HB Jasin bangkil melawan komunisme

Oleh Ku Seman Ku Hussain

MENGENANG tokoh sastera HB Jassin adalah menyelak kembali lipatan sejarah huru-hara politik dekad 1960-an  di Indonesia yang terbias kepada sasterawan dan seniman. Hal itu secara langsung  membawa sasterawan dalam kancah pertembungan ideologi.  Itu membuktikan sastera adalah suatu yang tidak pernah berjarak dengan pergulatan sosial dan politik. HB Jassin telah membuktikan tentang hal itu.

Sekalipun meninggalkan jasa yang besar kepada negara khususnya dalam sastera dan budaya, pulangnya HB Jassin  ke pangkuan Ilahi pada 11 Mac 2000 tidak diberi penghormatan  negara yang selayaknya. Tokoh besar itu menjadi menjadi seperti tidak bernilai selepas berakhirnya huru hara politik yang pernah mengoncang negara itu.

Keadaan yang sangat pelik itu ditanggapi sebagai  satu tindakan tidak berbudaya oleh beberapa media Indonesia. Malah yang lebih mengecewakan dalam kalangan sasterawan, wartawan dan seniman adalah  ketidakpedulian negara, tidak seorang pun bertaraf menteri hadir memberi penghormatan terakhir.

HB Jassin sejumlah kecil tokoh besar Nusantara yang  pengaruhnya melampaui garis politik, geografi dan diplomatik. Dalam diri sosok yang sangat tertampil itu amat jelas  peranannya sebagai sasterawan dan  masa yang sama adalah pemikir bangsa.  Maka sebagai apa atau siapa pun HB Jassin,  jasa yang ditinggalkan tidak teukur  kecuali hanya mencari yang nampak di mata sahaja.

Suatu hal yang tidak banyak mampu melakukannya adalah berdiri di tengah-tengah pergolakan sastera Indonesia yang terbias daripada huru hara politik pada awal dekad 1960-an.  Hal itu memberi kesan yang sangat langsung pada kesusasteraan apabila melibatkan para sasterawan dan seniman yang berpengaruh. Dalam keadaan yang kacau itu HB Jassin bangkit dan nyatakan pendirian.

Sekalipun bukan tampil sebagai ahli politik, HB Jassin berada pada kedudukan sasterawan yang pantas memintas penyusupan komunisme dalam kalangan sasterawan.  Lembaga Kebudayaan (Lekra) yang disertai oleh banyak sasterawan besar Indonesia terkait sekalipun bukan secara rasmi dengan Parti Komunis Indonesia (PKI).

Malah Lekra menjadi sangat kuat pada era Sukarno apabila  komunisme menjadi sebahagian daripada pemerintah. Golongan sasterawan yang tidak sealiran dijadikan sasaran kecaman dan tekanan – salah seorangnya  HB Jassin.  Tetapi tanpa gentar HB Jassin mengerakkan Manifestasi Kebudayaan pada 1963 satu konsep kebudayaan sebagai serang balas  psikologi terhadap Lekra.

HB Jassin atau nama sebenar Hans Bague Jassin sangat diingati sebagai tokoh sastera yang tidak pernah lelah melawan komunisme yang dialirkan melalui sasterawan dan seniman yang bukan calang-calang.  Malah sangat berpengaruh dalam jurusan seni masing-masing.

Manifestasi Kebudayaan

Kelebihan HB Jassin  dalam hal itu adalah mempunyai keberanian yang luar biasa dan sangat tahu siapa yang akan ditentangnya.  Tentunya bukan suatu yang mudah untuk mematahkan pengaruh yang dibawa  Lekra. Manifestasi Kebudayaan menjadi landasan HB Jassin melawan ideologi realisme sosial yang dibawa  Lekra.

Manifestasi Kebudayaan menggerakkan perjuangan kemanusiaan sejagat yang sama sekali bertentangan dengan Lekra.  Didukung pula oleh sasterawan dan seniman yang juga bukan sembarangan dalam sastera Indonesia.  Maka antara jasa HB Jassin yang besar adalah keupayaan mempengaruhi rakyat  termasuk rakan-rakan sasterawan supaya menolak komunisme.

Konsep yang didukung Manifestasi Kebudayaan itu mendapat sambutan di pelbagai lapisan  khususnya para sasterawan dan  seniman,  termasuk yang berada di kota-kota terpencil.  Biarpun tahu terpaksa berdepan tentangan dengan seniman dan sasterawan Lekra  beserta jajarannya, tetapi mereka terus bangkit.

Bagaimanapun Lekra yang terkait dengan PKI juga bukan kecil. Hakikat itu terpaksa diterima oleh HB Jassin dan sasterawan dan seniman yang mendukung Manifestasi Kebudayaan.  Lalu tidak menghairankan apabila Sukarno mengambil pendirian mengharamkan Manifestasi Budaya dengan alasan hanya Manifesto Politik sahaja yang menjadi garis besar haluan negara.

Selepas Manifestasi Kebudayaan tersekat, Lekra tidak berdiam diri malah terus memberikan tekanan kepada pendukung konsep  budaya itu terutama HB Jassin.  Akhirnya HB Jassin disingkirkan daripada tugasnya  sebagai pensyarah di Universiti Indonesia dan Lekra menjadi api yang marak tanpa sesiapa dapat menghalangnya.

HB Jassin hanya boleh disingkir, tetapi tidak mampu dibenamkan supaya tidak boleh bersuara.  Beliau terus menjadi tentangan sekaligus halangan kepada Lekra untuk melebarkan pengaruh serta ideologinya. HB Jassin juga terus bersuara tentang sesuatu yang difikirkan tidak betul – baik dalam sastera mahupun budaya.

Sebagai pengkritik, pandangan dan kritikan yang diberikan selalu bersifat membangun, apresiatif, dan edukatif.  Hal yang demikian menjadikan HB Jassin sangat dihormati oleh kawan dan lawan. Beliau berani dan tegas dalam mengungkapkan apa sahaja yang dianggapnya benar, dan hal itu tidak ada kepada banyak orang – malah tidak boleh  menandingi keteguhan pendiriannya.

Prinsip yang didukungnya amat jelas – semua kritikan tidak berteraskan individu atau hal-hal yang tidak bersangkutan.  HB Jassin sangat objektif, tidak bertindak atas  pengaruh perasaan melainkan pemikiran yang jernih – suatu hal yang sukar tertanding oleh tokoh lain.

Pertahankan Bumi Manusia

Hal itu dibuktikan apabila  HB Jassin mengambil pendirian  mempertahankan novel Bumi Manusia daripada diharamkan ketika  pemerintah Order bBru Suharto. Bumi Manusia dihasilkan oleh sasterawan besar Pramoedya Ananta Toer yang juga pendukung Lekra.

Munasabahnya HB Jassin tidak berpendirian sedemikian kerana  Lekra melakukan berbagai-bagai tekanan ke atasnya pada dekad kemuncak komunisme tahun 1960-an. Malah menyerang habis-habisan sasterawan yang berpihak pada Manifesto Kebudayaan.

Tidak cukup itu, Lekra melakukan pelbagai cengkaman  dan tekanan lain  ketika era Sukarno untuk mematikan Manifestasi Kebudayaan sekaligus melenyapkan pengaruhnya.  Di sebalik  semua kelakuan Lekra itu banyak yang hairan dengan kejujuran  dan prinsip HB Jassin yang mempertahankan Pramoedya dan Bumi Manusia daripada terhukum.

HB Jassin memperjuangkan supaya Bumi Manusia dilepaskan kerana tiada asas yang kukuh bahawa karya pendukung Lekra itu melanggar undang-undang.  Bukan sahaja HB Jassin malah banyak sasterawan dan seniman lain  berpandangan sedemikian. Tindakan pemerintah mengharamkan Bumi Manusia tidak lebih sentimen dan dendam disebabkan  Pramoedya adalah sasterawan Lekra. Cumanya sasterawan lain tidak mampu memadam dendam atas perbuatan lampau Lekra.

Sumbangan yang tidak kurang besarnya juga adalah mendirikan Pusat Dokumentasi Sastera HB Jassin yang mengumpulkan dan menyimpan maklumat seputar  dunia kesusasteraan Indonesia. Usaha itu sekaligus membantu melestarikan karya-karya sastera serta memudahkan pengkaji dan penggemar sastera dalam mengakses maklumat.

HB Jassin mendokumentasikan berbagai-bagai perkara mengenai sastera di Indonesia.  Kerja remeh yang menuntut kesabaran itu ditekuni sejak tahun 1933. Berbagai-bagai karya sastera termasuk manuskrip tulisan tangan para sasterawan,  keratan surat khabar dan majalah, surat menyurat melibatkan sasterawan dan gambar.

Malah Pusat Dokumentasi Sastera HB Jassin dianggap yang paling lengkap dalam pendokumentasian hal ehwal sasterawan dan kesusasteraan Indonesia.  Semua itu didorong oleh iltizam HB Jassin yang tidak berbelah bagi dalam usaha mengangkat serta melestarikan sastera Indonesia.

HB Jassin sememangnya dilingkari kontroversi. Beliau bukan sengaja mencipta kontroversi tetapi disebabkan percaya dengan sesuatu yang dilakukan untuk rakyat. Kontroversi yang dianggap terakhir dalam hayatnya ialah ketika melahirkan al-Quran Berwajah Puisi (1992)  di mana Departmen Agama keberatan untuk menerbitkannya.  

HB Jassin berpendirian al-Quran yang puitis harus dibaca dalam bentuk puisi. Kini al-Quran Berwajah Puisi adalah antara khazanah yang tersimpan di Pusat Dokumentasi HB Jassin bersama 30,000 majalah dan buku yang dikumpul sejak lebih 90 tahun lalu.

Apakah jasanya tidak cukup untuk dhormati oleh negara, pemimpin politik dan birokrat?  Apakah usaha yang dilakukan sepanjang hayatnya menyumbang pada pembangunan memikiran rakyat? Rencana pengarang surat khabar Media Indonesia ekoran tidak ada penghormatan negara untuk HB Jassin wajar menjadi renungan. Rencana pengarang itu menyebut;

“Kesunyian dan kepapaan yang mengiringi pemergian tokoh seperti HB Jassin adalah refleksi ketidakpedulian bangsa ini terhadap kebudayaan. Kebudayaan itu seumpama roh. Dapatlah dibayangkan bagaimana malangnya sebuah bangsa yang berjalan tanpa roh. Itulah yang sedang kita alami.” (SeniMalaya  28 Jun 2024)

Artikel asal https://senimalaya.com/hb-jassin-tidak-lelah-melawan-komunisme-dalam-sastera/

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *