak rompak dan ketidakseriusan penguasa terhadap isu berkenaan.
Ketika Kembara Seniman Jalanan dihasilkan, cetak rompak album penyanyi tempatan dan pita video filem import seperti Hollywwood, Hong Kong dan filem Melayu sudah menguasai industri ini. Skalanya terlalu besar, akan tetap tidak ada undang-undang yang boleh membendung jenayah terancang ini.
Walaupun begitu dalam kalangan orang biasa, cetak rompak bukan satu masalah sebaliknya peluang untuk mendapatkan barang (kaset dan pita video) dengan harga yang murah. Orang jenis ini hanya melihat kepentingan di sekitar kepala lutut mereka sahaja. Inilah pemangkin cetak rompak.
Dalam keadaan yang sedemikian berdirilah Nasir Jani dan Zarul Al Bakri yang menjadi penerbit filem Kembara Seniman Jalanan. Kedua-duaya yang masih muda ketika itu melihat cetak rompak daripada jalur pandangan yang jauh ke depan. Mereka memperlihatkan idealisme anak muda di luar isu-isu sekitar kehidupan mudanya sahaja.
Saya fikir perlu disebutkan juga bahawa ketika Nasir Jani melihat akan kerosakan yang besar daripada perusahaan cetak rompak ini, negara kita belum mempunyai satu pun akta mengenai cetak rompak. Memang patutlah tauke perusahaan ekonomi hitam ini menjadi raja.
Akta mengenai cetak rompak hanya wujud pada 1987 dikenali dengan Akta Hak Cipta 1987. Maknanya Nasir Jani lebih awal melihat permasalah berkaitan ekonomi dan sosial dalam isu cetak rompak ini. Walaupun begitu akta hanya benda mati kalau dimanfaat dengan sepenuhnya.
Hasilnya Akta Hak Cipta 1987 tidak memberikan kesan yang diharapkan. Perusahaan haram itu beroperasi seperti biasa, malah lebih ganas. Kalau pelancaran album penyanyi tempatan di sebelah pagi, pada petangnya album cetak rompak sudah berlambak di pasar malam sekitar Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur adalah lombong emas kaset cetak rompak pada tahun 1980-an. Seolah-olah cetak rompak sebuah perusahaan halal dan dilakukan secara terbuka. Malah ketika itu jarang diistilahkan sebagai kaset cetak rompak – hanya disebut kaset murah.
Apabila ada kaset murah, tentu ada keset mahal. Yang peliknya saya tidak pernah tengok kedai menjual kaset mahal (asli). Semuanya, daripada gerai di kaki lima sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Chow Kit dan Pudu serta pasar malam menjual kaset cetak rompak.
Malah kita akan diketawakan kalau hendak membeli kaset original di Kuala Lumpur. Seolah-olah tidak ada istilah kaset original yang diterbitkan oleh syarikat rakaman. Antara yang termasyhur ketika itu EMI, WEA dan Polygram. Syarikat rakaman tempatan belum wujud lagi.
Jangan marah kalau saya tidak ada statistik jumlah jutawan yang dilahirkan oleh kegiatan ekonomi hitam perusahaan cetak rompak itu. Bukan saya sahaja, malah birokrat yang bertanggungjawab terhadap hal elwal melawan cetak rompak juga tidak dapat memberikan statistiknya.
Walaupun begitu daripada pengamatan dan penyelidikan secara peribadi, memang banyak yang menjadi jutawan hasil merompak hak cipta dalam industri muzik dan filem.
Maka apakah lagi pilihan yang boleh dibuat oleh Nasir Jani apabila melihat filemnya dan yang lain-lain juga menjadi mangsa cetak rompak? Nasir Jani tidak ada pilihan melainkan mengambil tindakan sendiri – bangkit dan melawan. Hendak mengharapkan pihak berkuasa? Semuanya macam tidak berkuasa.
Saya ada bersama-sama Nasir Jani ketika dia dan beberapa rakan menyerbu ke kedai menjual pita video cetak rompak filem Kembara Seniman Jalanan di Kompleks Pertama. Bukan sahaja menyerbu tetapi merampas pita video haram itu. Saya fikir tidak ada lagi yang senekad itu bertindak menjaga hasil kerjanya dirompak di depan mata.
Walaupun begitu harga yang perlu dibayar juga tinggi. Saya terkedu melihat sendiri Nasir Jani ditahan oleh polis dan dibawa ke Balai Polis Campbell yang tidak jauh dari Kompleks Pertama.
Nasir Jani memang bersedia berdepan tindakan membelakangkan undang-undang. Akan tetapi undang-undang tidak mampu menyelamatkan hasil karyanya daripada dirompak di depan matanya. Maka dia memilih untuk bangkit sekalipun mempertahankan hak itu satu kesalahan.
Cara Nasir Jani tentulah lebih bermaruah berbanding segelintir penyanyi wanita yang sanggup mendedahkan badan di majalah dan surat khabar kononya untuk melariskan jualan album. Bagaimanapun hakikatnya penyanyi wanita menjual maruah, tauke perusahaan cetak rompak yang mengaut untung.
Melalui Kembara Seniman Jalanan, Nasir Jani memberi suatu yang jauh lebih besar berbanding sesuatu yang dia dapat daripada zamannya. Nasir Jani sebenarnya tidak mendapat apa-apa pada zamannya. Sebaliknya melakukan untuk generasi masa depan.
Maka biarlah kalau filemnya dilihat ganas dan liar daripada sudut pandangan pemikiran yang terkepung oleh sistem yang korup. Kembara Seniman Jalanan menjadi tanda sejarah yang penting tentang beberapa perkara terlepas daripada rakaman para sejarawan.
Akhirnya ternyata bahawa bahawa dalam keadaan tertentu memberontak dalam karya sahaja belum cukup. Untuk melawan kartel ekonomi hitam itu memaksa Nasir Jani bertindak selangkah ke depan dan memberontak di luar filem.
Banyak yang setuju dengan tindakan itu, tetapi tidak punya kemampuan untuk berbuat demikian. Harga yang perlu dibayar sangat mahal kerana melawan cetak rompak itu ibarat melawan kerajaan. (Wilayahku 21 Oktober 2022)