Novel Hujan Pagi

 

Oleh Ku Seman Ku Hussain

APABILA melihat rakan-rakan wartawan terpaksa bekerja dalam keadaan yang sangat menghimpit, banyak larangan terhadap amalan yang menjadi asas kewartawanan, saya segera teringat pada novel Hujan Pagi karya Sasterawan Negara A Samad Said. Novel itu menggaristebalkan pembingkaian kewartawanan yang berlaku semasa zaman penjajah dan juga selepas negara merdeka.

Pak Samad berdiri sebagai wartawan pada kedua-dua zaman  – sebelum dan selepas merdeka. Dalam beberapa tulisan bercorak memoirnya,  beliau mengungkapkan secara lebih mendalam perihal gangguan-gangguan semasa menjadi wartawan dan pengarang pada era idealisme kewartawanan condong, atau dipaksa condong kepada arus politik utama.

Antara karya lain yang dihasilkan oleh Pak Samad adalah novel Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Benih Harapan (1973), Di Hadapan Pulau (1978),  Langit Petang (1980) dan Daerah Zeni (1985). Novel Salina diadaptasi ke teater oleh Johan Jaaffar, Sungai Mengalir Lesu diadaptasi ke teater oleh Wahab Hamzah, Langit Petang diadaptasi ke filem oleh Shahrom Mohd Dom.

Membingkai atau mengawal kewartawanan adalah bercanggah dengan amalan demokrasi selepas 67 tahun negara mencapai kemerdekaan. Bahkan menguatkuasakan pula undang-undang yang sedia ada yang dulunya menjadi bahan manifesto untuk dimansuh. Ditambah dengan undang-undang dan peraturan baharu untuk tujuan mengawal kewartawanan.

Pembingkaian kewartawanan itu sebenarnya berlaku sepanjang usia kemerdekaan,  bezanya  hanya pada bentuk dan tahap kawalan itu.  Hal itu bermula pada 1961 apabila parti politik menguasai Utusan Melayu, menyingkirkan pengarang Utusan Melayu, Said Zahari dan diganti oleh ahli parti.

Kudeta itu menjadi pencetus pada  kebangkitan wartawan dan petugas pecetakan Utusan Melayu  dan melancarkan mogok selama 90 hari.  Sekalipun ada wartawan waktu itu menganggap campur tangan politik untuk menyelamatkan Utusan Melayu daripada terus ditolak oleh rakyat,  hal yang tersirat adalah untuk menyaring keluar wartawan yang kiri kepada penjajah.

Pak Samad menyaksikan tragedi yang menimpa kawan-kawan di Utusan Melayu itu dari dekat sekalipun beliau bertugas sebagai wartawan di surat khabar Berita Harian. Akan tetapi tempias kejatuhan Utusan Melayu ke tangan ahli politik turut dirasakan oleh Pak Samad.

Hujan Pagi yang diterbitkan pada 1989 iaitu 35 tahun lalu mengemukakan kompleksiti yang dihadapi oleh seorang wartawan yang berjuang dalam dua zaman – sebelum dan selepas merdeka.  Kedua-dua zaman itu membentang definisi dan matlamat perjuangan yang berbeza dan perubahan itu membuatkan  wartawan yang mendokong pejuangan  tulen tidak dapat mengharunginya dengan mudah.

A Samad Said

Makna dan matlamat perjuangan menjadi berbeza apabila dua zaman yang dipisahkan oleh garis bernama merdeka yang memangkin perubahan sosial dan spiritual dalam kalanagan rakyat dan pemimpin. Kemerdekaan yang dicapai dalam bentuk berbeza berbanding Indonesia menjadikan  sesetengah dalam kalangan rakyat agak leka, seolah-oleh sudah tertenti semua perjuangan selepas tarikh 31 Ogos 1957.

Novel yang dianggap magnum opus Pak Samad ini boleh dikaji daripada berbagai-bagai sudut dan laras-larasnya.  Ahli akademik dan pengkritik sastera  melihat daripada jurus kearifan masing-masing. Walau apa sekalipun kewartawanan dan wartawan tetap menjad terasnya. Dibalut dengan kompleksiti hidup  seorang wartawan pada dua zaman berbeza,  tetapi kedua-duanya tetap dihubungkan oleh dunia kewartawanan. 

Saya amat percaya pada zaman apa sekalipun etika kewartawanan tidak pernah berubah, yang berubah adalah pendekatan atau cara penguasa pada sesuatu zaman membingkai kerja wartawan untuk kelangsungan kuasa. Setiap zaman, penguasa mempunyai agenda kelangsungan hayat yang tersendiri. Pada satu keadaan mereka amat memerlukan wartawan, masa yang sana ada prasangka tentang pengaruh wartawan membebaskan pemikiran yang tertawan.

Pak Samad  sendiri mempunyai banyak pengalaman, bukan sahaja pada zaman penjajah, tetapi juga selepas  negara ini merdeka. Novel Hujan Pagi tidak bergerak jauh dari lingkaran kehidupan beliau sebagai wartawan,  dan yang tertampil adalah suara hati – banyak yang tidak diluah dan terpaksa ditelan.  

Sama seperti tulisnya dalam Hujan Pagi, wartawan sejati bukan sahaja makan gaji tetapi terpaksa makan hati. Episod makan hati itulah yang diungkap dalam alam bawah sedar watak Lokman yang bekerja di surat khabar Sinar Pagi.

Lalu Pak Samad mengirimkan Lokman untuk berbicara tentang perjuangan wartawan zaman penjajah. Lokman mengimpikan bentuk dan rupa fikir kewartawanan yang sentiasa berdampingan dengan kepentingan rakyat. Bagaimanapun  hasrat  itu  terhalang  di surat khabar Sinar Pagi, surat khabar selepas merdeka yang diterajui oleh generasi lebih muda.

Tentunya  Sinar Pagi tidak seperti Utusan Melayu (ketika sebelum merdeka) yang mendukung cita-cita perjuangan menentang penjajah. Turut berdiri bersama-sama Utusan Melayu adalah sebaris wartawan – sasterawan yang berjiwa kental.  Antaranya A Samad  Ismail, Rahim Kajai, Pak Sako, Usman Awang, Said Zahari, A Samad Said dan banyak lagi.

Penulis bersama Pak Samad pada 2024.

Surat khabar Hujan Pagi membawa kita menoleh  kewartawanan zaman penjajah dekad 1940-an dan Lokman menjadi pemimpin editorialnya. Itu adalah premis Lokman ‘melarikan’ diri daripada realiti zaman baharu yang pahit disebabkan  sesetengah dalam kalangan wartawan hilang matlamat perjuangannya.

Hal-hal yang didepani oleh wartawan selepas merdeka  (ketika novel itu dihasilkan 35 tahun lalu) telah diangkat dan disentuh, sama ada secara terus terang, kiasan atau lambang-lambang yang menjurus pada maksud wujudnya pembingkaian atau kawalan. Kekecewaan Lokman pada Sinar Pagi adalah rasa pahit Pak Samad terhadap  dunia persuratkhabaran dan kewartawanan selepas merdeka.

Dalam Hujan Pagi, kemerdekaan menjadi garis pemisah perjuangan wartawan pada dua era yang berbeza daripada sudut sosiopolitik dan budayanya masyarakatnya.  Wartawan sebelum merdeka berdepan halangan penjajah, selepas merdeka pula berdepan prasangka penguasa,  lalu pembingkaian pun dijelmakan dalam bentuk yang lunak.

Secara luaran, Hujan Pagi tidak berkaitan dengan sesuatu yang menimpa wartawan dan kewartawanan masa kini. Malah ketika novel itu diterbitkan tahun 1986, Hujan Pagi tidak menyentuh secara jelas dan tegas akan kawalan penguasa. Seklipun begitu hakikatnya novel ini menjentik juga perihal penguasa.

Sebagai wartawan dan juga pemimpin editorial, Pak Samad sudah tentu mempunyai banyak pengalaman berdepan dengan agenda membingkai karya kewartawanan oleh penguasa pada zamannya. Hampir semua teraju kuasa arus utama mempergunakan wartawan untuk melanjutkan hayat politik.

Sindiran Pak Samad dalam Hujan Pagi amat pedih,  Lokman hanya boleh mendapat ruang kebebasan bekerja untuk rakyat hanya di alam bawah sedarnya. Pada alam yang nyata, tahun 1970-an Lokman berdepan dengan generasi wartawan yang hilang perjuangan.

Pak Samad menumpahkan resah, malah barangkali marah dengan kepungan yang berlaku kepada wartawan. Beliau juga wartawan, malah sudah meredahnya pada dua zaman yang berbeza.  Maka Hujan Pagi secara sinisnya mengungkap kebebasan wartawan hanya dinikmati di alam bawah sedar.

Lokman sememangnya menghadapi tekanan jiwa disebabkan tidak dapat menerima kenyataan tentang bezanya perjuangan wartawan antara zaman sebelum dan selepas merdeka. Wartawan pada zaman sebelum merdeka lebih  berjuang menyatakan kebenaran serta membela nasib rakyat yang berada bawah penjajah.  

Keadaan berbeza  apabila negara mencapai kemerdekaan dan wartawan tidak lagi berjuang untuk menyatakan kebenaran, atau bermati-mati membela nasib rakyat.

Hal itulah yang amat mendera jiwa Lokman. Pelukisan melalui watak Musir Ali juga memberitahu kita tentang sikap dan pemikiran Lokman  terhadap tugas.  Bagaimanapun  apabila berdepan dengan wartawan muda selepas merdeka yang tidak seperti dia, Lokman menjadi begitu kecewa.

“Kau tidak harus berlara-lara sedalam itu Lokman.” Dia pernah menasihatkan teman veterannya, yang ternyata terlalu terseksa batinnya. Dua tiga bulan dulu sudah diingatkannya itu, tapi Lokman jenis manusia lain. “Ini bukan zaman kita lagi. Selalu ingat itu. Ini zaman baharu,” kata Musir Ali, mencari-cari pengertian dalam mata Lokman. “Ini kenyataan dan realiti baharu, tuntutan baharu dan ya, ya segala-gala….” (Petikan Hujan Pagi)

Menyusuri karya besar seperti Hujan Pagi pada garis masa yang dipisahkan oleh zaman bukan sahaja tidak mengundang rasa jemu, malah sentiasa ada perkara baharu yang terapung – tentunya disebabkan kematangan pembaca yang  semakin bertambah dalam menjalani kehidupan.

Hal ini membenarkan kata-kata  orang bijak pandai bahawa karya sastera bukan sebuah telegram.  Sifat telegram, walaupun dibaca seratus kali oleh seratus orang berbeza, maksudnya tetap sama. Akan tetapi sebuah karya sastera seperti Hujan Pagi,  maksud yang sampai  adalah berbeza-beza mengikut ketajaman  pembaca mengumpil lapis-lapisnya.

Perkara ini banyak kali disebut dalam Hujan Pagi dan semua itu membangkitkan simpati yang amat besar terhadap bapa-bapa kewartawanan Melayu. Mereka terpaksa berkerja dengan tangan yang terikat dan mata tertutup rapat.   Selepas merdeka, muncul borjuis politik yang membingkai karya-karya kewartawanan. Dan selepas runtuhnya feudalisme, mereka menjadi amat rakus, tamak dan sangat materialistik. 

Selepas 35 tahun dan mengulang  baca  Hujan Pagi beberapa kali,  saya  fikir wartawan patut diberi ruang untuk bekerja kepada rakyat. Cukuplah menjadikan wartawan sebagai penulis pamplet. Wartawan bukan anarkis yang perlu dibimbangi meruntuhkan keharmonian yang telah lama dibina.  Apabila pemimpin politik di puncak kuasa, wartawan tetap wartawan juga, kecuali yang pandai mencari laba.

Maka dalam keadaan sedemikian usahlah ada rasa prasangka yang berlebihan kepada wartawan yang bersuara demi kepentingan rakyat. Sekali lagi, wartawan bukan anarkis, mereka tetap wartawan biarpun seluruh barisan pemimpin bertukar ganti. Mereka beriri di tempat yang sama – di tengah-tengah antara penguasa dan rakyat jelata. (SeniMalaya 5 Sept 2024)

Artkel asal: https://senimalaya.com/pak-samad-hujan-pagi-dan-wartawan-yang-terkepung/

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *