OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

BERKEMAMPUAN dan tidak membebankan menjadi syarat wajib mengerjakan haji seperti yang ditegaskan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Idris Ahmad sememangnya betul. Malah syarat wajib rukun Islam kelimaitu sudah difahami oleh sebahagian besar umat Islam di negara ini.

Kenyataan seperti itu bukan suatu yang luar biasa atau salah. Bagaimanapun apabila disarankan oleh menteri yang mengawal selia Tabung Haji, maksudnya menjadi lain. Saranan atau nasihat ini dilihat dalam konteks subsidi yang ditanggung oleh Tabung Haji.

Walaupun begitu masyarakat Islam tidak boleh disalahkan sekiranya memahami ini sebagai isyarat bahawa subsidi kos mengerjakan haji akan dikurangkan, malah mungkin ditiadakan pada masa depan.  Kalau tidak masakan menteri sendiri beria-ia menekankan bahawa syarat wajib haji hanyalah kepada mereka yang berkemampuan.

Dalam kata lain Tabung Haji boleh sahaja tidak memberikan subsidi kepada yang tidak berkemampuan. Umat Islam pula tunggu sahajalah apabila berkemampuan dari segi harta untuk merealisasikan hasrat mencukupkan rukun Islam ini, walaupunkita sudah ada mekanisme iaitu asas penubuhan Tabung Haji untuk membolehkan mereka mengerjakan haji.

Pemimpin politik dan elit korporat mesti memahami matlamat penubuhan Tabung Haji untuk membantu golongan kurang kemampuan (Gambar Utusan Malaysia)

Akan tetapi sekiranya subsidi dikurang atau dimansuhkan sekalipun, umat Islam yang kurang kemampuan tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka tidak ada suara pendesak. Malah tidak ada suara politik. Yang ada hanya keazaman dan itu dibuktikan dengan iltizam menabung berpuluh-puluh tahun lamanya.

Sekiranya ditakdirkan kembali menemui Ilahi sebelumta bungan mencukupi, setidak-tidaknya mereka sudah berazam untuk mengerjakan haji.  Mereka tidak ambil mudah hanya bersandarkan ‘ yang berkemampuan wajib mengerjakanhaji.’ 

Umat Islam khususnya orang Melayu ketika belum wujud Tabung Haji dulu sudah hidup dalam kesempitan hidup. Tidak banyak yang mempunyai harta, sebahagian besarnya hanya kais pagi makan pagi. Secara munasabahnya mereka dibolehkan untuk tidak ‘bermimpi’ mengerjakan haji.

Tetapi banyak dalam kalangan yang hidup dalam kesempitan itu berazam serta berusaha dengan menabung secara tradisional.  Mereka sedar akan keselamatan tabungan yang sentiasa terdedah dengan ancaman kecurian atau kebakaran. Tetapi hanya itu sahaja usaha daripada azam yang tidak erti putus asa untuk mengerjakan haji.

Keazaman yang luar biasa ini menangkap perhatian pemikir bangsa yang ulung,  Allahyarham Profesor DiRaja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid yang kemudiannya mengusulkan gagasan awal perbadanan untuk mengurus dan memudahkan umat Islam mengerjakan haji.

Padahal Ungku Aziz boleh sahaja mengambil mudah – tidak berkemampuan tidak usah mengerjakan haji. Bagaimanapun seorang yang berpemikiran tinggi, berpandangan jauh dan memikul tanggungjawab kepada umat Islam tidak akan bertindak sedemikian. Ini boleh memancung azam terhadap sesuatu perkara yang sepatutnya diberi perangsang.

Sikap mengambil mudah begitu hanya ada kepada mereka yang tidak ada keazaman untuk menyelesaikan masalah. Sikap ‘mencuci tangan’ dengan menggunakan alasan hukum wajib haji itu tidak ada kepada Ungku Aziz.  Kelonggaran hukum tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencari alternatif yang membolehkan umat Islam menjadi layak untuk mengerjakan haji.

Disebabkan kebertenggungjawaban menyelesaikan masalah orang miskin untuk mengerjakan haji,  Ungku Aziz membentangkan kerras kerja bertajuk, ‘Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji’

Advertisement
pada tahun 1959. Saranan Ungku Aziz itu dizahirkan melalui penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada 1962.

Itulah titik mula Tabung Haji yang sekarang ini berdiri megah sebagai sebuah konglomerat yang menjana pendapatan berbilion-bilion ringgit. Walaupun menjadi konglomerat, Tabung Haji dan elit politik yang mengawal selia tidak boleh terputus dengan matlamat asal.

Ungku Aziz sempat melihat era kegemilangan Tabung Haji dan semua ini adalah kejayaan kita bersama. Tabung Haji tidak wujud tanpa prinsip perjuangan utama awalnya, ‘membaiki ekonomi bakal-bakal haji.’

Kembali pada saranan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu, sekiranya beliau hanya seorang ulama atau pemimpin politik, saranan itu memang tidak teranjakan daripada makna yang sebenar.  Akan tetapi disebabkan kedudukannya kini, saranan itu seolah-olah tiada keazaman untuk menyelesaikan ketidakmampuan golongan B40 misalnya, untuk mengerjakan haji.

Kalau bersandarkan pada sikap ambil mudah dalam isu haji ini, tentulah Ungku Aziz tidak bersusah payah memerah otak membentang kertas kerja yang bertujuan membantu golongan yang susah. Keazaman orang-orang terdahulu terhadap keutamaan dalam agama wajarlah dijadikan contoh ikutan.

Saranan Idris boleh menyebabkan golongan kurang kemampuan tidak mempunyai keazaman untuk mengerjakan rukun Islam itu.  Walaupun tidak wajib kepada yang kurang kemampuan, tetapi perlu diingat bahawa keazaman adalah yang menjadi faktor penentunya.

Kita bimbang suatu ketika nanti golongan berkenaan sudah tidak ada keazaman untuk mengerjakan haji. Akan tercatat suatu yang mengecewakan sudahlah tidak mampu mengerjakan haji, azam ke arah itu pun tidak ada.

Rakyat miskin bukanlah meminta Tabung Haji membiayai mereka sepenuhnya. Kadar subsidi yang diberikan seperti sebelum ini sudah amat memadai dan tidak timbul rungutan akan hal itu. Lagipun subsidi yang diberikan tidak melibatkan duit yang dikutip daripada cukai ke atas rakyat, sebaliknya adalah hasil pendapatan Tabung Haji sendiri.

IDRIS AHMAD

Pada masa yang sama Tabung Haji mungkin boleh menyusun semula kaedah pemberian subsidi mengerjakan haji. Mesti disyaratkan kepada golongan yang tidak ada kemampuan.  Tidak kenalah kalau semua golongan diberikan subsidi, kaedah ini sebenarnya mengambil hak mereka yang tidakmampu.

Mekanisme telah ada, menteri hanya perlu meneruskan legasinya dengan sedikit penambah baikan sahaja sekiranya masih ada yang perlu diperbaiki; bukan mengurangkan usaha yang telah sedia baik. Sebagai sebuah negara Islam, usaha untuk mendorong umat Islam taat kepada ajaran agama perlu diberi keutamaan.

Maka kerajaan tidak boleh awal-awal lagi sudahmemperlihatkan sikap ambil mudah dan pesimis dengan bersandarkan syarat dalam Islam. Ini sikap yang tidak proaktif, tidak dinamik dalam usaha untuk menyelesaikan masalah. Kelihatan lebih menyerah pada keadaan.

Sudah tentu tidak menepati tujuan asal sekiranya Tabung Haji sering merungut tentang subsidi sehingga memancung cita-cita para petani atau penoreh getah di kampung yang sangat teruja untuk menjadi tetamu Allah sekian lama. (UTUSAN MALAYSIA 26 SEPTEMBER 2022)

 

 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *