Dr Saleeh Rahamad

Berikut adalah ucapan penuh Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad dalam Mesyuarat Agung PENA ke-60 di Dewan Usman Awang, Rumah PENA, Kuala Lumpur pada 3 Disember 2023.

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh Alhamdulillah, mari kita syukuri nikmat Allah yang tiada terkira sehingga dapat kita bertemu dalam mesyuarat agung PENA yang ke-60 pada hari ini dalam suasana aman dan damai.

Bertambah berat rasanya hati dan tidak patut rasanya jika kita tidak mensyukuri kelapangan hidup yang kita peroleh apabila dibandingkan dengan penderitaan umat di Palestine ketika ini. Tanpa mengira agama, umat di Palestin sedang terkapar-kapar diburu peluru dan kebencian oleh penjajah zionis dan kuasa-kuasa besar yang mendalanginya.

Apakah yang dapat kita ambil iktibar daripada peristiwa besar dunia ini? Tidak lain dan tidak bukan, jangan sesekali kita bergantung pada satu-satu kuasa yang tiada keikhlasan dalam setiap tindak-tanduk mereka. Sedar-sedar kita sebenarnya bergantung hidup pada mereka kerana segala-gala keperluan kita datang daripada mereka.

Apabila sampai waktu untuk menilai semula kebergantungan itu kita sudah terlambat kerana jika semua produk yang menyokong zionis itu kita pulaukan, nescaya pincanglah kehidupan kita. Maka yang menjadi sasaran hanyalah produk makanan dan minuman yang difrancaiskan di seluruh dunia, termasuk oleh pengusaha yang sebangsa dan seagama dengan kita.

Dengan pemulauan itu terasalah kita bahawa sudah kita junjung perjuangan untuk membantu umat Palestin sedangkan dalam aspek lain kita umpama “ditindih yang berat dililit yang panjang”.

Maknanya, kita tidak dapat lagi melepas diri dalam suatu kemalangan yang menimpa kita. Kita “seperti ikan di dalam belat”, berasak-asak dalam kepungan.

Lebih malang lagi sekiranya nasib kita ditentukan oleh kuasa yang sukar kita elakkan, lalu segala usaha untuk melepaskan diri semisal dengan perumpamaan lama: “seperti meniup api di atas air.” Apakah dapat kita menghidupkan api di atas air dengan tiupan sahaja?

Saudara sekalian yang dikasihi, Saya bercakap tentang hal ehwal antarabangsa bukanlah tiada sebabnya. Adapun dalam seluruh peristiwa yang mewarnai peradaban pasti ada peringatan untuk diawasi.

Samuel P. Huntington dalam bukunya The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order (1966) meramalkan konflik manusia dalam era pasca-Perang Dingin akan berpunca daripada pertembungan peradaban, budaya, dan agama.

Kini, semakin ketara tesis Huntington itu menjadi kenyataan, merujuk pada konflik antara Palestin dengan Israel. Pertembungan peradaban sedang berlaku. Apabila Israel (Yahudi Zionis) melumatkan umat Palestin, beberapa negara Barat yang menjunjung ideologi yang bertentangan dengan Islam, ikut mendokongnya melalui bantuan persenjataan walaupun ramai juga rakyatnya tidak sehaluan dengan pemimpin negara mereka.

Sekarang, di negara kita juga, kalau kita menyatakan sokongan kepada umat Palestin atas nama agama Islam, sudah ada tentangan daripada dalam. Dikatakan bahawa sentimen agama tidak boleh dijadikan asas pembelaan umat di Palestin kerana di negara ini ada umat agama lain yang tidak bersetuju dengan asas tersebut.

Mereka lebih bersetuju jika asas pembelaan itu ialah nilai kemanusiaan sahaja, bukan agama. Inilah yang dimaksudkan wujudnya pertembungan peradaban.

Barangkali situasi begini disebabkan oleh kedudukan dan kuasa yang kita miliki adalah kerdil, umpama kucing yang dibandingkan dengan harimau. Jika kita benar-benar kuat seperti harimau barulah boleh kita berasa malu dengan “ketertiban” atau ketakutan yang kita tunjukkan.

Tetapi jika kita memang kerdil, tidaklah malu untuk kita menjadi kucing sahaja apabila berdepan dengan harimau. Negara kita kecil, dan umat Islam masih berada di aras subordinate dalam segala lapangan, manakala negara Barat atau negara maju yang mewakili peradaban lain menjadi kuasa superior.

Pergantungan kita kepada kuasa besar memudahkan mereka memperkotak-katikkan kita. Ini juga berakibat daripada umat Islam atau negara-negara Islam yang suka berbalah sesama sendiri, tidak mendokong kesatuan dan solidariti.

Umat lemah kerana tidak bersatu; umat tidak bersatu kerana menjadi hamba kepada kuasa besar yang lain. Dalam hal ehwal organisasi atau persatuan penulis juga keadaan yang serupa boleh berlaku.

Sekiranya kita saling berbalah atas sebab yang kecil-kecil, suka menerbitkan sengketa dengan sindiran dan cercaan yang tidak berasas melalui media sosial, suka mengkritik tetapi enggan berada dalam saf untuk memperkukuh tenaga dan kuasa lunak yang kita miliki, tentulah kuasa dan tenaga kita longlai.

Lazimnya, jika seseorang itu suka mencari kesalahan orang lain, dia tidak menyedari kesalahan sendiri seperti peribahasa ini: “bintang di langit dapat dibilang tetapi tak sedar di mukanya arang.”

Dalam perhimpunan solidariti sastera dan bahasa, perlulah segala-gala idea dan tindakan dicermati sebelum dilepaskan atau dilaksanakan. “Akal tak sekali datang, fikir tak sekali tiba”.

Tanpa kekuatan solidariti dan saling membantu, organisasi yang kita ada dan dokongi bersama akan lemah. Kelemahan dan kekerdilan kita akan menyebabkan kita terpinggir, tidak dihiraukan, dan tidak dipedulikan, berbanding dengan kumpulan lain yang tidak sibuk bergeser atau bersengketa.

Ketika kumpulan lain memperoleh banyak bantuan dan perhatian daripada pihak berwewenang atau pemegang punca kuasa, kumpulan yang tiada kesatuan akan ketinggalan, sering tercicir daripada bantuan.

Alangkah molek kiranya muafakat yang kita bina, bukannya sengketa yang tidak berasas. Kata orang tua-tua, “pisang seikat digulai sebelanga tanda muafakat bersama-sama”.

Jika sesebuah kumpulan atau organisasi itu kuat atas dasar perpaduan, datanglah apa-apa cabaran nescaya tidaklah akan tumbang kedudukannya seperti perumpamaan ini: “Jikalau sepohon kayu banyak akarnya lagi teguh apakah ditakutkan ribut”.

Sekarang kita hidup dalam era media sosial atau media baharu, jauh meninggalkan media tradisional. Media baharu menjadikan semua orang berpeluang untuk menjadi citizen journalist atau wartawan warga.

Dari segi positifnya, kebebasan bersuara sudah berada di tangan setiap orang, tetapi dari segi negatifnya, setiap orang akan terdedah pula kepada terjahan orang lain yang juga memiliki kebebasan bersuara.

Jika kedua-dua pihak saling bertikam pandangan, adakah natijahnya nanti? Oleh itu, para penulis, khususnya ahli PENA, cubalah mengelakkan diri daripada terperangkap dalam keseronokan menulis dalam media sosial tanpa mempertimbangkan kesannya.

Peringatkan diri bahawa pesanan orang tua-tua ini ada benarnya: “menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri”.

Saudara kami yang terhormat, Tahun ini, 2023, merupakan tahun ke-61 penubuhan PENA jika diambil kelulusan penubuhannya. Selama ini PENA mengambil tarikh penyerahan kertas kerja pembentukannya kepada Menteri Pelajaran, Abdul Rahman Talib, di Dewan Kuliah A, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 12 Februari 1961 sebagai tarikh penubuhannya.

Advertisement

Namun begitu, sebenarnya, pendaftaran PENA hanya disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 2 September 1962 atas nama Persatuan Penulis-Penulis Nasional Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudian ditukar namanya kepada Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 30 Oktober 1974.

Oleh hal yang demikian, tarikh 2 September 1962 lebih tepat diguna pakai sebagai tarikh penubuhan PENA. Ini sekadar catatan sejarah, namun tidaklah mengurangkan sedikit pun nilai dan kedudukan PENA sebagai persatuan penulis yang ada nama.

Namun begitu, lantaran sejarah perjuangan yang panjang dan kadang-kadang kenyataan pemimpinnya seperti menyinggung pihak tertentu, PENA mengheret legasi sebagai entiti yang sentiasa diperhatikan.

Sehubungan dengan itu, PENA perlu sentiasa berhati-hati agar setiap kenyataan atau tindakan tidak disalah tafsir. Perlu ditegaskan bahawa peranan PENA tertakluk kepada Perlembagaan: “Penubuhan PENA bertunas daripada kesedaran bahawa bahasa dan sastera sebagai pancaran keperibadian masyarakat dan manusia; keperibadian sastera nasional harus dalam penjelmaannya dari bahasa nasional (Malaysia); sesuatu masyarakat itu diikat oleh hukum-hukum “bertulis dan tidak bertulis”dengan persefahaman, tradisi dan moralnya; dan penulis/sasterawan mempunyai peranan dan tanggungjawab baik untuk kepentingan kaum penulis mahupun untuk kepentingan masyarakat yang dianggotainya.

Oleh itu, PENA dihidupkan untuk masyarakat Malaysia yang utuh dan bersatu padu dengan maruah dan keperibadian nasionalnya. Hala tuju PENA ialah “Menyatukan penulis-penulis tanah air dari semua peringkat dan segala aliran pendapat; dan berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, kesusasteraan dan ilmu pengetahuan, bersesuaian dengan kepentingan-kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar politik kepartian dan terkeluar daripada bidang undang-undang negara.”

Kata kuncinya ialah keperibadian nasional yang berteraskan sastera dan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, dan “tidak terikat kepada dasar politik kepartian”. Berasaskan paksi tegar itulah PENA terus menggerakkan keupayaannya dekad demi dekad dengan keragaman corak pentadbiran.

Perulangan kenyataan ini adalah perlu sebagai peringatan kepada pendokong PENA seterusnya. Walaupun sebilangan besar pencinta sastera mungkin tidak mempedulikan falsafah perjuangan PENA berbanding kemahuan mereka untuk ikut serta dalam aktiviti sastera dan penerbitan karya, para pendokong PENA wajar mengekalkan prinsip yang tercatat dalam Perlembagaan PENA.

Satu lagi perkara penting ialah PENA perlu melayan semua ahlinya sama rata. Segala aktiviti dan peluang meraih ilmu dalam program rasmi PENA mesti dibuka kepada ahli selain khalayak umum.

Berdasarkan prinsip itulah maka apabila muncul sesuatu peluang untuk beraktiviti, para ahli PENA akan diberi maklum melalui media sosial mahupun saluran lain.

Baru-baru ini, pada 13-15 Oktober 2023, PENA telah menganjurkan Pertemuan Penyair Nusantara ke-12 di Hotel Grand Campbell, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, program itu berjaya dilaksanakan dengan jayanya atas bantuan dan sokongan AJK, pasukan sukarela, dan pelbagai pihak lagi.

Penyertaan yang besar daripada negara tetangga menjadikan program yang menjadi “hutang” saya itu kekal terhimpun dalam ingatan semua peserta. Walaupun ada pandangan “mengusik” daripada rakan-rakan, kami tetap meraikannya tanpa memberikan reaksi walaupun jawapannya sedia ada.

Yang penting, program berlangsung, dan peserta memperoleh manfaatnya, manakala yang tidak menyertainya tidaklah beroleh apa-apa. Saya katakan program PPN itu “hutang” kerana sudah terlalu lama kami menangguhkannya lantaran pelbagai faktor. Apabila selesai hutang itu dilunasi, terasa beban saya meluncur pergi.

Sebenarnya, keringanan beban itu sudah bermula sejak beberapa misi saya selesai walaupun tidak semuanya berjaya, terutama dalam soal mencalonkan rakan-rakan yang layak untuk anugerah tertentu.

Ada yang berjaya, ada yang gagal. Selepas ini saya berharap tugas menentukan pencalonan anugerah bagi pihak PENA akan dipikul oleh rakan-rakan yang lain.

Saya sendiri terasa bahawa tenaga dan kemampuan saya untuk menggerakkan aktiviti PENA semakin terbatas, tetapi saya yakin ramai lagi AJK PENA yang mampu menjalankan aktiviti. Sering saya mengingatkan diri sendiri: “Seekor ayam tak berkokok, hari tidak siangkah?”

Selama ini pun PENA telah digerakkan oleh semua teman-teman AJK. Tanpa mereka, tiada apa-apa yang dapat dilakukan oleh PENA. Terima kasih kepada semua AJK dan teman-teman yang membantu, serta seluruh ahli PENA yang sentiasa prihatin dan sering mengirimi saya ucapan semangat.

Di samping beberapa orang yang sudah agak berusia, barisan AJK PENA terdiri daripada orang muda, tetapi barangkali ada orang yang tidak nampak akan kemudaan mereka sehingga mengatakan bahawa persatuan ini tiada orang muda.

Kepada barisan muda dalam PENA, saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa mereka akan dapat memikul tugas yang lebih besar, bukan setakat menjalankan kerja tetapi merancang kerja dengan berpandukan falsafah Perlembagaan PENA.

Adapun orang muda ini memiliki sifat berani yang tiada tolok tandingnya seperti pantun Hang Lekir yang berbunyi: Apakah perisai bertali rambut?, Rambut dipintal akan cemara; Adakah besi tahu takut?, Kami ini muda belaka.

Lalu pantun ini disambut oleh Hang Lekiu: Ambil galah, gantikan tiang, Tiang dicacak di tengah jalan; Jika datang orang menggalang, Padalah tempat kita melawan.

PENA perlu dibugar dengan aktiviti yang lebih berimpak tinggi; kehendak ahlinya mesti diberi perhatian; dan oleh itu, banyak yang perlu dilakukan. Marilah bersama-sama kami melakukan yang terbaik untuk pembangunan persuratan dan sahsiah khalayak sastera, khususnya para ahli PENA, dan umumnya seluruh umat di negara ini.

Tugas menyemarakkan acara sastera sudah banyak dipikul oleh kumpulan atau persatuan lain sehingga Kuala Lumpur, khususnya, tidak pernah sunyi daripada acara sastera. Kita perlu meraikan usaha semua pihak tanpa memandangnya sebagai saingan tetapi menyifatkannya sebagai pelengkap.

Hadirin yang budiman, Saya tidak mahu terlepas daripada mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran tuan puan pada hari ini dengan wajah yang ceria dan senyuman yang manis lagi mendamaikan.

Sesungguhnya senyuman ialah gerak laku yang sangat besar pengaruhnya dalam komunikasi antara manusia seperti disebut dalam pantun: Buah mengkudu kusangka kandis, Kandis terletak di dalam puan; Gula madu kusangka manis, Manis lagi senyummu tuan.

Setelah selesai pertemuan kita ini nanti, masing-masing akan pulang ke rumah. Ada yang dekat, dan ada yang jauh. Semoga semua selamat dalam perjalanan, di samping membawa kenangan manis. –KAYANG POST

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *