Tunjuk perasaan Keranda 152 oleh para pejuang bahasa di perkarangan DBP pada 3 Mac 1967.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

ARAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memulangkan semua surat kepada kerajaan yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu adalah ketegasan demi bahasa kebangsaan. Tidak sahaja mengenai surat,  tetapi semua pelakuan yang membawa maksud tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ketegasan itu dizahirkan ketika berucap melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia  (MMU) di Cyberjaya baru-baru ini.

Memang benar Perdana Menteri hanya menyentuh tentang surat,  tetapi mesti difahami bahawa  beliau sedang memerhati sikap yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak – pembuat dasar, pelaksana dasar dan masyarakat seluruhnya terhadap bahasa Melayu. Disebabkan sudah menjadi perkara biasa, banyak pihak tidal ada rasa bersalah melanggar kehormatan terhadap bahasa yang bertaraf kebangsaan.

Bahasa kebangsaan adalah bahasa negara.  Semua negara bangsa mempunyai bahasa kebangsaan masing-masing dan menghormati dengan menggunakan untuk pelbagai tujuan – sosial, ekonomi, ilmu dan teknologi. Itulah cara yang betul dalam mengangkat bahasa kebangsaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan program Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia  (MMU) di Cyberjaya baru-baru ini. (Gambar Berita Harian)

Bagaimanapun berlainan dengan bahasa Melayu. Sekalipun diletakkan pada aras yang tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan, hakikatnya keutamaan Bahasa Melayu berada di ketiga selepas bahasa Inggeris dan Mandarin. Lebih malang lagi wujudnya tanggapan bahawa tidak ada kelebihan menggunakan bahasa Melayu berbanding dua bahasa yang disebutkan tadi.

Kita boleh melihat keadaan yang buruk ini dalam pekerjaan  di mana bahasa Inggeris dijadikan tanda aras peluang terutama di sektor swasta. Kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan seolah-tilah tidak membawa makna apabila bahasa itu tidak diberikan nilai yang sepatutnya.

Kedudukan sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan tidak ada bahasa lain yang lebih tinggi – dalam konteks rasmi atau tidak rasmi.  Sama ada di Parlimen atau di ruang awam yang tidak bersifat rasmi. Apabila sesuatu bahasa kebangsaan itu dituturkan oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, di situlah peranannya sebagai alat perpaduan.

Ada pihak yang memberikan alasan bahawa bahasa Melayu tidak ada nilai ekonomi berbanging bahasa Inggeris dan Mandarin. Kalau benarlah keadaan itu,  siapakah yang bertanggungjawab memberikan nilai ekonomi pada kedua-dua bahasa berkenaan?

Urusan perdagangan atau ekonomi yang bersifat domestik tidak memerlukan bahasa lain untuk memahami antara satu dengan lain. Kenapa ada pihak memilih berkomunikasi dengan bahasa Inggeris dan Mandarin?  Bukankah semua rakyat boleh berbahasa Melayu?

Sarjana bahasa Melayu di Universiti Hankuk,  Korea Selatan, Profesor Koh Young Hun dalam Utusan Maaysia 4 Julai 2022  menolak sekeras-kerasnya tanggapan   bahawa bahasa Melayu tidak boleh menjadi bahasa ilmu di negara ini.

Tidak lama dulu ada kementerian yang mengedarkan terjemahan kenyataan akhbar dalam bahasa Mandarin kepada wartawan. (Gambar hiasan Malaysiagazette)

 

Menurut beliau, tanggapan sedemikian tidak bersandarkan bukti. Ia lebih merupakan satu penganiayaan dan sikap yang tidak adil pada bahasa Melayu.  Hal yang seperti itu perlu segera diperbetulkan kerana Korea Selatan sendiri telah membuktikan bahasa kebangsaan menjadi pemacu dalam bidang ilmu, industri dan teknologi.

Keadaan yang berlaku di negara ini antaranya disebabkan tidak ada ketegasan untuk mengutamakan bahasa Melayu. Mesyuarat yang tidak menggunakan bahasa Melayu pun berlangsung dengan aman. Tanpa ada pihak yang mengambil tanggungjawab untuk membuat teguran. Surat kepada kementerian atau jabatan kerajaan dalam bahasa Inggeris juga dilayan dengan baik.

Malah suatu ketika dulu ada kementerian yang mengedarkan terjemahan kenyataan media dalam bahasa Mandarin.  Apakah disebabkan wartawan media berbahasa Mandarin tidak menguasai bahasa Melayu atau sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan peneraju kementerian berkenaan?

Malah boleh dikira dengan jari jumlah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang  lapuran tahunan syarikat  ditulis dalam bahasa Melayu. Jadi, di manakah perlunya bahasa Melayu dalam kehidupan di negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Ironinya lama sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957,  dan sebelum terbentuk Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi, bahasa Melayu berada di tempat teratas. Itulah bahasa ilmu, perdagangan dan tali yang menghubungkan sosialisasi masyarakat pelbagai kaum.

Malah pada era kegemilangan empayat Melaka dan Melaka sendiri menjadi pangkalan dagang yang menghubungkan timur dengan barat, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca. Yakni bahasa yang mempunyai nilai ekononi yang tinggi dalam kalangan pedagang di luar garis lingkung Nusantara.

Semua yang disebutkan secara sepintas lalu di atas adalah mengingatkan bahawa bahasa Melayu pernah berada pada zaman kegemilangan – bukan sahaja di negara ini malah di luar garis Nusantara yang menjadi penutur utamanya. Apakah maknanya semua itu kalau bukan kegemilangan bahasa Melayu?

Arahan yang paling tegas terhadap sebarang penyelewengan dalam memartabatkan bahasa Melayu oleh Perdana Menteri adalah suatu iltizam politik yang sudah lama ditunggu. Sekaligus menunjukkan bukan masanya lagi untuk berkompromi dengan anasir yang sengaja merendahkan kedudukan bahasa Melayu.

Perdana Menteri telah memperlihatkan kebertanggungjawaban yang paling tinggi terhadap bahasa Melayu di negara ini. Malah tanpa apologetik beliau mengeluarkan arahan paling tegas supaya ‘kembalikan’  surat yang tidak menggunakan bahasa Melayu.

Sebelum ini, disebabkan ketiadaan ketegasan daripada pembuat dasar bahasa Melayu seolah-olah hanya layak di kaki lima  sahaja.  Malah ada kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan dengan tanpa rasa malu dan bersalah mengangkat bahasa Inggeris dalam surat menyurat dan penjenamaan program serta kempen.

Berdepan kedudukan bahasa Melayu yang terendah dalam senarai keutamaan rakyat ketika ini tidak boleh selesai dengan sikap ‘cuci tangan’ dan meletakkan hanya kegagalan kepada institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Hakikatnya, sekalipun bukan ‘polis bahasa,’  DBP telah melakukan yang terbaik bidang kuasanya seperti menegur kementerian yang menyediakan terjemahan kenyataan media dalam bahasa Mandarin.

Pejuang bahasa juga sudah melakukan melampaui yang termampu sejak awal merdeka hingga enam dekad berikutnya. Bagaimanapun apalah yang boleh dilakukan oleh pejuang bahasa apabila berdepan dengan pembuat dasar  dan juga pemimpin politik arus utama yang tidak memehami kedudukan bahasa kebangsaan.

Sekalipun begitu mereka yang berganti daripada generasi ke generasi tidak pernah lelah berdepan kerenah pembuat dasar yang ‘kurang menyumbang’ memartabatkan bahasa Melayu. Puisi Keranca 152 karya Sasterawan Negara Usman Awang terus bergema lebih setengah abad lamanya. Ia bermula dengan tunjuk perasaan Keranda 152 di DBP pada 3 Mac 1967.

Ketegasan Perdana Menteri terhadap penggunaan bahasa Melayu menuntut iltizam semua – merentasi garis kaum, agama dan budaya.  Rakyat perlu memahami bahawa yang ditegaskan oleh Perdana Menteri itu adalah hakikat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bahasa kebangsaan di mana-mana negara sekalipun adalah bahasa ilmu.  Itulah bahasa yang mengalirkan jiwa, perasaan dan pengalaman daripada generasi tua kepada yang muda. Dalam konteks yang paling asas adalah mengalirkan hubungan antara kedua-dua ibu dan bapa kepada anak-anak.

Semuanya menerima ilmu kehidupan paling awal dengan bahasa kebangsaan yang didokong oleh begerasi sebelum mereka. Apabila semua kaum di negara ini menuturkan bahasa Melayu dengan kerelaan dan rasa tanggungjawab, itulah sikap selayaknya terhadap bahasa kebangsaan.

Bahasa kebangsaan bukan bahasa untuk orang Melayu tetapi bahasa negara. Demikianlah ketepatan pada ungkapan satu bahasa satu negara.  Bagaimanapun hal seperti itu tidak  akan berlaku sekalipun bukan suatu yang mustahil, kecuali dengan iltizam politik seperti yang diperlihatkan oleh Perdana Menteri. – KAYANG POST

 

 

 

 

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *