Oleh Ku Seman Ku Hussain
PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sedang berlangsung di New York menyaksikan isyarat perubahan geopolitik yang luar biasa – lebih 80 peratus negara anggota mengiktiraf Palestin sebagai negara. Menurut laporan AFP, ketika ini sebanyak 151 negara menyatakan pendirian mengiktiraf Palestin.
Enam negara Kesatuan Eropah (EU) iaitu Perancis, Belgium, Luxembourg, Malta, Andorra dan Monaco mengumumkan pengiktirafan itu di PBB pada Isnin lalu. Sehari sebelum, United Kingdom (UK) dan Kanada menjadi negara G7 pertama mengiktiraf Palestin, diikuti Australia dan Portugal.
Negara-negara lain yang sudah lama mengiktiraf Palestin antaranya Rusia, semua negara Arab, hampir semua negara Afrika dan Amerika Latin, serta kebanyakan negara Asia termasuk China, kecuali Singapura, Korea Selatan dan Jepun.
Palestin diisytiharkan sebagai sebuah negara oleh Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat pada 15 November 1988. Algeria menjadi negara pertama mengiktiraf Palestin – beberapa minit selepas diisytiharkan oleh Yasser Arafat. Sama ada diiktiraf oleh negara lain atau tidak, , kedudukan Palestin sebagai sebuah negara mengikut undang-undang antarabangsa tidak berubah.
Sekalipun begitu pengiktirafan perlu dilihat daripada sudut geopolitik iaitu perubahan sokongan kepada Palestin. Perkara itu bertentangan dengan dasar Amerika yang menjadikan Israel sebagai proksi di Asia Barat dan tidak mengiktirafkan Palestin.

Sokongan berkenaan juga tidak sahaja daripada negara Islam atau dunia Arab. Sebahagian besar negara yang mengiktiraf Palestin adalah dari blok EU, Asia, Afrika dan Amerika Latin. Ternyata sokongan itu bukan disebabkan sentimen agama, tetapi menegakkan prinsip kemanusiaan dan keamanan sejagat.
Tabir kemanusiaan
Pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh tentera zionis Israel sejak 7 Oktober 2023 mendorong 19 negara lagi mengiktirafkan Palestin. Tabir kemanusiaan pemimpin-pemimpin negara itu dibuka dan melihat Palestin bukan isu Islam atau Arab tetapi kemanusiaan. Mereka dianugerahkan keberanian menyatakan pendirian demi kemanusiaan dan keamanan. Masa yang sama tidak terpengaruh dengan naratif streotaip Amerika bahawa Israel menyerang Palestin untuk melawan pengganas.
Dengan kemajuan teknologi komunikasi Amerika sukar untuk menutup kebenaran dan menggantikan dengan naratif yang memberikan kepentingan kepada Yahudi dan Israel. Dunia sudah terbuka dan media tidak dapat dikawal oleh Amerika seperti beberapa dekad lampau.
Pensyarah undang-undang Antarabangsa Universiti Aix-Marseille, Perancis, Romain Le Boeuf memberitahu, semua negara bebas memilih masa dan bentuk pengiktirafan dan tidak ada pendaftaran yang rasmi.
Walaupun begitu mengiktiraf Palestin bukan bermakna negara itu tidak pernah wujud atau baru diwujudkan. Pengiktirafan itu lebih bersifat simbolik yang menunjukkan tiga perempat negara anggota PBB mengakui Palestin memenuhi semua syarat menjadi sebuah negara.
“Pengiktirafan Palestin mempunyai kesan geopolitik yang besar. Ia meletakkan Palestin pada kedudukan sama rata dari segi undang-undang antarabangsa,” kata profesor undang-undang Franco-British, Philippe Sands dalam podcast New York Times pada Ogos lalu.
Sokongan besar terhadap status Palestin itu secara tidak langsung memberikan tamparan pada kuasa besar terutama Amerika yang selama ini dilihat penentu arah haluan PBB. Tetapi kali ini anggota PBB menyatakan pendirian luar kawalan Amerika yang menyokong dan melindungi keganasan Israel di Gaza.
Landskap geopolitik
Daripada perhimpunan agung PBB kali ini, ada beberapa perkara yang dilihat mampu mengubah landskap geopolitik dunia, terutama dalam isu pencerobohan Israel di Palestin. Keberadaan Israel adalah dengan restu PBB untuk menceroboh Palestin secara ‘undang-undang’ pada 1948.
Dalam konteks geopolitik, PBB adalah Amerika dan beberapa kuasa besar dunia yang mempunyai kuasa veto terhadap badan dunia itu. PBB sudah lama menjadi tunggangan Amerika dalam berdepan dengan musuh ekonomi dan politik. Tetapi perubahan pada perhimpunan agung kali ini menunjukkan Amerika semakin hilang pengaruh terhadap PBB.
Pertama, sokongan majoriti anggota PBB itu memberikan kesan langsung terhadap hubungan Amerika dengan sekutu-sekutu. Negara-negara Eropah misalnya, semakin bercanggah pandangan dalam isu menyokong Israel secara membuta tuli. Jika sebelum ini Eropah selalu seiring dengan Amerika, kini suara Eropah semakin lantang menyokong Palestin.

Buktinya beberapa negara anggota EU secara terbuka mengiktiraf Palestin, walaupun berdepan dengan tekanan diplomatik daripada Amerika. Keadaan ini menunjukkan retaknya hubungan yang berteraskan kepentingan geopolitik. Masa yang sama EU tidak mahu terus dilihat menentang arus nurani kemanusiaan yang sejagat.
Kedua, sokongan terhadap Palestin juga mengangkat kewibawaan PBB. Selama ini PBB dikatakan sebagai badan antarabangsa yang lumpuh kerana kuasa veto Majlis Keselamatan dipegang oleh lima negara kuasa besar. Apabila majoriti negara anggota memberikan sokongan kepada Palestin menunjukkan suara kolektif dunia lebih kuat daripada veto di PBB.
Sejak lama dulu PBB berdepan kesukaran untuk menafikan bahawa badan dunia itu bukan kuda tunggangan kuasa besar. Sebenarnya bukan mudah untuk ketepikan kuasa Veto Amerika, tetapi kali ini benar-benar mencerminkan bahawa PBB itu membawa suara dunia.
Ketiga, sokongan meluas pada Palestin juga berpotensi mengubah imbangan geopolitik global. Negara-negara Selatan Global (Asia, Afrika, Amerika Latin dan Oceania) bersatu suara menentang dominasi Amerika dalam isu Palestin.
Blok moral
Kesatuan suara dari negara- negara berkenaan membentuk blok moral dan politik yang berpengaruh dalam isu-isu lain, misalnya perubahan iklim, ekonomi, atau reformasi institusi antarabangsa. Sokongan pada Palestin menjadi simbol kesedaran baharu negara-negara membangun untuk menuntut keadilan dalam sistem dunia yang berat sebelah.
Keempat, fenomena ini meletakkan Amerika dalam dilema. Sekiranya Amerika mengambil pendekatan tanpa kompromi mempertahankan Israel imej sebagai juara ‘demokrasi’ dan ‘hak asasi’ pasti terus tercalar. Sudah lama Amerika melanggar prinsip demokrasi dan hak asasi, sekalipun terlalu kerap menyalak tentang dua perkara itu.
Bagaimanapun sekiranya mengambil sikap lebih seimbang, Amerika berdepan kehilangan kepercayaan daripada Israel dan kumpulan pelobi Yahudi yang sangat berpengaruh dalam politik domestik. Disebabkan kuasa pelobi Yahudi, siapa sahaja yang menjadi Presiden, dasar luar untuk kepentingan zionis tidak pernah diubah.
Menurut laporan Congressional Research Service, Amerika menyalurkan bantuan ketenteraan sebanyak AS$3.8 bilion setahun kepada Israel. Sejak 1946 hingga 2024 bantuan terkumpul Amerika kepada Israel adalah AS$298 bilion. Untuk apa Amerika mesti menyalurkan begitu banyak bantuan ketenteraan kepada sebuah negara haram Israel kalau tanpa pengaruh pelobi Yahudi.

Hal yang sebenarnya bukanlah pengaruh Israel, tetapi pelobi-pelobi Yahudi yang menyokong zionis. Pemilihan Presiden Amerika adalah proses menentukan siapa yang layak diperkudakan untuk kepentingan Yahudi. Yahudi tidak perlu menjadi Presiden untuk memegang tampuk kekuasaan dunia. Cukuplah memastikan kuncu-kuncu terus menjaga kepentingan dan memelihara kuasa ekonomi yang dipegangnya.
Ideologi zionisme
Memang benar tidak semua Yahudi jahat seperti Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Tetapi jangan lupa bahawa 69 peratus Yahudi menganut ideologi zionisme. Netanyahu juga tidak lebih kuda tungangan Yahudi. Majoriti Yahudi adalah zionis dan 4.26 peratus zionis berada di luar Israel terutama di Amerika. Inilah yang menguasai dunia apabila mereka memegang tampuk kuasa konglomerat terkemuka di Amerika.
Sokongan kepada Palestin memberi mesej yang jelas bahawa politik dunia sedang mengalami perubahan. Kuasa besar mungkin masih memiliki senjata, veto dan pengaruh ekonomi, tetapi kekuatan moral semakin beralih kepada pihak lain. Palestin menjadi bukti suara majoriti dunia boleh menggugat keselesaan kuasa besar yang terlalu lama pada kedudukan yang dominan.
Keadaan ini bukan sekadar isu dunia Arab atau Asia Barat, tetapi ujian besar terhadap gagasan masa depan dunia yang lebih adil. Palestin setidak-tidaknya menjadi titik perubahan sejarah bahawa kuasa besar bukan lagi penentu tunggal hala tuju dunia.
Apa yang berlaku di PBB adalah mencerminkan wajah dan keazaman sebenar dunia hari ini – masih memiliki hati nurani dalam permainan kuasa. Palestin bukan lagi sekadar sebuah negara tetapi menjadi titik keazaman dunia yang berpihak pada keadilan, kebenaran dan kemanusiaan.
Sokongan majoriti anggota PBB terhadap Palestin membuktikan kesedaran kolektif bahawa penderitaan rakyat yang dizalimi bukan perkara remeh. Sokongan yang datang dari pelbagai bangsa, agama dan benua itu adalah penyataan bahawa rasa kemanusiaan adalah bahasa bersama.
Palestin sedang mengajar dunia tentang erti kesabaran, ketabahan, dan keberanian menentang penindasan. Dengan sokongan yang kian meluas, dunia berusaha membuktikan bahawa nilai kemanusiaan tidak pernah mati. Nilai inilah yang sepatutnya didirikan dan menjadi tiang seri PBB. – KAYANG POST
[…] Palestin ubah landskap geopolitik, 80 peratus anggota PBB iktiraf status negara […]