Oleh Abdullah Jones
MUNGKIN perkataan ‘hati emas’ dan ‘raikan cinta’ itu rekaan sepenuhnya oleh M.Nasir. Sebelum dua perkataan ini popular, seolah-olahnya kita belum pernah mendengar kata-kata tersebut.
M.Nasir boleh kita anggap pakar dalam mencipta kata-kata yang seolah-olah sudah memang selalu kita dengar walhal ia adalah perkataan baru.
Kita tidak pernah menggunakan perkataan ‘hati emas’ apabila hendak mengatakan seseorang itu berhati mulia misalnya dan kita juga tidak pernah ‘meraikan cinta’. Namun sejurus setelah dia menjadikan dua perkataan tersebut sebagai lirik lagu, kita seolah-olah memang selamanya telah menggunakan dua perkataan tersebut.
Namun begitu, ‘raikan cinta’ lebih diraikan. Lihat saja bagaimana majlis-majlis perkahwinan menggunakan perkataan ini sehingga kita jadi mual. ‘Hati emas’ pula hampir tidak digunakan baik dalam perbualan seharian ataupun untuk sebarang bentuk penulisan. Ia kekal di dalam lagu.
Nasir tidak perlu ragu yang dia akan sentiasa diingat sepertimana kita mengingati P.Ramlee hari ini. Pun begitu, tidak seperti P.Ramlee, M.Nasir bukanlah seorang aktor yang baik. Sosok tubuhnya dipanggil untuk berlakon hanya atas kapasiti dirinya sudah amat terkenal.
Kecuali filem ‘Merah’, lakonan dia dalam kebanyakan filem adalah dipersoalkan. Filem ‘Merah’ juga adalah sebuah filem yang mendahului masa sama seperti filem ‘Kami’ lakonan Sudirman Haji Arshad dan tidak diraikan sebagaimana selayaknya.
Lagu-lagu cinta karangan M.Nasir biasanya menggunakan kata-kata yang ringkas dan ringan. Mungkin disinilah tempat betapa kehebatannya terserlah.
Lagu ‘Suatu Masa’ misalnya menggunakan perkataan-perkataan asas dan langsung meninggalkan kata-kata yang puitis apa lagi bombastik . Untuk rekod, lagu itu pula hanya terkenal beberapa tahun selepas ia diterbitkan. Semasa ia mula-mula diperkenalkan, lagu berkenaan tidak memberi bekas kepada pendengarnya.
Suara M.Nasir datang bersama nostalgia kepada mereka yang membesar dengan nyanyiannya sejak dari kumpulan Kembara. Sementara jika mahu dibandingkan lagu manakah yang paling ‘leleh’ antara lagu-lagu nyanyinya, maka lagu berjudul ‘Rindu’ adalah lebih mengesankan berbanding dengan lagu ‘Suatu Masa’.
Lagu ini dimuatkan dalam album ‘Hijrah 1404’ yakni album peralihan kumpulan Kembara dari sebuah kumpulan lagu-lagu folk kepada kumpulan rock yang lebih progresif. Album ini juga adalah antara album terbaik yang pernah dihasilkan oleh kumpulan Kembara selain album ‘Genarasiku’.
Kepada penggemarnya, M.Nasir adalah seorang sufi atau itulah yang peminatnya mahu kita semua percaya. Dan album Saudagar Mimpi adalah sebuah album yang memahat lebih dalam akan kepercayaan itu. Lagu-lagu seperti ‘Hidayah’, ‘Insan dan Manikam’ serta ‘Di Balik Cermin Mimpi’ tentu saja lebih menguatkan dakwaan ini. Namun begitu, lagu ‘Monsoon Dance’ yang diharapkan membawa dia ke mata muzik dunia sedikit mengganggu kesempurnaan perjalanan saliknya itu.
Apa yang lebih menarik adalah M.Nasir hampir tidak pernah dijadikan bahan gosip oleh media tempatan. Sementelah pula wartawan-wartawan yang duduk di meja hiburan memang boleh diharapkan untuk mencipta cerita sensasi yang dipetik dari angin, kecuali insiden ‘Siapa Mahathir?’, dia seperti terkecuali dari cerita-cerita sensasi yang memangnya menjadi makanan dunia hiburan.
Dia seperti sudah disiapkan untuk menjadi ‘abang besar’ dunia hiburan tempatan sejak lama dulu.
Bagi sesetengah peminat muzik rock di negara ini, M.Nasir adalah orang yang bertanggungjawab ‘melelehkan’ muzik rock di tempat kita. Akibat dari meletupnya lagu ‘Fantasia Bulan Madu’ dan ‘Isabella’, semua kumpulan rock waktu itu menginginkan lagu-lagu yang serupa. Padahnya kita dibuai oleh muzik yang lelah.
Walaupun lirik lagu ‘Isabela’ bukan tulisannya, namun irama tangkap lentok yang mengiringi lagu berkenaan menjadi template pada hampir semua lagu-lagu sesudah itu.
Stesen radio pada waktu itu juga tidak membantu apabila setiap masa memainkan lagu tersebut. Kita hanya dapat membayangkan apa yang terjadi sekiranya segala macam media yang ada pada waktu tersebut sibuk mempopularkan lagu-lagu yang lebih berdiri berbanding dengan lagu yang duduk mengeluh tersebut.
Pun begitu kita tidak boleh menafikan nama Saari Amri yang datang sedikit kemudian atas ‘sumbangan’ dia kepada lagu-lagu yang menganjurkan agar pendengarnya duduk tersedu-sedan.
Yang ajaibnya, lagu-lagu Saari Amri juga kekal diminati hingga ke hari ini. Malah tidak salah jika dikatakan lagu-lagunya lebih popular berbanding lagu-lagu M.Nasir.
Sebagai pemula lagu-lagu tangkap leleh, kita mungkin boleh menyalahkan M.Nasir atas perkara tersebut.
Atas segalanya, kita semua harus berterima kasih diatas peranan yang dimainkan oleh M.Nasir dalam mewarnai dunia muzik kita. Seperti yang dikatakan di atas, dia akan sentiasa dikenang sebagai seorang ahli muzik dan penghibur yang berada di luar dari kumpulan yang datang ke dunia hiburan hanya sebagai alat semata.
Jika kita mahu meninggalkan pendekatan yang mendewakan dia sebagai ahli sufi, pemikir, atau apa saja gelaran yang tidak munasabah, maka kita akan dapati bahawa kita harus berbangga mempunyai seorang pengkarya yang bukan saja meraih populariti dan harta benda melalui seninya , setidak-tidaknya dia melakukan semua itu dengan sedikit kesedaran bahawa muzik bukan hanya sekadar untuk bertepuk-tampar atau mengilai tertawa.
Dengan cara yang benar, mungkin kata-kata yang dinyanyikan itu sedikit sebanyak memberi ruang untuk kita semua berfikir. Terima kasih Mohd Nasir Mohamed. – SENIMALAYA.
Baca artikel asal di sini: https://senimalaya.com/terima-kasih-m-nasir/