Belum reda isu pesta arak besar-besaran yang dijadualkan Oktober depan, kini menyusul pula rancangan menganjurkan pesta gay yang akan diadakan di atas bumbung sebuah bangunan di Kuala Lumpur pada 30 September ini.

Bagaimanapun alasan melarang kedua-dua acara itu lebih menjurus pada aspek keselamatan, yakni bimbang menjadi sasaran militan bukannya acara itu membawa kerosakan sosial kepada masyarakat. Kenapa pihak berkuasa begitu apologetik untuk menegaskan acara ini bertentangan dengan Islam serta memberikan kesan sosial yang buruk termasuk kepada bukan Islam.

Paranoid apakah yang melanda pihak berkuasa kita hingga berdolak dalik memberikan alasan? Adakah ini bermakna kalau keselamatan terjamin (tidak menjadi sasaran militan) pesta gay dan pesta arak boleh diadakan di Kuala Lumpur?

Apakah ertinya Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteka ini? Ini satu isyarat yang mengelirukan kepada rakyat bahawa pesta arak dan gay tidak memudaratkan sosial tetapi mengancam keselamatan.

Di Barat pun negara yang menentang pesta gay tidak pernah menggunakan alasan keselamatan. Mereka bertegas menggunakan alasan kerosakan sosial kepada masyarakat. Pesta-pesta yang sekular sifatnya pernah diadakan di Kuala Lumpur tetapi tidak pula dilarang kerana bimbang menjadi sasaran militan.

Kita wajar faham bahawa pesta arak bukan isu minum arak. Juga bukan isu orang bukan Islam boleh minum arak dan orang Islam tidak boleh berbuat demikian. Ini isu percubaan liberalis dan sekularis untuk mengubah tatacara hidup supaya selari dengan pegangan mereka.

Mereka tahu bahawa minum arak dalam kalangan bukan Islam bukan isu. Sebab itu mereka melancarkan provokasi mengadakan   pesta arak yang secara tersuratnya untuk bukan Islam. Tetapi yang tersiratnya untuk menyuburkan satu gaya hidup di atas lesen hak peribadi seseorang.

Tetapi hak peribadi sudah jelas, orang bukan Islam tidak dilarang meminum arak. Menganjurkan pesta arak bukan hak peribadi tetapi menjadi hak masyarakat. Apabila masyarakat menolak mereka kenalah terima yang gaya hidup itu membawa keburukan.

Advertisement

Ini adalah modus operandi sekularis dan liberalis   untuk menembusi sekatan pihak berkuasa terhadap idealisme mereka. Serangan mereka berkesinambungan. Selepas satu muncul satu lagi. Memang kelihatan kecil dan remeh tetapi inilah cara mendapatkan ruang dalam masyarakat yang leka. Sebelum ini dianjurkan acara memegang anjing dan turut disertai oleh orang Islam.

Kenapa mereka tidak mempromosikan kempen membela anjing? Sebabnya Islam tidak melarang orang Islam membela anjing untuk tujuan tertentu misalnya menjaga kebun atau memburu di hutan. Tidak ada keperluan untuk orang Islam memegang anjing dalam keadaan aman. Maka diadakan acara memegang anjing.

Inilah yang menguji ketegasan penguasa kita untuk menguruskan pemikiran songsang dalam kalangan sekularis dan liberalis yang sentiasa mencari peluang untuk meluaskan pengaruh dan membentuk satu gaya hidup di negara ini.

Semua orang tahu malah sangat faham bahawa tidak ada baiknya menjadi peminum arak atau gay. Tetapi ada pihak yang memperjuangkan supaya pesta minum arak dan pesta gay dibenarkan oleh kerajaan. Suara yang mendesak supaya diberi kelulusan ini bukan sahaja datang daripada bukan Islam malah orang Islam sendiri.

Kalau pesta arak dan gay ini diberi kelulusan, di atas dasar atau alasan apa sekalipun, percubaan seterusnya akan menyusul. Cukuplah mengambil sikap apologetik dan mengalih isu kepada soal keselamatan. Kalau selamat sekalipun sebenarnya masih tidak selamat daripada keruntuhan dan kerosakan jiwa yang berlaku lanjutan acara-acara begini.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

2 thoughts on “Kenapa apologetik melarang pesta gay dan arak?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *