Biarpun sudah dibatasi bumi, kasih dan sayang  ayah dan ibu tidak pernah terkuburkan, sentiasa dikenang apa lagi pada saat  bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri. (Gambar hiasan)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

“Anakanda, belanja menyara bonda semasa mengandungkan anakanda (RM200), belanja bidan (RM50), lampin (RM100), tempat tinggal (RM500), makan (RM1,200). Jumlah belanja membesarkan anakanda tidak ada kerana anakandalah yang paling ayahanda dan bonda sayangi.”

Petikan di atas adalah nota tulisan tangan seorang ayah kepada anaknya yang masih kanak-kanak. Anaknya meragam dan memberontak kerana si ayah tidak mampu memberi suatu yang diminta kerana dibeliti kemiskinan, bukan tidak sayang.

Si anak teringat kembali akan nota itu ketika menziarahi pusara ayahnya pada hari raya bersama isteri dan anak-anak. Rasa menyesal  dan bersalah pun datang bergumpal-gumpal di layar ingatan.  Ketika orang lain sedang bergembira, kenangan itu amat mendera. Si anak merasa terhiris dengan belanjawan kasih yang dibentang ayahnya sewaktu  dia masih kanak-kanak dulu.

Di atas tadi adalah petikan iklan PETRONAS yang disiarkan di televisyen sempena Hari Raya  Aiditfitri lebih kurang 25 tahun lalu. Sekalipun sudah lama, kisah yang diangkat dalam iklan itu sentiasa dekat dengan mereka yang pernah menontonnya. Mesejnya jelas – pengorbanan ayah dan ibu tidak minta dibalas, malah tidak akan terbalas.

Dalam kalangan kita yang sudah tidak punya ayah, ibu atau kedua-duanya tentu sahaja kerap tertoleh kenangan ketika masih anak kecil suatu waktu dulu. Kenangan  itu sudah jauh  tertinggal di garis masa kehidupan, tetapi sekali sekala tetap singgah kembali dalam ingatan terutama ketika menyambut hari raya.

Tidak kira sama ada pahit atau manis, kedua-duanya  yang silih berganti  itu membawa kita ke perlu masa silam. Biarpun terpisah jauh daripada masa kini di mana kita sudah dewasa, kenangan pada zaman kanak-kanak adalah ingatan manis yang tidak berulang untuk kali keduanya.

Menjadi kanak-kanak adalah satu daripada fragmen hidup yang sangat unik lagi jernih, sama sekali berbeza keadaannya selepas mendaki usia yang membuatkan kita semakin dewasa. Mengingati zaman kanak-kanak bagai menghimpun pengalaman yang menjadi titik awal sesebuah kehidupan.

Disebabkan hal demikian, pada hari yang penuh syukur dan gembira itu terselit juga perasaan pilu kerana ketiadaan ayah dan ibu seperti tahun-tahun yang dulu. Rasa kehilangan sekaligus rindu yang terbeban itu menjadikan  hari raya yang penuh gembira bersulam pilu.

Apatah lagi  kalau ada pelakuan atau sikap kita yang tanpa sedar telah menggores perasaan ayah atau ibu yang tidak mampu menyediakan kesempurnaan, atau memenuhi keinginan  kerana dibelenggu kemiskinan. Rasa bersalah itu menryerbu apabila kita mulai faham erti kemiskinan dan ketidakmanpuan.

Tanpa kasih sayang kedua-duanya, tentu sahaja segala sesuatu menjadi tidak bermakna. Memang benar hidup memerlukan wang, bagaimanapun kasih sayang ayah dan ibu itu sebenarnya  menjadikan wang dan semua yang bersifat benda  itu lebih bermakna berbanding nilainya.

Kasih sayang ayah atau ibu adalah suatu yang abstrak.  Tidak ada penyukat untuk mengukur  tinggi atau rendah, sedikit atau banyak dan luas serta sempit. Hanya yang menerima dengan sedar sahaja yang dapat merasakan bahawa itu satu anugerah yang amat besar.

Maka tidak hairanlah kalau setiap kali hari raya, banyak dalam kalangan kita terbeban dengan rindu dan kasih sayang yang sudah dibatasi bumi. Semua itu hanya boleh dirasa oleh jiwa kerana  ayah dan ibu sentiasa ada bersama-sama kita.

Malah yang sangat dikasihi itu menjadi semakin dekat dalam kejauhan. Apabila usia menginjak jauh di depan, semakin terbebanlah dengan kemurnian kasih sayang yang dicurahkan kepada kita. Semuanya percuma, tanpa ada perjanjian atau aku jani untuk menuntut segala sesuatu yang dilakukan untuk kita.

Apabila mereka sudah hilang di mata, pusara dan sepasang nisan yang tegak dan condong  sahaja yang menandakan pangkalan terakhirnya. Pada hari raya, sekalipun bukan menjadi suruhan agama, banyak yang menziarah pusara. Kerana di situlah tersimpan kenangan dan rindu yang tidak pernah terkuburkan.

Sebenarnya bila-bila masa sekalipun boleh menziarah pusara, tidak terbatas pada hari raya. Bagaimanapun seperti yang diungkapkan tadi, dalam meraikan kemeriahan kita pasti tertoleh pada kenangan bersama kedua-dua ayah dan ibu.

Kebetuan pula pada hari raya juga banyak yang pulang ke kampung halaman dan kesempatan itu diambil untuk menziarah pusara. Lalu kelihatan seperti hanya hari raya sahaja orang menziarah pusara. Sebenarnya itu hanya kesan daripada mobiliti sosial dalam kalangan anak-anak yang merantau ke kota.

Banyak juga yang zaman kanak-kanaknya di kampung halaman, tetapi terus meneroka padang yang hijau di kota-kota besar untuk membina kehidupan.  Hari rayalah waktunya anak rantau pulang pada asal usul –  tradisi, kampung halaman dan kenangan.

Dalam sayup-sayup gema takbir yang memecah hening pagi, tetamu berduyun-duyun ke dataran sepi dan seperti biasa disambut kembang kemboja yang gugur  memutih dari pepohonan yang rendang.

Kalau direnung dan diperhati, semua yang datang ke situ seperti meninggalkan jauh semua yang dipinjamkan – pangkat, kedudukan dan penghormatan yang diberikan oleh sesama insan.  Semuanya tidak perlu dipergaya kepada sesiapa dan untuk apa.

Masing-masing dengan kenangan tersendiri dengan sosok yang telah bersemadi.

Semuanya memijak lumpur dan tanah liat, meredah rerumputan dan  ada kalanya kaki tercucuk duri semalu yang tumbuh meliar.  Semuanya demi kasih sayang insan yang sudah tiada. Semuanya menurunkan kedudukan di mata manusia dengan hanya menyarung selipar,  bukan kasut berjenama.

Sasterawan Negara Usman Awang pernah melukiskan pengamatan  dan perasaannya di pusara ibunya dalam puisi Ke Makam Bonda (1955). Bait yang berbunyi, ‘Dalam kenangan kami melihat / mesra kasih bonda menatap / sedang lena dalam rahap / dua tangan kaku berdakap’  terasa sangat syahdu dan menyusur hingga ke dasar jiwa.

Dengan jalinan kata dan syahdu rimanya, puisi itu seolah-olah mewakili perasaan semua orang ketika di pusara – pertautan antara kenangan dan kasih sayang dengan insan yang sudah tiada. Dalam ketiadaannya, ayah dan ibu sentiasa ada.  Maka tiada salahnya bergembira pada hari raya dan  tidak melupakan insan-insan berjaya pada hari yang mulia.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *