Usman Awang pejuang merentas garis kaum

Oleh Ku Seman Ku Hussain

KALAU Sasterawan Negara Usman Awang masih ada, usianya genap 96 tahun pada 12 Julai 2025.  Pada 29 November yang baru lalu pula sudah genap 23 tahun kepulangan sasterawan yang dikenali sebagai Tongkat Warrant ke pangkuan Ilahi. Sekalipun sudah 23 tahun tetapi perjuangan kemanusiaan dan keamanan sejagat yang mendukung hampir semua karyanya tidak pernah ‘mati.’

Allahyarham amat diingati dengan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu menerusi puisi Keranda 125 (1967),  atau Duri dan Api (1961)  yang menyalakan perjuangan wartawan menolak campur tangan politik dalam kewartawanan. Malah Usman Awang juga berdiri teguh bersama-sama rakyat miskin yang meneroka tanah milik kerajaan di Telok Gong dalam puisi Peneroka Abad ke 20 (1967).

Itu hanya beberapa karya daripada lebih 200 puisi yang dihasilkan sepanjang hayatnya. Malah yang disebutkan di atas belum termasuk lagi puisi menunjangi nilai kemanusiaan yang merentas garis kaum. Malah banyak puisi yang melontarkan kritikan keras terhadap penjajah pada zaman darurat dalam novel  tunggalnya, Tulang-Tulang Berserakan (1966).

Beberapa bab novel itu memperhalusi dan menekankan mengenai hubungan kemanusiaan yang melampaui garis kaum antara Melayu, Cina dan India. Pengalaman sebagai anggota polis British  yang berinteraksi dengan rakyat pelbagai kaum  dialirkan secara kreatif dalam Tulang-Tulang Berserakan.

Itu  adalah satu daripada empat novel Melayu yang mengambil latar sosial zaman darurat yang penuh trauma. Tiga novel lain adalah Tugu karya Hassan Ali, Bukit Kepong (Ismail Johari) dan Panglima Salleh Selempang Merah (Zaharah Nawawi).

Sebelum menghasilkan Tulang-Tulang Berserakan, Usman Awang sudah banyak mengungkapkan kepahitan zaman darurat dalam beberapa cerpen yang dihasilkan sepanjang dekad 1950-an hingga 1960-an. Antaranya cerpen Kami Yang Terlibat (1961), Setelah Tahun 1948 (1957) dan Dari Johor Bahru Ke Kota Tinggi (1956).  Sementara puisi Tulang-Tulang Berserakan pula dihasilkan tahun 1962  dipercayai menjadi pencetus pada lahirnya novel Tulang-Tulang Berserakan.

Novel itu adalah jendela untuk menjenguk satu daripada babak pengalaman dan kehidupan sebenar pengarang pada zaman darurat,  serta persoalan  yang amat menganggunya tentang definisi perjuangan yang kabur, menyerah hidup pada keyakinan ideologi dan nilai kemanusiaan yang tidak digugat keadaan.

Usman Awang membawa kita meninjau dari dekat, menyusur dalam debar resah rakyat yang sentiasa terdedah pada perlakuan luar garis kemanusiaan. Perang sebenarnya amat bertentangan dengan jiwanya yang penuh insani.  Disebabkan hal itulah Usman Awang membawa kita menghidu hanyir darah, merasai gegar bom dan peluru yang membertih yang amat dibencinya.

Novel Tulang-Tulang Berserakan dan kumpulan puisi Ke Makam Bonda diterbitkan oleh Cempakasari.

Malah jerit tangis anak-anak kecil yang belum faham erti hidup apabila  rumah mereka tiba-tiba didatangi segerombolan manusia (polis hutan), memberkas kemudian membawa pergi ayah mereka dan hilang dalam kelam malam. Tidak tahu di mana dan kenapa diperlakukan sebegitu kejam.

Tulang-Tulang Berserakan membawa kita pada suatu zaman yang memberi laluan pada undang-undang darurat yang sangat kejam, dikuatkuasakan secara melulu dan merantai seluruh kehidupan rakyat yang sememangnya sudah amat  terdera.  Sesiapa sahaja boleh ditangkap, diseksa  malah dibunuh hanya kerana prasangka penjajah British.

Pihak yang dipaksa bertindak luar garis kemanusiaan itu adalah anak-anak muda Melayu yang mencari rezeki sebagai anggota polis – salah seorang daripada mereka adalah Usman Awang.  Allahyarham mewakilkan dirinya kepada watak Leman  dalam Tulang-Tulang Berserakan.  Leman amat kritikal pemikirannya dan tinggi pula rasa kemanusiaan biarpun kepada musuh yang berada dalam tawanan.

Dalam Tulang-Tulang Berserakan, kita seakan-akan melihat terus ke hati dan fikiran Usman Awang yang sedang berjuang dengan dirinya –  antara tugas yang memberikan gaji, dengan nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi pegangan sejak lama.

Kenapa Usman Awang berhenti daripada menjadi polis British dan memilih bidang penulisan dalam bidang kewartawanan sekaligus kesusasteraan?  Tulang-Tulang Berserakan ada jawapan pada persoalan demikian.

Pertama, kerana jiwanya amat bertentangan dengan perang. Allahyarham lebih meraikan kemanusiaan,  sedangkan British  pula menyemarakkan sifat-sifat penjajahnya yang ganas dan kejam.  Selebihnya Usman Awang amat percaya berjuang dengan kuasa pena sebagai wartawan dan sasterawan bukan sahaja boleh mengubah manusia, malah  sebuah dunia.

Usman Awang juga amat percaya bahawa keberadaan sasterawan melampaui tukang cerita yang sekadar menyalin sesuatu yang berlaku dalam masyarakat. Akan tetapi mencorakkan dan memerdekakan pemikiran, mencetuskan wacana serta menegaskan sudut pandangan terhadap sesuatu ideologi.

Hal itu tertampil dalam Tulang-Tulang Berserakan yang merupakan wacana balas pada makna perjuangan yang diselewengkan, dan dalam keadaan tanah air yang  kacau bilau dan rakyat ditindas oleh undang-undang penjajah. Banyak pihak berselindung di sebalik  kata ‘perjuangan demi tanah air’, sedangkan untuk kepentingan penjajah yang tidak ada kena mengena dengan rakyat dan negara.

Tulang-Tulang Berserakan mempertemukan dua perjuangan – antara gaji dan ideologi. Antara anggota polis British dengan gerila komunis. Anggota polis bertugas melindungi kepentingan penjajah seperti estet getah, lombong dan gudang-gudang getah daripada dibakar oleh gerila komunis kerana gaji. Komunis pula berjuang kerana yakin pada ideologi yang dianuti. Mereka tidak mendapat apa-apa  kecuali  keazaman mendirikan  sebuah ideologi yang diyakini sebagai benar.

Dalam banyak karya sasteranya seperti cerpen dan puisi,  Usman Awang  ternyata menggerakkan perjuangan untuk keamanan dan sentiasa menjunjung nilai-nilai kemanusiaan dalam semua keadaan.  Hal sedemikian sebenarnya selari dengan konsep  ‘seni untuk masyarakat’  yang menjadi dukungan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di mana Usman Awang adalah salah seorang daripada pengasasnya.

 ASAS 50 sebuah gerakan perjuangkan kemerdekaan melalui kesusasteraan. Ternyata, di mana sekalipun Usman Awang berada, kompas itu tidak pernah tergelincir daripada mengangkat dua perkara itu – perjuangan dan nilai-nilai kemanusiaan.

Perkara itu dilanjutkan dalam Tulang-Tulang Berserakan, di mana selain mengolah secara kreatif pengalaman sebenar zaman darurat, ia adalah satu bukti pendirian dan pegangan tentang makna perjuangan dan nilai-niai kemanusiaan.

Menerusi Tulang-Tulang Berserakan, Usman Awang mengingatkan, kedua-dua pihak sama ada dibayar atau berjuang demi ideologi yang diyakini tidak menjurus pada kepentingan bangsa dan negara. Di tengah-tengahnya ada pihak berkepentingan. Anggota polis dan gerila komunis tidak tahu agenda pihak yang berkepentingan terhadap perjuangan mereka.

Maka kita usah terkejut  dengan penolakan Usman Awang terhadap gelaran ‘bunga bangsa’ yang dirujuk kepada  anggota polis dan juga tentera  yang terkorban pada zaman British.  Sekalipun tergolong sebagai salah seorang anggota polis hutan zaman British, Usman Awang amat sedar dengan hakikat bahawa sebenarnya bukan berjuang untuk bangsa dan negara.

Begitu juga pasukan tentera yang dianggotai anak-anak Melayu menentang Jepun, mereka bekerja untuk kepentingan dan kelangsungan kuasa British, bukan untuk negara ini. Tentulah amat pelik, apabila menentang penjajah (Jepun) bekerja dengan penjajah (British)  tetapi apabila terkorban menjadi ‘bunga bangsa.’

Hal itu menunjukkan kefahaman dan kesedaran yang disuntik oleh pengarang untuk membezakan  makna bekerja untuk  penjajah dan berjuang demi bangsa dan negara. Penyelewengan maksud itu berlaku dengan sewenang-wenang disebabkan sikap sesetengah dalam kalangan rakyat yang terpengaruh dengan penjajah.

Nyata sekali  kenyataan Usman Awang tentang makna perjuangan adalah sesuatu yang keras, tajam dan tegas.  Tidak itu sahaja, malah pasti ada yang tergores dan terluka,  tetapi itulah hakikatnya.

Tulang-Tulang Berserakan bukanlah gula-gula yang manis tetapi membawa mudarat dan langsung tidak menyumbang pada kesihatan tubuh dan pemikiran.  Usman Awang memberikan sesuatu yang pahit untuk ditelaah, dengan maksud mengejutkan rakyat yang leka dengan nyanyian merdu  penjajah.

Karya itu adalah pencerahan yang dialirkan secara indah, lembut  dan penuh insani oleh seorang sasterawan yang berjuang untuk negara dan rakyat dengan caranya.  Sastera  yang ada di tangan adalah senjata untuk mencorakkan pemikiran rakyat ke arah yang dimahukannya. Hal yang demikian menjadikan Tulang-Tulang Berserakan terus bangkit sebagai sebuah roman perjuangan yang tidak pernah ditinggal zaman.

Khazanah pemikiran dan perjuangan Usman Awang

Cetakan baharu Tulang-Tulang Berserakan kini diterbitkan oleh Cempakasari imprint syarikat Putih Rona Dagang bersama-sama kumpulan puisi Ke Makam Bonda yang menghimpunkan 96 puisi Usman Awang.

Usman Awang  adalah sasterawan besar yang pernah kita miliki. Lama sebelum bergema slogan ‘Satu Malaysia,’  Usman Awang sudah lama mendukung gagasan kemanusiaan yang merentas kaum dalam puisi, cerpen malah dalam  novel.

Usman Awang tidak pernah ragu-ragu untuk bersuara demi memperjuangkan keadilan bagi semua kaum. Lihat sahaja cara Usman Awang mengapungkan citra persaudaraan rentas kaum  dalam puisi Anak Jiran Tionghua (1962) dan Pemuda dan Gadis Tionghua (1961).

Pendekatan Usman Awang menganyam hubungan kaum lebih berkesan berbanding cara sesetengah dalam kalangan orang politik kita menyeru pada perpaduan.  Di tangan Usman Awang,  puisi Anak Jiran Tionghua pantas membawa masyarakat memahami  maksud hidup bersama –  makan setalam dan sepermainan sepadang. Malah  amat menekankan bahawa anak-anak semua bangsa adalah anak kita – Melayu, Cina, India dan sekelian etnik yang lainnya.

Sebagai insan yang kaya sifat kemanusiaan, Usman Awang mencurahkan rasa cinta dan kemanusiaan itu melalui puisi-puisinya. Hal itu kerana rasa kemanusiaan  secara fitrahnya ada dalam setiap jiwa manusia dan penting dimajukan semula kepada generasi baharu. Membincangkan betapa pentingnya cinta dan jiwa manusiawi itu boleh mempengaruhi rentak pemikiran individu, masyarakat seterusnya para penguasa dalam sesebuah pemerintahan.

     Sebanyak 96 buah puisi terpilih dalam kumpulan puisi ini mewakili 96 tahun genapnya usia Usman Awang pada  2025. Penerbitan baharu Tulang-Tulang Berserakan dan Ke Makam Bonda adalah usaha menyuburkan ingatan generasi pada perjuangan murni Usman Awang.  (SeniMalaya 11 Disember 2024)

 

Nota:  Kedua-dua buku ini boleh didapati daripada penerbitnya, Rozais Al Anamy melalui Whatsapp 013-3544889.

      Artikel asal:  https://senimalaya.com/usman-awang-dan-perjuangan-kemanusiaan-yang-merentas-garis-kaum/

 

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *