Dr Anuar Nor Arai pernah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mansor Puteh: Seman, sebuah Filem Peribadi’ di DBP pada19 Oktober 2002. Pada hemat saya, ia sangat wajar diberi perhatian di segi subjek dan isunya.
Ia juga memberi inspirasi untuk membincangkan dua filem alternatif, iaitu Seman (1987) dan Gedebe (2000). Seman adalah filem cereka pertama Mansor dalam bentuk filem ‘celluloid’. Gedebe juga merupakan filem cereka pertama Nam Ron yang diperbuat dalam bentuk digital.
Kata Dr Anuar dalam kertas kerjanya: “Kebenaran memang kejam dan menghiris bila yang gelap dan kelabu menjadi nyata, tambahan pula jika semua realiti terang dan jelas…Kita meletakkan yang menyentuh hidup kita di barisan depan order yang disusun dan cuba memahaminya dalam waktu yang sudah teranjak.”
Mansor dan Nam Ron cuba mencari dan memahami kebenaran dalam filem masing-masing. Jika keadaan “gelap dan kelabu”, sudah tentulah ia menjadi sukar untuk difahami. Bagaimana pula jika ia berlaku dalam keadaan yang “terang dan jelas”?
Sememangnya ia akan menjadi “kejam dan menghiris”. Apa lagi jika ianya dialami oleh orang muda yang mempunyai ilmu dan idealisme serta semangat yang berkobar-kobar untuk meneroka satu situasi yang menaburkan pelbagai janji yang kemudiannya menjadi janji-janji kosong.
Mungkin inilah perasaan Mansor dan Nam Ron yang cuba memahami realiti masa, keadaan dan milieu di zaman mereka, sesuatu yang jelas membingungkan mereka.
Pendekatan Seman dan Gedebe
Seman menggunakan pendekatan ‘counter cinema’ dan bergaya ‘modernist’ yang biasanya terdapat pada filem eksperimental atau ‘avant-garde’. Imejannya tersangat dialektik, naratifnya merupakan anti-plot, tetapi struktur dan tekstur diperlihatkan dilayar secara tersusun.
Ruang dan masa jarang mempunyai kesinambungan dan seringkali ‘disjointed’. Watak menjadi objek dan bukan subjek, sekaligus pendekatan ini menjadikannya sebuah filem anti-genre.
Gedebe pula sebuah filem yang menggunakan ‘straight narrative’. Walaupun teknik persembahannya mirip kepada gaya Seman, pendekatan ‘straight narrative’ adalah sesuai dengan subjeknya. Seman dan Gedebe tidak cuba untuk mengajak penonton bersimpati dengan watak-watak dan milieu mereka seperti filem genre yang menggunakan teknik identifikasi atau pun empati.
Mansor dan Nam Ron mengambil pendekatan ‘distanciation’ (keterasingan), satu teori yang dibawa oleh Bertholt Brecht dalam drama pentas. ‘Distanciation’ adalah satu strategi untuk membuatkan penonton berasa terasing terhadap apa yang ditonton. Dengan itu, penonton akan menjadi lebih objektif dan kritikal, sekaligus akan berfikir tentang nawaitu pembikin filemnya.
Watak Osman (Nordin Kardi) dalam Seman dilihat begitu individualistik. Kelakuannya ‘bizarre’. Milieunya, menurut Dr Anuar Nor Arai: “Taman kecil, kebun getah, tepi longkang besar, bandar kecil, pondok telefon, ruang bermain teater, seluruhnya adalah a pile of memories yang crude, unrefined….”
Kumpulan punk dan skinhead sememangnya mempunyai reputasi buruk. Dengan itu, kelakuan mereka dalam Gedebe dilihat sangat menjijikkan: memukul orang, kencing di depan khalayak dan menghisap ganja.
Milieu mereka: bilik yang berselerak dan dalam terowong, kawasan di bawah tanah, jejambat yang kotor &dan berdebu. Perasaan jijik dan terasing seperti ini diutarakan oleh Mansor dan Nam Ron agar penonton dapat memikirkan tentang apa yang sebenarnya mahu dibicarakan oleh kedua terajutama ini.
Lanskap di sini menjadi ‘mindscape’. Kedua-dua filem ini menggunakan teknik fotografi secara langsung (direct photography), suntingan yang pantas, ‘jump cut’ dan syot yang ‘unmatched’. Di segi perwatakan: watak-watak mereka adalah dua dimensi, kabur; kelakuan mereka sukar difahami.
Semuanya satu strategi untuk mengajak penonton mengambil satu pendirian yang kritis dan bersifat objektif agar melihat keadaan masyarakat sekeliling sebagaimana ianya ‘ideologically and institutionally constructed’. Seman adalah filem tempatan yang pertama yang menggunakan pendekatan ‘counter-cinema’, sesuatu yang betentangan dengan rupa dan bentuk filem arus perdana.
Melalui suara latar watak utamanya, Osman seakan menulis biografinya dengan menggunakan bahasa Melayu lama. Naratifnya bergerak tanpa sempadan masa dan ruang.
Kata Dr Anuar Nor Arai lagi: “Yang berada dalam ingatan putus fragmented…waktu tidak dituntut dengan waktu kalendar. Waktu dituntut dengan emosi dan intelek.”
Pada tahun 1988, Anuar telah menyatakan bahawa Seman adalah sebuah filem yang “15 years ahead of its time”. Kebenaran ini dapat dilihat apabila selepas 18 tahun, isu-isu tentang industri perfileman dan keadaan sosiopolitik yang dibawa dalam Seman masih relevan sehingga hari ini.
Kata Anuar lagi: “Mansor berkongsi realiti hidupnya yang tidak pernah terkongsi sebelum ini kecuali dengan watak-watak yang bermain dalam ceritanya”. Berbeza dengan Seman, Gedebe bersandarkan cerita Julius Caesar oleh Shakespeare untuk membawa kisah yang bermula dengan laporan ketua punk bernama Brutus, kepada Ketua Polis dan bagaimana ia dihasut oleh Cassius untuk membunuh Caesar.
Melalui teknik imbas kembali dan ‘parallel editing’, kita dibawa untuk melihat sebuah kisah tentang: “…betrayal, honour and personal glory. It is political satire at its pernicious best.’ (Johan Jaafar: NST, 23 Ogos 2003).
Seperti Seman, Gedebe juga menggunakan ‘direct photography’ pada hampir keseluruhan filem. Bajet yang rendah telah menentukan teknik produksinya sebegitu, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Jean-Luc Godard untuk filemnya Breathless (1960), yang juga merupakan filem pertamanya.
Seperti Breathless, teknik fotografi ‘hand-held’, tanpa penataan cahaya tambahan dan ‘disjunctive editing’ selari dengan cerita, subjek, naratif dan gaya pengarahan dalam filem Seman dan Gedebe, sekaligus melahirkan gestalt (bentuk) yang sewajarnya.
Gedebe: Adaptasi daripada Shakespeare
Gedebe merupakan filem tempatan yang terawal yang mengadaptasi cerita Julius Caesar, karya Shakespeare. Nam Ron memilih dua kumpulan samseng yang bertelagah sesama sendiri, iaitu punk dan skinhead.
Mungkin Nam Ron mendapat inspirasi dari dua filem Hollywood yang pernah mengadaptasi karya Shakespeare sebelum ini: West Side Story (Robert Wise, 1961) dan William Shakespeare’s Romeo & Juliet (Baz Lehrman, 1996). Kedua-dua filem ini juga menggunakan watak kumpulan samseng yang bertelagah sesama sendiri.
Dalam West Side Story, terdapat satu kumpulan bernama Jets (kumpulan samseng kulit putih). Kumpulan yang satu lagi ialah Sharks (kumpulan samseng berasal dari Puerto Rico). Filem Baz Lehrman juga menggunakan punk (kumpulan samseng kulit putih) dan satu lagi, kumpulan samseng yang berasal dari Puerto Rico.
Pendekatan yang diambilnya ialah gaya MTV dari segi suntingan, sinematografi dan muzik, dengan aksi yang ganas yang seakan-akan berakhir dengan ‘urban apocalypse’. Kedua-dua filem ini dan juga Gedebe, memaparkan watak orang muda pada zaman pascamoden dan bagaimana tindakan mereka akhirnya membawa kepada kehancuran.
Kata Dr Anuar: “Memahami zaman membesar bukan perkara remeh. Dunia yang sarat yang berlonggok dalam akal dan fikiran itu perlu dibuka luas supaya senak, sesak, semput, yang terselaput begitu lama, dapat dibuka bendungnya dengan berkata: Ada benda aku nak kata.”
Apakah yang ingin diperkatakan oleh Mansor dan Nam Ron melalui filem-filem mereka, Seman dan Gedebe? Kata Anuar: “Dari apa yang dilakukan oleh Mansor, kita merasakan pemberontakan kecil dalam dirinya yang jauh tenggelam dalam seksa fizikal dan batinnya bahawa penipuan dan pembohongan yang terlalu bebas dan meluas dalam kehidupan biasa manusia sudah tidak terbendung lagi, dan Mansor membendungnya dengan sungguh-sungguh dalam Seman.
Mansor sangat jijik pada hipokrasi. Dhojee, penerbit Gedebe, pernah menjelaskan bahawa Gedebe sebenarnya tentang keresahan Nam Ron terhadap beberapa peristiwa besar politik yang berlaku di Malaysia pada akhir tahun 1990-an. Namun sehingga hari ini, tiada siapa pun tahu apa yang sebenarnya telah dan sedang berlaku dan siapa yang sebenarnya yang bertanggungjawab ke atasnya.
Semuanya ‘gelap dan kelabu.’ Maka keresahan yang timbul dalam kalangan mereka yang prihatin dan berfikir membangkitkan persoalan: bagaimanakah Nam Ron dan orang muda seangkatan dengannya mahu terlibat dalam urusan menentukan kepimpinan negara setiap lima tahun sekali?
Jika dibentuk satu soalan untuk menggambarkan dilema yang dihadapi oleh pemuda hari ini, yang diwakili Mansor dan Nam Ron, mungkin ia akan berbunyi begini: “My essential nature seems inextricably bound up with processes and forces that I am forced to be part of. How can I have significance and purpose when I am thrown into situations over which I have no say or control?”
Keresahan mereka ini dapat dilihat dalam beberapa adegan dalam Gedebe. Antaranya: Dalam Seman, Osman dimarahi majikannya; bukan di bilik pejabat tetapi di dalam tandas. Betapa rendahnya dipandang ide-ide kreatif Osman. Dalam Gedebe, kamera video merakam Cassius dan Brutus juga di dalam tandas. Rakaman itu diperlihatkan dalam bentuk hitam putih, satu petanda negatif yang membawa maksud bahawa yang berkuasa ialah Big Brother dan dialah yang menentukan segala yang berlaku.
Dan dia tidak ada sifat perikemanusiaan. Ramalan George Orwell dalam karya novelnya ‘1984′ sudah menjadi kenyataan pada zaman sekarang. “Ya,” kata Cassius dalam Gedebe. “Merdeka. Bebas. Tapi jadi kuli.” Yang berkuasa, yang menentukan segalanya adalah Big Brother. Siapa sebenarnya hipokrit? Siapa sebenarnya pembohong? Siapa sebenarnya samseng? Realiti yang terang dan jelas telah menjadi ‘gelap dan kelabu.’
Inilah realiti hidup yang dibawa dalam Seman dan Gedebe yang mencerminkan keadaan di negara kita sekarang. Bilakah semuanya akan berakhir? Inilah yang direnungkan oleh Mansor dan Nam Ron tentang nasib mereka dan karyawan-karyawan filem seperti mereka.
Penutup
Pada akhir filem Seman, kita mendengar monolog dari watak Seman: “Aku, seorang pejuang bangsa, tak tahu khianat kepada negara, yang punya agama, keluarga &dan budaya. Ini suratan. Takdir menentukan.”
Mansor sudah menerima nasibnya. Ia menyerah kepada takdir. Tetapi dia tidak mengalah, hanya berundur setapak, tetapi tetap ada keyakinan serta ada keyakinan dalam dirinya. Ia memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku. Sejarah tetap berulang. Hanya mereka yang ada kefahaman sahaja akan mengenali keadaan.
Masa juga akan menjadi penentu. Namun Nam Ron lain pegangannya. Seperti Hang Jebat, dia tetap memberontak. Cassius dalam Gedebe tidak mahu menerima takdir. Katanya, dengan nada mengejek: “Inilah takdir, inilah nasib.” Cassius memberontak dan akhirnya menerima padah.
Nam Ron berbeza dari Mansor tetapi mereka berdua tetap manusia gagah di bumi yang bertuah seperti pahlawan-pahlawna Melayu pada zaman silam. Seman, Cassius, Brutus dan Caesar telah menerima suratan. Apakah nasib Mansor dan Nam Ron dan ramai lagi pemuda yang bakal melangkah dan berjalan di atas bumi yang bertuah ini?
Masa dan pastinya Big Brother – akan menentukan segala2…
- Kertas kerja ini dibentangkan pada sesi apresiasi filem Seman, Gedebe dan Choice arahan Patrick Lim, anjuran Forum Filem Kuala Lumpur & Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 28 September 2003 – KAYANG POST