PERTEMUAN  Penyair Nusantara ke 12 (PPN X11) akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Oktober ini. Seramai 210 penyair dari Malaysia, Indonesia,  Thailand, Brunei dan Singgapura bertemu dan mengambil tanggungjawab membaharui hala tuju dunia kesusasteraan dalam berdepan perubahan sosial, geopolitik dan teknologi ketika ini.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini memperlihatkan usaha menggaristebalkan peranan sasterawan  sekaligus bidang kesusasteraan.

Antara matlamatnya adalah melestarikan  peranan sasterawan supaya sentiasa relevan dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat.  Pada masa yang sama memberi penekanan supaya sastera menjadi pengimbang dalam pembangunan prasarana yang sangat pesat.

Matlamat membawa puisi merentas wilayah budaya dan geopolitik jelas kelihatan  dalam topik utama pembentangan kertas kerja dan juga perbincangan di pertemuan ini.  Dalam kata lain membawa sasterawan khususnya penyair turut memikirkan hal-hal yang bersifat rentas wilayah dalam persamaan budaya, bahasa dan adat resam.

Antara kertas kerja yang akan dibentangkan adalah menentukan hala tuju puisi Nusantara, peranan puisi dalam pergolakan  sosial dan politik,  kedudukan puisi dalam berdepan dengan kepesatan teknologi dan menoleh kembali denyut nadi puisi di alam Melayu.

Dr Saleeh Rahamad

Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad ketika dihubungi berkata, skop perbincangan dalam dalam kalangan penyair Nusantara ini mengambil kira perkembangan semasa dan kemungkinan-kemungkinan pada masa depan. Terutama sekali  yang berkaitan dengan situasi politik, kemajuan teknologi yang memberikan kesan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat.

“Puisi khususnya, dan sastera amnya perlu diletakkan dalam ruang awam dan bertanggungjawab membahaskan hal-hal yang berkaitan kehidupan masyarakat, ia tidak wajar terkepung dalam gelanggang seni semata-mata, “ kata Dr Saleeh kepada Kayang Post.

Beliau menambah, pemencilan sastera daripada ruang awam boleh menyebabkan masyarakat enggan mendekati sastera. Hal itu  kerana  masyarakat menganggap suatu yang  sia-sia untuk melibatkan diri dalam dunia yang jauh daripada keperluan hidup mereka. Sedangkan hakikatnya karya sastera saling bertimbal balik dengan masyarakat.

Mengenai PPN X11 yang bersifat serantau dan merentas garis geopolitik dan diplomatik, Dr Saleeh menegaskan bahawa, konsep kewilayahan yang melangkaui sempadan geopolitik perlu diberi perhatian dalam kalangan sasterawan. Ini bertujuan mengangkat martabat sastera  dan sekaligus menarik perhatian pemegang punca kuasa.

Advertisement
Dr Hazami Jahari

“Kami di PENA berharap para pembicara yang diundang dapat menterjemahkan hasrat ini berdasarkan tema perbincnagan yang diberikan kepada mereka. Hal itu penting sebagai landasan untuk mereka berfikir sebagai satu entiti penting dalam pembinaan wilayah Nusantara yang  pekat persaudaraannya, ”  jelas Dr Saleeh lagi.

Sasaran perhimpunan kepada dua golongan, pertama kepada golongan sasterawan supaya dapat berperanan pembentuk fikiran kolektif, membina masyarakat dan seterusnya negara.

“Kami juga menyasarkan golongan di luar dunia sastera antaranya  pemegang punca kuasa supaya memiliki iltizam politik untuk mengangkat kepentingan sastera dalam pembinaan tamadun yang bermula dengan politik, ekonomi, pendidikan, dan setiap sudut kehidupan,” jelas Dr Saleeh lagi.

PPN X11 ini juga turut mendapat sokongan pihak korporat,  Shapadu Group.  Penglibatan korporat sebagai penaja program yang tidak memberi pulangan  berbentuk material  seperti ini merupakan suatu yang perlu diteruskan pada masa akan datang.

Antara penyair yang mengambil bahagian dalam pembentangan kertas kerja adalah Zefri Arif (Brunei), Isbedy Stiawan (Indonesia), Dr Shamsuddin Othman (Malaysia), Roslan Madun (Malaysia),  SM Zakir (Malaysia), A Razak Panamalae (Thailand), Saifullizan Yahaya (Malaysia),  Dr Morsidi Haji Muhammad (Brunei), Dr Norhayati Ad Rahman (Malaysia), Hartinah Ahmad (Singapura), Ratna Ayu Budhiarti (Indonesia) dan Mahroso Doloh (Thailand).

PPN X11 akan dirasmikan oleh Menteri Luar,  Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada 13 Oktober pukul 8.30 malam di Dewan Sivik Petaling Jaya.  Kemudian diteruskan dengan  acara Baca Puisi Nusantara 1.  Acara Baca Puisi Nusantara 11 diadakan di DBP pukul 8.30 malam pada 14 Oktober.

Ucaptama bertajuk Peranan Puisi Dalam Pergolakan disampaikan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan dan sasterawan Maman S Mahayana dari Indonesia. Ketua Pengarah DBP,  Dr Hazami Jahari menyampaikan syaraham umum, Ruang Hidup Puisi Nusantara. – KAYANG POST

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *