Rosyam Nor sebagai  kepala gengster Fendi Bukit Bintang dalam Duan Nago Bogho.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

DUAN NAGO BOGHO filem gengster?  Filem makyung?  Filem orang Kelantan? Nanti dulu.  Sebenarnya filem arahan Sabri Yunus ini sebuah karya mengenai manusia, seni dan keterlibatan seni dalam menentu arah pekerti dan susila. Duan Nago Bogho filem untuk semua – sekalipun mengenai orang Kelantan dan seni yang lestari di negeri itu.

Filem ini menyentuh mengenai manusia yang dipandu kompas seni dan sebati dengan hidupnya. Memahami seni sebenar adalah relung yang jernih – sukar tergelincir dari landasan agama, sosial dan moral.

Hal ini membuktikan yang seni itu sebenar tidak bebas,  sebaliknya lebih ketat dilingkari tata etika. Tentulah paksinya agama, budaya dan moral yang sejagat. Lesen kreatif (poetic license) bukan kuasa untuk melanggar apa yang bertentangan dengani nilai-nilai yang disebutkan tadi.

Seni sebenarnya mempertajamkan rasa untuk lebih mengerti akan dirinya juga memahami  nasib dan takdir yang tidak serupa di bahu orang lain.  Menakluki rasa yang seni itu adalah pencarian,  biarpun  ia ada kepada setiap manusia.  Tinggi dan rendah, nipis dan tebal pencarian itu yang membezakan antara satu dengan yang lain.

Kesebatian pada seni  mengalirkan kewarasan dan detik sunyi yang seketika untuk berfikir sebelum bertingkah kata dan laku. Hal ini kerana sifat sesuatu yang seni itu halus dan dalam,  sentiasa menyedar lagi menyedarkan.

Sanggeta Krisnasamy sebagai penari makyung.

Pada keadaan yang lain  seni sentiasa menyalakan kemanusiaan, membentang ruang untuk turut berbahagi rasa nasib dan takdir yang sering tidak sama antara satu dengan yang lain. Maka rasa seni yang ada pada setiap diri mesti dinyalakan supaya nikmati cahaya sampai terus ke dalam jiwa.

Hal-hal yang beginilah yang dapat disingkap daripada Duan Nago Bogho.  Filem ini antara sejumlah kecil karya yang mengemukakan wacana seni sebagai pendiri kemanusiaan. 

Filem ini diterbitkan oleh Kalamarif Holding, dihidupkan oleh Asrul Faizal, Rosyan Nor, Sabri Yunus, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy, Angeline Tan, Jason Chong, Husair Hussain, Saidi Sabri dan Issey Fazlisham.

Memang ada filem yang memerikan dunia seni, akan tetapi sekadar menyapu sisi luaran dan terpisah dengan realiti masyarakat.  Sebaliknya lebih memperagakan kemilau berbanding menyusuri makna seni hingga ke dasar jiwa. Maka yang terpantul itu  tidak menunjukkan seni itu  suatu yang terhubung  dan bertimbal balik dengan manusia seluruhnya.

AsrulFaizal (kiri) dan Jason Chong ketika penggambaan filem Duan Nago Bogho arahan Sabri Yunus.

Peribadi watak Duan (lakonan Azrul Faizal), seorang peran muda makyung dibentuk oleh seni. Sekalipun seni bertarung dan makyung kata Duan,  seperti ‘wajib dan sunat’, akan tetapi kedua-dua seimbang.  Anak muda  hebat seni bertarung itu bukan samseng memlulu.

Pada adegan awal, Sabri Yunus menghubungkan dunia seni, yang diwakili makyung di atas pentas dengan realiti sosial di depan pentas. Kedua-duanya bertimbal balik, antara realiti dan pantulannya dengan seni makyung. Saling berhubungan antara satu dengan lain.

Duan menghayati makyung dalam keadaan sedar. Dia sedar akan ruang dan masa.  Kerana sedar,  dia peduli apabila seorang isteri dicabul lelaki biadab  di depan pentas. Duan  keluar dari alam makyung dan masuk dalam realiti di depan pentas.

Dia menyatakan pedulinya terhadap penindasan itu. Lelaki kampung yang mencetus kekecohan di depan pentas dibelasahnya dengan teruk. Ini menunjukkan Duan bukan ‘orang seni’ yang mengasingkan diri dengan masyarakat.

Akan tetapi sentiasa berada di tengah realiti sosial. Babak ini adalah satu penegasan tentang hubungan seni dan manusia yang membentuk Duan yang seorang yang peduli akan realiti di sekitar sosialnya.

Advertisement

Kepedulian itu satu  amanah.  Hal ini sekali lagi ditunjukkan apabila Duan  menyatakan tanggungjawab melindungi Nancy (lakonan Susan Goh) daripada kepala gengster,  Fendi Bukit Bintang (lakonan Rosyam Nor). Kepedulian Duan dibentuk oleh seni yang sebati dengan hidupnya.

Asrul Faizal (kiri) dan Saidi Sabri dalam satu adegan filem Duan Nago Bogho.

Duan tidak lebur dengan sihir kebendaan di kota yang semuanya disukat dengan ringgit dan sen.  Hidupnya untuk makyung dan menolak pelawaan Pok Su Ki (lakonan Sabri Yunus) menjadi pengawal peribadi.

Jimmy Ang (lakonan Lim Swee Tin) ketika memakai kecopong Pak Situng, watak raja dalam permainan menora di satu sudut di rumahnya menandakan dia kembali menjadi manusia. Semua itu selepas terbabas dengan kegiatan hitam di dunia yang gelap. Jimmy Ang kembali menjadi ‘manusia’ bersama-sama menora yang balik ke jiwanya.

Adegan pembukaan dan penutup filem ini seperti menyimpulkan bahawa Duan terangkum dalam seni. Tidak terputus sekalipun berada di luar habitat seni tradisi di Kelantan. Filem dibuka dengan adegan di pentas makyung, ditutup juga dalam persembahan makyung.

Saya tertarik dengan sindiran tajam Sabri Yunus kepada ahli masyarakat yang taksub melulu kepada ketua. Pok Su Ki  sangat dihormati sebagai ketua orang Kelantan di Kuala Lumpur,  masa yang sama dia juga bersekongkol dengan Fendi Bukit Bintang.

Bacalah semiotik adegan kepala Pok Su Ki yang ditetak  oleh pengikutnya hingga berjurai darahnya.  Sabri Yunus sebenarnya  menyindir sikap sesetengah orang  Melayu di luar filem yang tidak berani menegur pemimpin berjuang untuk kepentingan diri.

Filem ini memperlihatkan cara berfikir  Sabri Yunus sekaligus  menemukan bentuk karya yang dekat dengan pengalaman personalnya. Berkarya itu adalah proses menuang kembali pengalaman, pengamatan atau sesuatu yang menganggu fikiran dalam medium seni.

Bagaimanapun Duan Nogho Bogho juga tersellit beberapa persoalan yang agak menganggu. Antaranya Nancy yang pulang  dari luar negara untuk membuat kajian mengenai makyung. Hal ini tidak ada asas yang menyakinkan seolah-olah sekadar mencipta  sebab untuk dihubungkan dengan Duan.

Nancy menjadi lebih menarik kalau tidak dipaksa terkait dengan Duan  melalui penyelidikan makyung. Hal ini menjadikan ruang romantis yang dicipta ini agak mendadak.   Begitu juga dengan Salmi (lakonan Sangeta Krisnasamy) yang terlalu pantas terpikat kepada Duan.

Sabri Yunus perlu mencipta pendekatan lain untuk menyakinkan konflik dalam perwatakan Salmi dibangunkan dengan lebih yakin.  Salmi memberikan lakonan yang baik sebagai gadis India yang meminati makyung. Akan tetapi sikap  watak yang menyukai Duan begitu dan ini agak menjejaskan  perwatakannya.

Keseluruhannya filem ini mempertemukan manusia yang dibezakan oleh matlamat hidup dan tinggi atau rendah pengamatan seni  sebagai pencerah kehidupan. Sabri Yunus tidak membina galur naratif fiem ini menjurus  ganre gengster.

Malah selama ini pun kita belum mempunyai filem gengster. Yang mendakwa karya mereka itu filem gengster sebenarnya hanya sekadar salinan daripada fantasi sosial Hong Kong dan Hollywood. (Utusan Malaysia 6 Februari 2023)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *