OLEH ZAINI UJANG

RAMAI orang sukar membezakan antara dua tokoh negara, Arshad Ayub dan Abdullah Ayub. Semasa hayat mereka, kedua-duanya bergelar “Tun” dan punya sejarah gemilang dalam pentadbiran awam.

Abdullah pernah menjadi Ketua Setiausaha Negara dan terlibat dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, dan penubuhan Malaysia.

Arshad Ayub pula pelopor Institut Teknologi MARA (ITM), sejak awal penubuhan selepas dinaik taraf dari Lembaga Kemajuan Luar Bandar (RIDA).

Walaupun kemudiannya  Arshad menjawat pelbagai jawatan termasuk Ketua Setiausaha Kementerian dan Timbalan Gabenor Bank Negara, tetapi ketokohan dan kecenderungan beliau adalah dalam bidang pendidikan.

Saya mengenali Arshad secara peribadi selepas ditemuduga untuk jawatan Naib Canselor UTM pada pertengahan 2008.

Arshad Ayub meninggalkan jasa yang besar dalam bidang pendidikan di negara ini.

 

Dalam sesi bersama-sama lima orang tokoh akademik itu, Arshad yang awal dan paling kerap bertanya dengan pelbagai persoalan tentang arah tuju pendidikan tinggi, dan kemahiran pentadbiran serta pemikiran strategik.

Selepas saya dilantik Naib Canselor, saya ditanya setiap kali bertemu beliau di pelbagai acara tentang apa yang saya perkatakan dalam sesi temuduga tersebut.

Ada kalanya Arshad mengkritik kerana pada hemat beliau, institusi yang saya terajui ketika itu kurang menyerlah, maka saya perlu lebih gigih dan tabah. Ada juga masanya beliau mengucap tahniah.

Ketika saya diumumkan penerima pertama Anugerah Merdeka (Pencapaian Akademik) 2009, Arshad dan Abdullah Ayub adalah antara individu terawal mengucap tahniah. Ketika itu Abdullah Ayub merupakan Pro-Canselor UTM.

Saya kagum dengan Arshad Ayub kerana semangat kerjanya walaupun pada usia tua. Selain rajin beliau sentiasa sedia memberi tunjuk ajar untuk berkerja dengan efisien dan efektif. Kata nasihatnya padat dan tepat. Nadanya tulus dan telus.

Dalam satu majlis, saya dijemput memberi syarahan tentang “Mengangkasa Pengajian Tinggi

Advertisement
” (tajuk buku saya terbitan UTM Press, 2008). Ringkasnya saya cuba memberi pandangan untuk menaikkan martabat dan kualiti pengajian tinggi universiti di Malaysia mengikut sususan kronologi dan prestij akademik.

Dalam slide yang saya bentangkan tidak tertera “ITM” sebagai sebuah IPT pada 1970-an. Memang itu suatu kesilapan. Sejurus saya berucap, Arshad tampil dan menegur saya secara terbuka. Saya akur dan mengucapkan terima kasih atas teguran tersebut.

Semasa bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi, Arshad sering saya hubungi. Semasa Arshad menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, saya ada “saluran” untuk sering bertemu beliau, dan cuba belajar sebanyak mungkin untuk memahami banyak hal, khususnya tentang dasar-dasar pendidikan pasca 1960-an.

Arshad sangat pemurah dengan ilmu dan pengalamannya. Seperti Abdullah Ayub juga, pandangan Arshad lebih bersifat sistemik dari sudut pendidikan, tidak terikat dengan sesuatu disiplin ilmu.

Keduanya juga memahami kaedah dan tatacara pentadbiran awam membuatkan nasihat dan pandangan mereka lebih mudah untuk dilaksanakan.

Barangkali pengalaman kedua-duanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membuatkan mereka berada dalam kelas tersendiri.

Hari ini rakyat Malaysia seharusnya berduka nestapa dengan pemergian Arshad Ayub, seorang wira bangsa yang telah mengukir tinta emas, memberi sumbangan luar biasa untuk memajukan pendidikan anak bangsa!

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh.

Untuk keduanya: Al-Fatihah  (Dipetik daripada Facebook Zaini Ujang)

  • DATUK DR ZAINI UJANG adalah Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) dan mantan Naib Canselor UTM.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *