Oleh Ku Seman Ku Hussain
DALAM buku The Real Malay, pentadbir British Frank Swetthenham menulis; Sifat-sifat orang Melayu secara am adalah baik, beradab sopan dan menyenangkan. Tidak pernah berundur, mereka suka merendah diri dengan orang yang tidak dikenali dan berprasangka walaupun tidak ditunjukkan. Mereka petah bertutur, berkias, suka menggunakan perumpamaan dan sangat berwaspada.
Beliau menambah; Mereka suka berjenaka dan sangat menggemari lawak jenaka. Sifat konservatifnya ketara, bangga dan menyukai negaranya, mengagungkan adat resam dan tradisi lamanya, menghormati Raja-rajanya dan mempunyai sikap hormat kepada pemerintah.
Cacatan di atas adalah sudut pandang orang dari luar lingkaran alam Melayu lebih 120 tahun lalu. Buku The Real Malay kali pertama dicetak pada 1900. Pentadbir British itu mengenali orang Melayu daripada sikap yang ditunjukkan dalam kehidupan sehari-hari di Malaya.
Yang diperlihatkan dalam kehidupan itu adalah budaya. Orang Melayu pada zaman silam hidup dalam persekitaran budaya sehingga orang yang datang dari luar lingkaran dunia Melayu pun mengenali sedikit sebanyak akan budaya mereka.
Pad zaman silam juga budaya telah menjadi keutaaman dalam kehidupan. Masa yang sama menjadi undang-undang tidak rasmi tentang tata cara kehidupan yang dialirkan kepada generasi.
Hal-hal yang dituliskan Swettenham adalah budaya yang terpancar daripada orang Melayu. Sebagai orang asing, Swettenham mengenali atau membuat tanggapan mengenai melalui sikap yang terzahir dalam kehidupan harian.
Selepas negara mencapai kemerdekaan pula portfolio kebudayaan tidak pernah gugur atau hilang. Kementerian berkaitan budaya atau kebudayaan terus wujud dan ada menteri yang ditugaskan tentang hal-hal budaya. Sekalipun nama kementerian bertukar ganti dan digabungkan dengan portfolio lain, akan tetapi budaya atau kebudayaan tidak pernah hilang.
Sekalipun begitu selepas enam dekad mencapai kemerdekaan, kehidupan budaya dalam masyarakat semakin kecil dan terpinggir. Hanya ada kementerian dan menteri, budaya Melayu semakin hilang.
Ironi sungguh, ketika di bawah penjajahan British, budaya Melayu sangat kukuh dan utuh. Selepas merdeka nilai-nilai budaya itu menjadi luntur dan mencair. Bagai mengalir terus ke muara dan hilang di lautan lepas.
Pada pengumuman senarai kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, tidak ada kementerian yang diberi tanggungjawab mengurus tadbir hal-hal kebudayaan. Banyak yang terkejut disebabkan kementerian berkaitan kebudayaan antara yang penting dalam pembinaan tamadun dan peradaban bangsa.
Selepas didesak oleh pelbagai pihak, akhirnya ‘kebudayaan’ tersangkut di Kementerian Pelancongan. Maka jadilah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya – sama seperti sebelum ini. Suara-suara tidak puas hati pun diam.
Akan tetapi yang diharapkan bukanlah sekadar ada nama ‘kebudayaan’ dan menterinya. Sebaliknya penting juga keberadaan menteri yang ada kemahuan politik (political will) dalam mengangkat kebudayaan tempatan sebagai produk yang menjana ekonomi.
Sebelum ini tafsiran salah mengenai kebudayaan adalah ‘menghabiskan duit’ sementara pelancongan pula ‘mendatangkan duit.’ Berlakunya hal ini disebabkan kebudayaan tidak pernah dianjak sebagai kuasa lunak (soft power) seperti sesetengah negara lain.
Diibaratkan hanya mempunyai ‘barang bernilai’ akan tetapi tidak tahu menjualnya. Kita tidak ‘kenal barang’ maka kebudayaan akan selama-lamanya tidak teranjak dan menjadi peminta sedekah berbanding bidang lain.
Kebudayaan pada era alaf baharu adalah satu kuasa lunak yang boleh menjenamakan negara pada sudut geopolitik dan menjana pulangan dari sudut ekonomi. Bagaimanapun perkara ini terletak pada jauh dan singkatnya kefahaman kerajaan dalam memanfaatkan budaya. Apakah menteri yang ditugaskan itu faham akan makna dan nilai kebudayaan.
Lihat sahaja beberapa negara yang pernah hancur semasa Perang Dunia Kedua telah bangkit dengan tunjang kebudayaan yang kukuh dan lestari. Tidak sahaja kepada rakyat dalam negara, akan tetapi diangkat sebagai kuasa baharu yang menjadi serampang dua mata.
Pertama melestarikan dan mengukuhkan budaya dalam negara, kedua, menjenamakan budaya rakyat ke pentas global bagi tujuan ekonomi. Budaya adalah suatu yang memancarkan sikap, pemikiran dan kebijaksanaan yang memperkenalkan sesuatu bangsa.
Walaupun defiisi budaya adalah suatu yang rumit untuk dihuraikan, akan tetapi secara umumnya boleh dianggap sebagai kepercayaan dan nilai-nilai asas hidup bermasyarakat. Nilai-nilai asas ini menjadi pegangan sebuah masyarakat, kaum atau bangsa.
Nilai budaya inilah yang memandu manusia hidup berkumpulan atau bermasyarakat dengan garis peraturan yang diwarisi sejak berzaman daripada generasi terdahulu. Oleh hal yang demikian keutuhan budaya diukur pada tahap kelangsungan yang dilestarikan oleh generasi semasa.
Kita boleh mengambil contoh dua negara, Jepun dan Korea Selatan yang sangat terkesan semasa Perang Dunia Kedua. Walaupun begitu kehancuran negara tidak turut menghancurkan budaya yang menjadi pegangan hidup rakyat. Dengan budaya, kedua-dua negara ini bangkit dan menjadi negara industri yang moden dan maju.
Kemajuan tidak menjadi musuh pada kelestarian budaya, asalkan ada pemimpin yang celik dan ada kemahuan politik yang tinggi. Disebabkan kemahuan politik, selain budaya Jepun dan Korea Selatan membumi dan kukuh di dalam negara, ia juga menjadi penjana ekonomi di peringkat global.
Kedua-dua negara ini menggunakan bahasa ibunda, nilai-nilai budaya setempat termasuk makanan sebagai kuasa lunak di pentas dunia. Negara kita antara pelanggan produk budaya dari Korea Selatan dan Jepun.
Fenomena muzik, filem gaya hidup dan makanan kedua-dua negara itu menjadi produk budaya yang paling laris di luar negara. Bukan sahaja berlambak drama dari Jepun dan Korea Selatan, malah kedai makan berjenama negara berkenaan. Itu adalah produk budaya yang sekaligus menjenamakan negaranya.
Maknanya ada kementerian kebudayaan sahaja belum cukup kalau tidak ada iltizam untuk meletakkan budaya pada tahap tertinggi. Maka kita sebenarnya sangat memerlukan menteri yang faham budaya dan tahu menjual produk budaya di pasaran antarabangsa.