Michelle Yeoh ketika menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Golden Globe baru-baru ini.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

DALAM masa dua minggu kebelakangan ini  ada beberapa teman mengumpil pandangan saya mengenai Michelle Yeoh. Sana sini orang galak bercakap mengenai pelakon asal dari Perak itu. Di garis masa media sosial dan juga portal berita penuh dengan bangga dan puji selepas mendapat anugerah di Golden Globe.

Saya tidak segera menjawab, akan tetapi bertanya kembali  pandangan mereka terhadap sumbangan Michelle Yeoh.  Mereka berbangga kerana kononnya sebagai meraikan pelakon pertama negara ini berjaya ke Golden Globe.  Itulah yang membuatkan mereka berbangga.

Dengan pantas saya menegaskan tidak berbangga, tetapi turut gembira dengan kejayaan peribadi itu. Saya hanya akan berbangga sekiranya Michelle Yeoh membawa Malaysia bersama-samanya.

Sesekali  terfikir juga tentang peliknya sesetengah dalam kalangan kita termasuk para pemimpin yang berbangga melulu. Misalnya suatu ketika dulu kerajaan menggalakkan syarikat filem luar negara membuat penggambaran di negara ini.  Tidak cukup itu, beri pula beberapa insentif.

Maka pada satu kesempatan saya pernah bertanya kepada seorang bekas menteri  tentang kutipan hasil  daripada dasar menggalakan penggambaran filem di Malaysia. Jawapannya  sama sekali di luar jangkaan. Katanya,  kita tidak boleh fikir tentang hasil pendapatan, kena fikir tentang imej negara yang terpantul di peringkat antarabangsa.

Bagi bekas menteri ini,  imej negara terpancar apabila filem antarabangsa seperti  dari Hollywood, Hong Kong dan India menggunakan negara ini sebagai lokasi penggambaran. Dengan cara ini,  katanya dengan bangga orang di luar negara akan lebih mengenali Malaysia.

Bagaimanapun beliau tidak sedar bahawa banyak filem Hollywood berlatarkan era perang Vietnam menggunakan latar di Sri Lanka atau Filipina. Kedua-dua negara ini mempunyai alam semula jadi yang sama dengan Vietnam.

Malangnya Sri Lanka dan Filipina tidak dikenali pun hasil daripada penggambaran filem-filem Hollywood. Sedikit pun tidak membantu melonjakkan imej negara. Hakikatnya belum ada negara yang dikenali oleh orang luar hanya dengan menjadi lokasi filem.

Dalam isu Michelle Yeoh, saya gembira dengan kejayaan sesiapa juga, sama ada di dalam atau luar negara. Kita realistik bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan seseorag itu terpaksa menempuh berbagai rintangan dan cabaran. Tentu ada kehebatan tersendiri yang membawa pada kejayaan.

Akan tetapi kita hanya perlu berbangga pada sesuatu yang memberikan pengertian yang tinggi pada negara.  Banyak dalam kalangan warga maya yang dunia mereka di media sosial tidak melihat akan hakikat tersebut. Bagaimanapun ini tidaklah menghairankan kerana sebahagiannya tidak ubah ikan mati yang arus.

Michelle Yeoh dalam pengertian kebanggaan orang kita adalah seorang penggiat seni. Sebagai orang seni,  kriteria sumbangan pada negara adalah melalui seninya. Keberadaannya mesti membawa negara bersama-samanya.

Akan tetapi Michelle Yeoh tidak membawa Malaysia bersama-samanya di pentas dunia. Mungkin akan dilakukan pada masa akan datang. Bagaimanapun setakat ini dia hanya membawa ‘Malaysia’ dalam biografi yang disiarkan di media luar negara.  Itu sahaja.

Advertisement

Sebaliknya lebih banyak membawa dan menaikkan nama Hong Kong ke persada dunia. Dia pelakon filem Hong Kong dalam yang mengangkat milieu  bekas tanah jajahan British itu. Malah seingat saya tidak pernah pun membawakan  watak Cina Malaysia dalam filem Hong Kong.

Maka makna ‘kejayaan’  itu mesti diperincikan supaya kita tidak terlajak bangga pada perkara-perkara yang murah. Sebenarnya elok juga kalau berkira-kira atau menjadi kedekut untuk berbangga terhadap sesuatu.  Hal yang demikian menjadikan penyataan bangga itu menjadi suatu yang tepat pada nilainya.

Tanpa prejudis,  Michelle Yeoh  sebenarnya terlalu jauh di belakang kalau dibandingkan dengan beberapa pengarah filem kita dalam  konteks mengangkat nama negara. Karya filem mereka bukan sekadar ‘dari Malaysia’, akan tetapi membawa pemikiran, budaya dan sosial setempat.

Kalau ada yang berkata, bukan mudah untuk memecah tembok Golden Globe atau Anugerah Academy,  tahukah mereka bahawa lebih sukar lagi untuk melayakkan diri ke beberapa festival ternama di luar negara?  Maknanya banyak yang terlepas pandang, kemudian berbangga melulu kepada yang tidak selayaknya.

Organisasi media atau secara khususnya golongan wartawan wajar berperanan dalam mengangkat sesuatu yang mencapai tahap kecemerlangannya. Wartawan perlu menjadi lebih cekap menilai sesuatu pencapaian yang melibatkan orang tempatan. Tidak sekadar melapor, wartawan mesti membentuk aras pemikiran khalayak.

Pencapaian luar biasa karyawan filem kita di peringkat antarabangsa terlalu sedikit dilaporkan di media. Salah satu sebabnya pencapaian itu tidak menjadi tumpuan agensi media antarabangsa seperti yang diberikan kepada Michelle Yeoh. Adakah selamanya media kita hanya mengekor sahaja apa yang media luar negara lakukan?

Disebabkan kejayaan peribadi Michelle Yeoh ini,  ada juga pihak yang mengambil peluang untuk memperlekeh dunia perfileman tempatan. Kononnya tidak membantu melahirkan individu yang berjaya  ‘menaikkan’ nama negara di luar negara. Hujahnya, Michelle Yeoh berjaya bukan kerana dunia perfileman tempatan.

Ini adalah tanggapan yang sangat melulu.  Sekalipun kita mengakui banyak kelemahan dalam dunia perfileman tempatan serta birokrat filem seperti Finas, akan tetapi banyak karyawan filem kita telah memacak bendera Malaysia di luar negara. Tetapi wartawan pula terlepas pandang untuk meraikan suatu yang membanggakan itu.

Walaupun begitu pada iltizam Michelle Yeoh dalam membina kerjaya lakonan di luar negara wajar dijadikan teladan.  Boleh mencontohi dari aspek disiplin tinggi yang menjadi antara penyumbang kejaaan dalam bidang berkenaan.

Ini penting diambil iktibar oleh sesetengah pelakon baharu yang popular tetapi tidak berdisiplin dalam kerjaya. Hanya bersandarkan jumlah pengikut  di media sosial, ada pelakon baharu yang  menganggap dirinya sudah amat hebat.

Tentu sahaja sikap yang sedemikian  tidak ada kepada Michelle Yeoh yang bekerja dalam produksi filem yang menelan belanja yang sangat besar.  Mengambil sikap Michelle Yeoh sebagai teladan lebih bermanfaat daripada berbangga melulu. (Utusan Malaysia 30 Januari 2023)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *