“Telah lama aku berkurung di Yunani Tua

bagaimana kalau aku kembara

ke masa kini dunia manusia?”

 

Kata Dewi Eirene

“Kenapa tidak kulihat lagi

seekor merpati

dengan sayap putih membelah langit

bergembira

dengan setangkai daun zaitun di paruhnya?”

 

Kata Dewi Eirene

“Sedang kulihat di bumi manusia

haiwan-raksasa ganas dari mitologi

Typhon berwajah baru

Gorgons berwajah baru”

 

Kata Dewi Eirene

“Mereka kini menguasai wilayah-wilayah besar dan penting

mengambil wilayah-wilayah baharu sesuka hati mereka

punya kekayaan

punya bala tentera tak tertanding

punya kesombongan tak berbanding”

 

Kata Dewi Eirene

“Mereka menyerang kerajaan lain

menduduki tanah warisan orang lain

atas alasan ciptaan mereka sendiri

ketika dunia telah dibisukan

atas nama kesombongan dan keangkuhan”

 

Kata Dewi Eirene

“Tatkala hospital musnah

kanak-kanak, wanita dan orang tua terbunuh

atau ada wartawan terkorban

tali barut Typhon dan Gorgons

menggunakan formula penafian:

tentera kalianlah yang membunuh warga sendiri!”

 

Kata Dewi Eirene

“Telah lama bumi manusia tidak berperang

justeru Typhon dan Gorgons mencipta perang

kata mereka:

ini masanya mengenal musuh menyaring kawan

menguji media dan pasaran gandum di ladang

 

Kata Dewi Eirene

“Sahabat Typhon dan Gorgons

Advertisement

malah membakar kepercayaan agama lain

kerana merpati yang dahulu hinggap di jendela kewarasan

telah dikorbankan atas nama kepalsuan”

 

Kata Dewi Eirene

“Telah lama aku melayang-layang

di langit bumi manusia

ingin kembali ke gua persembunyianku  di Yunani Tua

sebentar …

kerana di orientem kulihat hewan-raksasa baru

serupa Chimera

sedang bersiap-siap untuk merajalela.

 

  • NOTA:  Puisi ini telah dideklamasikan  oleh Sasterawan Negara Dato Dr Anwar Ridhwan yang juga Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di acara Puisi Nusantara 2 di DBP  pada 14 Oktober 2023 sempena Pertemuan Penyair Nusantara ke 12 (PPN XII) di Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Oktober 2023.

 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *