Oleh Rokiah Ismail
KEKEJAMAN Israel terhadap rakyat Palestin wajib ditentang oleh umat Islam dan pemimpin Muslim di seluruh dunia. Salah satu caranya ialah melalui sokongan penuh kepada Operasi Banjir Al-Aqsa untuk melindungi Masjidil Aqsa yang dilancarkan oleh Hamas bersama pejuang Al-Qassam, Islamic Jihad, Al-Quds dan batalion Jenin bagi menentang Israel yang lebih tujuh dekad menjarah dan mencemar bumi umat Islam itu.
Operasi yang dilancarkan kali ini dapat mengubah status quo Israel yang sebelum ini sering mendabik dada atas kejayaan mengalahkan rakyat Palestin serta memberi sentakan kepada dunia bahawa penindasan yang keterlaluan akan melantunkan perjuangan tanpa gentar. Ini kerana perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali tanah air mereka adalah perjuangan umat Islam secara keseluruhannya.
Sejak tanah air mereka dirampas dengan perancangan licik pada 14 Mei 1948, tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap negara haram tersebut. Israel berterusan melakukan tindakan ganas dengan merampas tanah rakyat Palestin seperti meroboh rumah, membunuh serta mencederakan penduduk yang cuba mempertahankan harta benda mereka.
Resolusi 2334 yang diluluskan pada tahun 2016 yang mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan membuka 293 petempatan haram di tanah milik rakyat Palestin hanyalah satu perbuatan umpama “melepaskan batok di tangga” Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak dituduh berat sebelah.
Walhal Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) yang mendakwa sekurang-kurangnya 700,000 penempatan haram dibina Israel di Tebing Barat dan Jerusalem Timur sudah cukup membuktikan kezaliman, dan jenayah Yahudi Zionis ini untuk diambil tindakan keras.
Sikap ‘beri muka’ oleh PBB ini menambahkan lagi keegoan dan ‘besar kepala’ Israel. Selain tidak mematuhi undang-undang antarabangsa, kerajaan haram Israel juga dengan angkuhnya mengumumkan langkah untuk membina sekali ganda lagi petempatan haram di wilayah yang dijajah mereka di Bukit Golan menjelang tahun 2027.
Kenyataan angkuh sombong ini cukup membuktikan sikap sebenar Israel sebagaimana pernyataan Al-Quran. Merampas negara lain dan memanipulasi sejarah dengan mengatakan mereka menuntut kemerdekaan negara adalah naratif yang sering diangkat Yahudi Zionis untuk menutup makar mereka.
Nakbah Palestin, peristiwa berdarah yang diistilahkan malapetaka bagi umat Islam di mana pengusiran dan pembunuhan ratusan ribu rakyat Palestin oleh Zionis Israel pada tahun 1948 tidak dapat dilupakan umat Islam di seluruh pelosok dunia. Ia merupakan titik tolak dari konflik Israel-Palestin yang masih berlanjutan hingga kini.
Tarikh rasmi 15 Mei 1948, sehari selepas pengisytiharan penubuhan negara haram Israel dan hari berakhirnya mandat Britain di Palestin itu diingati sebagai tragedi agama dan kemanusiaan di mana 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampung halaman dan berlindung di negara jiran seperti Syria, Lubnan dan Jordan.
Lebih tujuh juta penduduk Palestin yang sebahagian besarnya merupakan generasi awal, kedua dan ketiga menjadi pelarian dan tidak pernah menjejakkan kaki di tanah air selama tujud dekad setelah Palestin berada dalam cengkaman Zionis Israel adalah akibat kezaliman yang tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam.
Lebih menghiris hati, tarikh 15 Mei 1948 ini pula sengaja disambut Yahudi Zionis sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel. Mereka meraikan jenayah yang dilakukan dengan kegembiraan. Kesedihan dan kesengsaraan pelarian yang juga terdiri daripada kanak-kanak, orang tua dan wanita adalah kebahagiaan buat mereka.
Idea penubuhan negara khas Yahudi yang dipelopori Theodor Herzl, warga Hungary sejak 127 tahun dahulu seharusnya terus mendapat kutukan dunia, khususnya dunia Islam. Ini kerana selain merancang jenayah tersebut secara rapi, ia juga satu usaha mencemar pemimpin Islam secara bersiri dengan pujukan dan sogokan.
Mengimbau sejarah, pada tahun 1901 Theodor Herzl telah menghantar seorang wakil bernama Lewinsky kepada Sultan Abdul Hamid II untuk mendesak baginda menjual tanah Palestin. Nasib baik Sultan Abdul Hamid yang tidak semudah itu dibeli menolak desakan itu dengan keras.
Katanya, “Aku tidak akan menjual walau seinci dari tanah ini (Palestin), kerana tanah ini bukan milikku tetapi milik umat Islam, mereka telah membayar tanah ini dengan darah mereka, dan kami akan menebus tanah ini dengan darah kami.”
Usaha jahat tersebut diteruskan sekali lagi dengan menyogok beberapa tawaran istimewa seperti janji untuk membayar semua hutang pemerintah Uthmaniyyah sebanyak 33 juta pound sterling Inggeris pada waktu itu, memberi 150 juta pound sterling Inggeris khusus untuk sultan, membangun kapal induk untuk menjaga pemerintah, memberi pinjaman tanpa bunga dan membangun Universiti Uthmaniyyah di Palestin.
Tawaran itu turut ditolak oleh Sultan Abdul Hamid II dengan jawapan, “Jika engkau mahu membeli Palestin, ketahuilah harganya adalah seluruh darah umat Islam.”
Selain memperemehkan peribadi pemimpin Islam dengan sogokan harta, manipulasi sejarah juga menjadi agenda Israel untuk mewajarkan jenayah mereka. Holocaust adalah satu peristiwa yang dirancang secara sistematik oleh Nazi German untuk mempercepatkan proses perpindahan Yahudi Eropah bagi penubuhan negara yang dikhususkan untuk bangsa Yahudi iaitu di Palestin.
Menyambung naratif pembentukan negara halal Israel, mereka kini melempar tuduhan kononnya sebagai mangsa kezaliman pejuang Palestin yang ingin merampas negara mereka. Label pejuang cuba diganti dengan gelaran pengganas dengan memomokkan dunia bahawa siri serangan Israel adalah sebagai langkah pertahanan dari pejuang Palestin yang menyerang mereka.
Lebih 400 rakyat Palestin yang terkorban dan lebih 1,700 cedera susulan pengeboman Israel baru-baru ini seolah-olah tiada dalam fakta dunia, sebaliknya mereka merintih atas tawanan tentera mereka oleh pejuang Islam.
Operasi Pedang Besi ke atas Hamas di Semenanjung Gaza oleh Israel sebagai tindak balas ke atas Operasi Banjir oleh pejuang Hamas yang cuba disuap kepada dunia haruslah dicerna dengan hati yang celik oleh umat Islam.
Ini kerana Operasi Banjir yang diisytihar oleh Ketua Tentera Hamas, Mohammed Deif Sabtu lalu bertujuan menghentikan penindasan Zionis yang berterusan membantai mereka selama ini. Tindakan ini seharusnya mendapat sokongan moral dari umat Islam kerana ia menepati kata-kata aktivis Islam, Sheikh Dr Muhsein Salleh apabila ditanya bilakah nakbah ini akan berhenti.
“Untuk menang, umat Islam perlu bekerja kuat bersama kerahan empat jenis titisan iaitu titisan keringat, titisan dakwat (pena), titisan air mata dan titisan darah.”
Para pejuang Palestin telah pun melakukan jihad mereka dengan titik peluh, air mata dan darah mereka yang tidak sedikit tumpah di tanah air sendiri. Maka kita umat Islam yang jauh dari mereka harus pula membantu perjuangan itu dengan titisan tinta bagi membangkitkan jiwa pejuang umat Islam dan mereka yang cintakan keadilan bahawa rakyat Palestin sedang mengembalikan maruah umat Islam seluruhnya. (HBIT.MY 9 Oktober 2023) sebuah portal milik TV AlHijrah.