Wajah Gaza – Sumber: Foto daripada portal berita archynewsy.com
Oleh Prof Dr Ahmad Murad Merican

MUSIBAH di Gaza adalah sesuatu yang sukar diungkapkan. Ia merentasi imaginasi manusia waras. Fakta dan fiksyen, kebenaran dan kepalsuan tidak lagi wujud. Kebebasan dibungkamkan dalam kebatilan. Suatu krisis yang berkekalan, yang menjalar ke segenap lapisan kehidupan. Apatah lagi kehidupan intelektual dan moral.

Inilah yang sedang kita alami. Gaza bukan jauh di sana. Tetapi dalam lubuk hati dan pancaran pengetahuan. Apa yang kita lihat itu terpampang di skrin telefon bimbit atau di televisyen kita, ia bukan peperangan. Ia bukan konflik. Ia bukan penggunaan senjata. Ia adalah satu genosid. Ia satu jenayah manusia dan kemanusiaan. Ia satu pembunuhan sekumpulan manusia secara sistematik.

Palestin adalah contoh penjajahan yang paling dahsyat dalam kehidupan dan sejarah manusia. Dalam sejarah, gejala penjajahan telah mengakibat kemusnahan dan penjarahan dalam tiga bentuk. Pertama ialah genosid, kedua etnosid, dan ketiga epistemesid. Apa yang sedang berlaku di Gaza, adalah contoh jelas ketiga-tiganya – manusia dibunuh, dengan itu budaya dan identiti dipesongkan serta ilmu (termasuk maklumat) dibungkamkan.

Inilah yang terjadi sejak persitiwa Nakba tahun 1947 di mana rakyat Palestin diusir keluar dari tanah air mereka. Etnosid dan epistemesid berlaku apabila perpustakaan, arkib dan universiti dibinasakan; apabila sarjana dan ahli akademik diugut; apabila wartawan ditembak. Dan ia terus berlaku.

Namun tidak ada protes yang tegas dari media dalam negara. Tajuk yang digunakan ialah ‘Perang Palestin-Israel.’ Tajuk sebegitu memesongkan pemikiran dan kefahaman. Apakah editor dan wartawan kita amat bebal sekali dan tidak dapat membezakan antara peperangan dan pembunuhan (genosid).

Malah kita sepi akan kesengsaraan berjuta-juta insan yang terbabit. Sepatutnya media di Malaysia lebih tepat dalam menceritakan apa yang sedang berlaku dari segi kebenaran maklumat – dari segi teks dan visual. Suara institusi kewartawanan pun tidak dengar. Peranan lidah pengarang cetak atau elektronik tidak kelihatan.

Tetapi apa yang paling nyata ialah tamadun Barat – Euro-Amerika semakin sakit dan tenat. Negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan sekutu mereka sama dengan orang menghadapi masalah psikiatri. Naratif mereka hilang punca, hilang konteks. Yang jelas hanya teks yang merujuk kepada preteks 7 Oktober.

Segala korpus dan pengukuran kebenaran kian hancur lebur. Kita sedang hadapi satu keadaan di mana negara-negara Barat sedang menghadapi penyakit psikosis. Mereka menjadi buta kebenaran, logik dan ketaakulan.

Barat telah memadamkan proses sebab-musabab. Barat telah menggugat asas-asas keilmuan mereka sendiri. Kita tidak nampak universiti di Eropah dan Amerika Syarikat, atau sarjana-sarjana mereka di sana yang secara kolektif mengisytiharkan peristiwa Gaza sebagai satu genosid.

Malah, ahli akademik dan pensayrah di kampus-kampus di sana akan diberi amaran, dihukum, dan dibuang jika mereka bersikap pro-Palestin; apatah lagi melagukan slogan “From the river to the sea…”(Dari Sungai ke laut…); apatahlagi menyifatkan apa yang berlaku di Gaza sebagai satu genosid.

Lentur dan luntur sudah nilai-nilai keabsahan sains dan keilmuan seperti objetiviti, keseimbangan, berkecuali seimbangan, dan “bebas nilai.” Gugur sudah prinsip-prinsip ketepatan dan kefaktaan dalam kewartawanan. Namun, saya tidak lihat golongan wartawan di Malaysia, atau lain-lain negara Islam menyuarakan secara kolektif dan menyebut bahawa apa yang berlaku merupakan satu genosid.

Saya juga tidak lihat universiti dan golongan akademik di Malaysia secara kolektif mengisytiharkan pendirian yang sama. Malah, amat wajar dilaksanakan boikot akademik dan menyekat mana-mana penceramah dari kampus Eropah-Amerika daripada menjejak kaki di kampus-kampus universiti di Malaysia.

Saya juga menyarankan buku-buku terbitan dari ruang Eropah-Amerika mengenai nilai-nilai fundamental Barat, yakni, demokrasi, hak asasi manusia, logik, kebebasan manusia, kebebasan pengucapan, ketaakulan, dan universalisme dikoyak dan dibakar.

Ini bukan respon kita kepada beberapa peritiwa seperti pembakaran Quran. Ini langkah kita menyuarakan kepada Barat bahawa mereka tidak layak mengajar dan menentukkan keilmuan kita. Mereka telah menentang ilmu mereka sendiri, mereka telah menggagalkan peristiwa Pencerahan Eropah abad ke 18.

Pembakaran buku? Hanya untuk menunjukkan bahawa bidang-bidang ilmu yang kita pelajari ini adalah cenderong kepada sejarah dan permasalahan Barat pada sesuatu ketika dan zaman.

Dan selama ini ia satu kepincangan. Ini bukan soal graviti yang benar sepanjang masa dalam kewujudan bumi ini; tetapi soal manusia dan kemanusiaan, soal akal, ilmu manusia dan ilmu naqli. Apakah demokrasi dan ketetapan hak asasi manusia dapat menyelesaikan masalah kemanusiaan?

Bagi sekolah-sekolah kewartawanan, buanglah saja kriteria dan kaedah mengajar bidang penulisan berita. Ini zaman pasca normal. Ini zaman naratif yang memecah paradigma Nakba. Baca Sejarah.

Universiti tidak boleh abaikan sejarah moden. Dan kita masih lagi mendidik pelajar media seperti tahun 1970-an. Dan sarjana masih lagi mempercayai bahawa ilmu itu berkecuali. – BEBASNEWS

Baca artikel asalhttps://bebasnews.my/2023/11/14/genosid-di-gaza-koyak-dan-bakar-buku-dari-kampus-barat/

 

  • PROF DATUK DR AHMAD MURAD MERICAN adalah profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM). Beliau juga felo kanan Southeast Asia Research Centre and Hub di De La Salle University, Manila.
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *