Pada 2003 Pengarang Rencana Utusan Malaysia, Zin Mahmud menyiarkan rencana saya yang seolah-olah mempersoalkan kenapa melarang Setiausaha Agung PKM, Chin Peng pulang ke negara ini, sedangkan pada masa sama kita membenarkan memoir Chin Peng, My Side of History dijual secara meluas.

Tulisan itu “kurang disenangi” oleh beberapa pihak terutama UMNO. Zin terpaksa menanggung kesan daripada penyiaran rencana saya. Beliau dipersalahkan kerana menyiarkan rencana yang bertentangan dengan dasar UMNO yang menentang PKM dan komunisme, selagi ada bulan dan matahari.

Dalam tulisan itu saya berhujah, Chin Peng jauh lebih kecil pengaruhnya berbanding buku yang ditulis daripada sudut pandangan, prejudis dan ideologi komunisme yang dianutinya. Buku itu boleh mempengauhi pembaca supaya tertipu dengan “sejarah benar” dari sudut pandangan Chin Peng.

Saya pinjam buku itu daripada seorang teman dan mendapati sebahagian besar sejarah yang dimaksudkan Chin Peng adalah revision mengikut kepentingannya. My Side of History adalah memoir membela diri Chin Peng. Sepatutnya dari awal lagi buku itu dilarang masuk ke negara ini bukannya mengambil langkah reaktif selepas timbul kontroversi.

Dalam rencana itu saya menegaskan, sekiranya Chin Peng dibenarkan pulang sekalipun dia tentu tidak dibenarkan berceramah atau bercakap dengan wartawan. Dia tidak boleh bersuara sama eperti beberapa bekas pemimpin PKM lain yang dibenarkan pulang, antaranya Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad.

Tetapi buku Chin Peng yang dijual di kedai-kedai ketika itu terus bersuara bagi pihaknya. Buku itu terus mempertahankan PKM dan komunisme kerana mengikut Chin Peng, dia tidak bersalah. Walaupun fakta menunjukkan PKM membunuh beribu orang awam selain anggota pasukan keselamatan, Chin Peng menafikan.

Hal ini tidak menghairankan kerana pemimpin komunis Pol Pot yang membunuh berjuta-juta rakyat Kemboja juga tidak mengaku bertanggungjawab di atas jenayah yang dilakukan. Banyak orang lain juga tidak mengaku mereka melakukan yang buruk kepada rakyat. Mereka terus menafikan, kalau bukan dengan memoir, melalui pelobi-pelobi yang diupah untuk menafikan kerja-kerja jahatnya.

Saya percaya penyiaran rencana itu tidak kena pada masanya. Kalau disiarkan sekarang, rencana itu tidak mencetuskan apa-apa reaksi atau kontroversi kerana sekali air pasang, sekali pantai berubah. Saya sangat percaya rencana itu tidak ada apa-apa yang sensitif kalau ditangguhkan hingga ke hari ini.

Bagaimanapun fakta sejarah bahawa PKM dilahirkan oleh Parti Komunis China untuk menguasai Nusantara terutama Malaya dan Indonesia tidak akan terpadam. Malah perkembangan terkini Parti Komunis China yang menindas dan menzalimi rakyat di wilayah Islam negara itu juga satu fakta yang membuktikan, itulah komunis.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor juga banyak menulis dalam Mingguan Malaysia tentang kekejaman, kejahatan dan putar belit PKM dan Parti Komunis China pada zaman pasca Perang Dunia Kedua dulu. Membaca tulisan beliau dapat memberikan gambaran sebenar tentang apa itu komunis, komunisme dan pengganas komunis.

Walaupun negara-negara blok komunis di Eropah Timur runtuh satu demi satu pada 1989 termasuk yang paling berpengaruh, Kesatuan Soviet kemudian muncul banyak negara yang merdeka yang dulunya dibawah Soviet, komunisme tidak pernah mati. Runtuhnya Tembok Berlin pada 1989 hanya simbolik runtuhnya komunisme.  China tetap teguh sebagai negara berideologi komunis.

Benarlah juga seperti kata orang bijak pandai, masa boleh mengubah segalanya. Kalau zaman darurat dulu PKM membunuh saudara-saudara kita yang tidak menyokong perjuangan mereka, kini kita terhutang budi dengan komunis juga iaitu Parti Komunis China.

Orang berbudi kita berbahasa, selebihnya duduk diam-diam saja.

Please follow and like us:

Author / Editor

3 thoughts on “Komunis: dulu lain sekarang lain”
  1. Perjuangan juga patriotism adalah subjektif berdasarkan perspektif sosial, politik, ekonomi, revolusi dan militari. Kesemua faktor-faktor ini akan secara relatif berubah mengikut keperluan semasa. Sewaktu zaman sebelum merdeka, komunisme adalah satu wadah menentang colonialnisme. Banyak pihak menggunakan “niat menghalalkan cara” dalam tindakan yang dianggap selari dengan prinsip perjuangan.
    Akan tetapi, dunia globalisasi telah merubah umat manusia menjadi tidak berprinsip@menjadi kapitalis. Cash is King! Buang ke laut semua prinsip walaupun mulut mengaku beriman kepada yang Esa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *