RAHASIA
i
Rahasia untuk menjadi terpelajar
belajarlah dari buaian hingga ke liang lahad
jangan sesekali serik belajar
kalau sukar carilah ilmu akarnya
kalau lupa tulislah dengan pena
kalau menelaah buku biarlah berguru
Apabila tamat belajar
jangan pula megah terpelajar
tandanya masih kurang ajar
Apabila mengajar
sebarkan ilmu dengan sabar
kerana tidak semua pelajar mudah diajar
ii
Rahasia untuk berharta
banyakkan memberi
semakin diberi semakin melimpah rezeki
kumpul biarpun sedikit, lama-lama menjadi bukit
Carilah sebanyak harta supaya sama zakat dirasa
kalau sakit banyakkan sedekah
kalau tersepit segera bersedekah
kerana sedekah memperkaya ibadah
kerana sedekah harta bertambah
iii
Rahasia untuk sihat
makan mengikut sukatan
berhenti sebelum kekenyangan
tidur awal malam
bangun awal pagi
membersih diri dan ruhani
Rahasia untuk sihat
bukan dengan ubat
tetapi gaya hidup afiat
berjalan ke sekitaran,
berkenderaan ke kejauhan
ceria menguntum senyuman
membunga lestari persekitaran
iv
Rahasia untuk bahagia
perlu ilmu supaya tahu
makna bahagia
kerana bahagia
bukan dengan kilauan permata, atau
singgahsana kuasa, atau
jenama ternama
tetapi hati yang merasa
tenang ketika senang
redha ketika diduga duka
syukur ketika tersungkur
zuhud ketika dunia disogok
Bahagia pada yang tiada
Membahagia ketika berada
Bahagia seperti permata
hanya berharga digilap sentiasa
v
Nukilan ini rahasia
kalau terbaca, jangan disebar tanpa usul periksa
kerana akan disepah merata
seperti kera mendapat bunga.