Koh Young Hun (kanan) memperkatakan mengenai bahasa Melayu kepada penulis di Kuala Lumpur baru-baru ini (Gambar: Kim)

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

“TANGGAPAN itu sangat tidak benar,” demikian dengan tegas sarjana bahasa Melayu, Profesor Koh Young Hun yang menolak hujah mengatakan bahasa Melayu tidak boleh memajukan negara dalam bidang industri dan teknologi.

Menurut beliau, tanggapan yang tidak bersandarkan bukti itu adalah satu penganiayaan dan perbuatan yang tidak adil pada bahasa Melayu. Sebaliknya bahasa yang pernah menjadi lingua franca zaman kegemilangan Srivijaya itu mempunyai pengaruh dan kekuatan sebagai bahasa ilmu.

Malah Young Hun juga menegaskan, sebagai bukti Korea Selatan menjadi antara negara yang  menggunakan bahasa ibunda dan terkedepan dalam industri  serta teknologi.

Young Hun yang juga  profesor di Jabatan Pengajian Melayu Indonesia di Universiti Hankuk, Korea Selatan itu berkata, tanggapan menafikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amat bertentangan dengan hakikat bahawa banyak negara menguasai teknologi dengan bahasa ibunda.

“Selain Korea Selatan,  negara maju seperti Jepun, China, Jerman, Perancis dan Rusia memperkasakan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu. Negara-negara ini maju walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris,” tegas Young Hun ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Koh Young Hun

“Saya fikir mereka patut menunjukkan buktinya yang bahasa Melayu tidak boleh memajukan negara,” tambah beliau lagi.

Sebenarnya sebelum ini pun ahli akademik dan pejuang bahasa sudah lama yakin bahawa bahasa Melayu itu bahasa ilmu. Bagaimanapun sebahagian besar pemimpin masih berfikir dalam acuan penjajah. Pada tanggapan mereka hanya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa ilmu untuk maju dalam bidang teknologi.

“Kami di Korea Selatan tidak menolak bahasa Inggeris. Tetapi untuk maju kami lebih yakin dengan bahasa Korea,” kata beliau yang tidak percaya bahasa Inggeris boleh memajukan bidang teknologi di negara yang mempunyai bahasa ibunda masing-masing.

Di Korea Selatan, bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa asing pertama.  Sebagai bahasa asing, bahasa itu digunakan hanya dalam keadaan tidak rasmi atau dalam urusan antarabangsa sahaja. Bagaimanapun orang Korea Selatan,  tanpa mengira siapa mereka, semuanya bertutur dalam bahasa Korea.

Pada masa yang sama semua universiti mempunyai  pusat pengajian bahasa Korea bertujuan supaya bahasa itu didalami dan terus diangkat dalam kalangan generasi muda.

Young Hun memberitahu,  semua pelajar di universiti di Korea Selatan dikehendaki  mempelajari bahasa Inggeris dan satu bahasa lain sebagai bahasa asing kedua – antaranya bahasa Arab, Rusia, Jerman, Perancis dan Vietnam.

Mengenai usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di peringkat ASEAN,  Young Hun berkata, bahasa Melayu mesti memperkukuhkan kedudukan dalam negara terlebih dahulu dan ditutur oleh semua lapisan masyarakat.

Apabila sudah mempunyai kedudukan tertinggi dan digunakan dalam semua urusan terutama pentadbiran dan pendidikan,  ini lebih menyakinkan penutur dari negara luar.

“Pelajar-pelajar saya di Kuala Lumpur berdepan kesukaran untuk mengamalkan bahasa Melayu kerana orang Kuala Lumpur lebih banyak bertutur bahasa Inggeris. Sesetengah pula sekerat bahasa Melayu dan sekerat Inggeris. Keadaan begini tidak menyakinkan penutur luar negara untuk belajar bahasa Melayu,” ujar beliau.

Teguran daripada orang luar terhadap sikap sebahagian besar dalam kalangan rakyat terhadap bahasa Melayu memang memalukan. Bagaimanapun banyak yang terus berbangga melulu dengan bahasa Inggeris kerana sejak kecil tidak ditanam dengan sikap menjunjung bahasa Melayu.

“Kita mesti mempunyai bangsa.  Tetapi  bangsa  itu tidak datang dengan sendirinya kecuali kita mengangkat bahasa dan kebudayaan. Sikap terhadap bahasa Melayu mesti berubah pada yang lebih murni supaya bangsanya tertampil,” katanya.

Advertisement

Menurutnya, rakyat negara ini mesti faham sebab yang mendorong sasterawan besar Nusantara,  Pramoedya Ananta Toer  berkarya dalam bahasa Melayu (Indonesia) dan bukan bahasa Jawa.  Pramoedya yakin dengan pengaruh bahasa Melayu.

“Saya fikir bahasa Melayu mesti ada tarikan yang secara tidak langsung memikat orang luar ikut mempelajari. Seperti bahasa Korea,  pendekatan pengantarabangsaan kami adalah dengan memanfaatkan budaya popular seperti muzik dan filem,” jelas beliau.

Young Hun menekankan bahawa orang di negara lain tidak boleh dipaksa mempelajari sesuatu bahasa asing kecuali ada  sesuatu tarikan dan minat terhadap bahasa itu datang secara sukarela. Populariti isi kandungan kreatif berbahasa Korea membawa bahasa itu keluar daripada lingkungan negaranya.

Pada 2018 ketika berlangsungnya Sukan Asia ke 18 di Jakarta, Indonesia,  Young Hun diundang sebagai pengulas hal-hal budaya Indonesia untuk sebuah stesen televisyen Korea Selatan. Ketika acara pembukaan di stadium utama Gelora Bung Karno, beliau terkejut apabila hampir semua penonton turut menyanyi bersama-sama artis-artis dari Korea Selatan.

Bagi Young Hun,  keadaan itu membuktikan budaya popular iaitu drama dan muzik lebih dahulu merintis lorong dan membina tapak yang kukuh untuk bahasa Korea. Bukan sahaja budaya popular malah karya kesusasteraan yang baik juga mempunyai peluang untuk menarik orang luar mempelajari bahasa Korea.

Sebenarnya pengembangan bahasa Melayu di Korea Selatan sudah bermula sejak hampir enam dekad lalu. Misalnya Jabatan Bahasa Melayu Indonesia di Universiti Hankuk yang diwujudkan sejak 1964 sudah melahirkan beribu-ribu graduan dalam jurusan bahasa Melayu di Korea Selatan. 

Sesetengah dalam kalangan graduan itu melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan PhD di  Malaysia. Malah Young Hun sendiri melanjutkan pengajian Melayunya di peringat sarjana dan PhD di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada 1986 hingga 1994.

“Saya kecewa apabila melihat ada orang di Malaysia gemar mencampur aduk istilah bahasa Melayu dan Inggeris. Apakah bahasa itu? Bukan bahasa Melayu  atau Inggeris, “ tegas beliau yang sangat giat mengembangkan bahasa Melayu di Korea Selatan.

Untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu juga,  beliau menyarankan pihak tertentu di negara ini  memanfaatkan pusat pengajian bahasa Melayu yang ada di banyak negara. Bagi Young Hun, pusat bahasa bahasa Melayu itu boleh dianggap sebagai agen mengembangkan bahasa Melayu di luar Malaysia.

“Tetapi agak malang, sepanjang ingatan saya Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Hankuk tidak pernah dihubungi oleh pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Untuk berbincang mengenai bahasa Melayu.  Padahal kami di sana  juga turut mengembangkan bahasa Melayu,”  jelas beliau.

Korea Selatan sebenarnya sangat bersungguh-sungguh dalam mengembangkan bahasa Melayu. Kerajaan Korea Selatan dengan kerjasama Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) telah membangunkan perisian pembelajaran Bahasa Melayu dengan belanja AS$1.5 juta.

“Perisian berteknologi kepintaran buatan (AI) ini membolehkan pelajar Bahasa Melayu belajar seperti dalam kuliah, semua pertanyaan dijawab dalam kadar segera oleh AI dalam bentuk tulisan dan suara dengan cekap,”  jelas Young Hun yang terlibat secara langsung dengan perisian pintar ini bersama-sama beberapa pensyarah lain.

Apakah negara kita yang menjulang bahasa Inggeris sudah mengatasi kemajuan negara yang menggunakan bahasa ibunda? Pertanyaan ini tidak perlu dijawab, sebaliknya difikir oleh semua –  rakyat dan juga pemimpin yang membuat dasar. (UTUSAN MALAYSIA 4 JULAI 2022)

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *