Oleh Rozais Al-Anamy
Kuala Lumpur, 14 Okt – Pembangunan yang menjurus pada jiwa manusia perlu menjadi pelengkap pada kemajuan prasarana di sesebuah negara.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, tanpa pembangunan jiwa manusia, kemajuan fizikal menjadi tidak bermakna.
“Saya melihat peri pentingnya pembangunan manusia misalnya melalui sastera untuk menjadikan kemajuan itu lebih bermakna,” jelas Zambry.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Pertemuan Penyair Nusantara ke 12 (PPN 12) di Dewan Sivik, Petaling Jaya malam tadi.
Zambry adalah ‘tulang belakang’ konsistensi program tahunan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) di Pulau Pangkor lebih sedekad lamanya.
Menurut Zambry, penghayatan masyarakat yang tinggi pada karya sastera menjadi pemangkin pada pembangunan jiwa dan peradaban bangsa.
PPN 12 yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) disertai oleh 247 penyair dari Nusantara.
Negara yang menyertai PPN 12 ini adalah Malaysia, Indonesia. Singapura. Thailand dan Brunei. Indonesia menghantar peserta teramai iaitu 60 orang.
Zambry menambah, pembangunan mesti difahami dalam konteks yang memyeluruh termasuk hal-hal yang membangunkan jiwa manusia.
“Apakah ertinya kita mencipta pembangunan di luar (fizikal) padahal tidak membangunkan jiwa dan pemikiran masyarakat? Hal itu menjadi tempang, “ tegas Zambry.
Program PPN 12 yang diadakan di Hotel Campbell, Kuala Lumpur bermula 13 hingga 15 Oktober dimuat dengan pembentangan dan diskusi untuk meletakkan sastera khususnya puisi merentas wilayah dan realistik mendepani kepesatan teknologi komunikasi. – KAYANG POST