Oleh Ku Seman Ku Hussain
MEMBUAT laporan terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku adalah satu kesalahan di negara ini. Demikianlah naratif yang boleh difahami daripada tindakan badan pengawal media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mengarahkan portal berita MalaysiaNow memadamkan berita mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.
Laporan MalaysiaNow mengenai peristiwa itu tidak mempunyai elemen-elemen berita palsu, fitnah atau aspek-aspek yang bertentangan dengan etika kewartawanan. Malah yang dilakukan itu adalah suatu yang lazim. Maka tindakan SKMM dilihat pelik tambahan pula sesi di Dewan Rakyat itu telah disiarkan secara langsung dan disaksikan oleh rakyat.
Sebenarnya ‘keangkuhan kuasa’ yang ditunjukkan olah SKMM itu belum pernah berlaku sebelum ini. Laporan berkenaan itu tidak ditokoh tambah dan menyimpang daripada maksud asal yang boleh difahami sebagai memanipulasi peristiwa yang sebenar.
Tindakan SKMM yang dianggap melulu itu sangat bertentangan dengan kedudukan media sebagai tunggak keempat (fourth estate) selepas judiasiari, legislatif dan eksekutif dalam hierarki pentadbiran sesebuah negara. Golongan wartawan bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada raykat dalam ruang kerja bebas yang terpimpin.
Wartawan di negara ini tidak menuntut kebebasan yang mutlak, malah di mana-mana negara juga tidak ada kebebasan yang sedemikian rupa. Akan tetapi wartawan perlu diberikan ruang untuk bekerja kepada rakyat. Tindakan SKMM yang berlindung di sebalik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itusebenarnya mewujudkan ruang bekerja yang tidak selesa kepada wartawan.
Sebaliknya akta itu perlu digunakan secara berhemah dan humanis . Maka sangat tidak kena tempatnya kalau digunakan sewenang-wenang untuk membendung sesuatu peristiwa yang ‘dibaca’ memberi kesan yang buruk kepada pihak tertentu. Rakyat tentu terpinga-pinga apabila mereka seolah-olah dilarang mendapat maklumat mengenai peristiwa berkenaan.
SKMM mesti membezakan antara media sosial dengan media yang dipandu oleh wartawan dan pasukan editorial yang sentiasa meletakkan kepentingan umum di garis depan. Media sosial digerakkan oleh individu – sama dengan sembang di kedai kopi pada era sebelum Internet dulu.
Bagaimanapun media yang dikendailkan oleh pasukan editorial mempunyai etika tertentu. Tidak bebas melulu seperti media sosial yang kini menjadi toksid dalam penbangunan tamadun. Malah di banyak negara media sosial mewujudkan permasalah sosial yang baharu dan tidak terkawal.
Kegagalan SKMM menjinakkan media sosial tidak wajar dijadikan alasan untuk mengekang ruang bekerja wartawan yang mempunyai tanggungjawab besar terhadap rakyat. Wartawan memang sudah lama terdidik mengenai garis dan sempadan yang termaktub dalam etika kewartawanan.
Memang ada wartawan yang melanggar dan tindakan semestinya pada kes-kes tertentu. Akan tetapi kecenderungan yang boleh dianggap seperti ‘mengikat tangan’ dan ‘menampal plaster’ di mulut wartawan adalah langkah terkebelakang.
Tindakan SKMM itu ibarat menjolok sarang tebuan. Wartawan di negara ini beradab dan bersusila. Akan tetapi apabila sesuatu yang melanggar garis yang sepatutnya, mereka bangkit mempertahankan profesionalisme.
Pada 24 September lalu dua Tokoh Wartawan Negara dan sekumpulan wartawan kanan bersolidariti mengeluarkan kenyataan media secara bersama mempertahankan ruang kebebasan kepada media dalam membuat laporan.
Dua Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan Datuk Kadir Jasin serta wartawan-wartawan kanan antaranya bekas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya, Ketua Pengarang Utusan TV, Datuk Zulkefli Hamzah, bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Sahid dan penasihat BebasNews, Datuk Zaini Hassan.
Menurut kenyataan itu, kumpulan wartawan kanan berkenaan memandang serius tindakan SKMM yang dianggap melulu sejak kebelakangan ini seperti yang memberi amaran, memanggil wartawan dan menyekat beberapa portal berita. Ini termasuklah portal berita MalaysiaNow diarahkan memadamkan berita kekecohan di Dewan Rakyat pada 19 September.
Wartawan-wartawan itu juga kesal dengan kenyataan SKMM bertarikh 22 September mengenai isu portal MalaysiaNow. Mereka berpendapatan, reaksi SKMM itu hanya memperlihatkan kedangkalan badan pengawal itu dalam memahami tugas dan peranan media.
“Alasan SKMM bahawa beberapa pelaporan telah ‘dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan’ sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan. Sejak bila membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?” kata wartawan-wartawan itu dalam kenyataan bersama berkenaan.
“Kami berpendapat SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya. Pengamal media rata-rata memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan. Masalah yang dihadapi oleh SKMM dalam menangani media sosial tidak harus dijadikan alasan untuk membendung hak wartawan menjalankan tugas mereka.” Kata kenyataan itu.
Wartawan-wartawan berkenaan realistik dan memahami bahawa tidak ada kebebasan media yang mutlak di mana-mana negara di dunia. Sekalipun begitu wartawan harus bekerja dalam suasana yang tidak sempurna itu untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat.
Mereka menegaskan, “SKMM harus faham bahawa dalam sistem demokrasi media bebas yang bertanggungjawab adalah prasyarat yang utama.”
Bagaimanapun sehingga kini SKMM belum memberikan sebarang reaksi terhadap kenyataan media oleh kumpulan wartawan kanan berkenaan. SKMM perlu tampil menjernihkan suasana yang sudah menjadi keruh.
SKMM bukan ditubuhkan sebulan atau dua bulan lalu. Tetapi sejak 1998. Cuma ketegasan yang luar biasa dan agak melulu itu baru sahaja berlaku. Maknanya tulisan ini tidak menafikan sumbangan SKMM yang besar kepada rakyat sebelum ini, malah tidak pernah bermasalah dengan wartawan.
Media dan SKMM sepatutnya bergerak selari dan bekerja untuk rakyat. Semua yang dilakukan tidak ada untuk kepentingan lain yang terlindung melainkan untuk rakyat. Maka marilah mengikut kami (wartawan-wartawan) bekerja dan bertanggungjawab kepada rakyat.
Orang politik boleh datang dan pergi, bagaimanapun wartawan tetap tidak berubah. Hal itu kerana keberadaan mereka bukan diukur pada kesetiaan sebaliknya pada wibawa, profesionalisme dan tanggungjawab. Kita sangat percaya bahawa SKMM juga sama – dinilai kerana wibawa dan tanggungjawab. – KAYANG POST