Sebenarnya kitab ini lebih kepada sejarah di negeri-negeri persisir Lautan Hindi yang disebut Hind. Cuma gaya penulisan dan formatnya seperti hikayat walaupun ada fakta tentang tahun pada setiap cerita. Untuk mengatakan kitab ini sebuah hikayat dongeng, tentulah tidak tepat sekalipun banyak cerita dalam kitab ini dianggap mitos dalam konteks semasa.

Nota kaki yang lengkap pada hampir setiap halaman banyak membantu pembaca memahami banyak istilah Arab serta nama-nama negeri pada zaman itu serta kemungkinannya pada hari ini. Juga dikekalkan aksara Arab untuk mengelakkan salah tafsir pada istilah tertentu.

Difahamkan   Leiden merupakan pencetak terawal kitab ini dalam tahun 1886 dengan memuatkan versi bahasa Arab. Kemudian diulang cetak di Tehran, Iran pada 1966 dan diterjemahkan dalam bahasa Perancis. Naskhah cetakan di Tehran ini juga memuatkan beberapa ilustrasi yang dipercayai sebagai yang asal dari versi Leiden.

Versi bahasa Melayu ini adalah yang pertama. Cetakan pertama pada 2016, kemudian tiga cetakan dalam tahun 2017 kerana permintaan daripada pengkaji-pengkaji sangat menggalakan. Kitab yang tebalnya 234 halaman ini dipersembahkan dengan begitu menarik serta menggunakan kertas yang berkualiti dan ringan.

Membaca kitab ini adalah mengundurkan masa ke tahun 400 Hijrah di mana negeri-negeri di persisir Lautan Hindi sebahagian besarnya sudah menerima penyebaran Islam. Dalam konteks orang Melayu di gugusan kepulauan Melayu, ini satu rakaman kegemilangan silam di mana beberapa cerita dalam kitab ini menyentuh tentang alam Melayu khususnya di kepulauan Indonesia.

Dengan menggunakan nama-nama silam, agak sukar untuk kita mengenal nama tempat yang diceritakan. Nama-nama yang kita kenal hari ini adalah nama baru selepas penjajah melakukan pecah dan perintah di gugusan kepulauan Melayu. Melayu dalam konteks ini juga bukanlah Melayu di negara ini tetapi Melayu di gugusan kepulauan Melayu yang sangat luas itu.

Advertisement

Banyak disebutkan dalam kitab ini juga kemahiran pelayar atau pedagang zaman dulu menggunakan pembacaan alam untuk memandu mereka di lautan lepas. Kehebatan dan kecekalan merentasi   Lautan Hindi membawa barang dagangan ke pulauan Melayu memang sangat luar biasa. Yang mencatatkan cerita dalam kitab ini adalah yang terselamat,   banyak yang mati tidak bernisan di dasar laut sejak wujudnya laluan gadang dari China dan Timur Tengah ke kepulauan Melayu di sebelah sini.

Banyak diceritakan tentang kewujudan burung sebesar lembu yang ditemui di persisir Lautan Hindi. Untuk menggambar besarnya burung itu, pengarang menggambarkan ada bekas air yang dibuat daripada pangkal pelepah bulunya. Dalam hikayat Melayu ada disebut burung geroda.

Selain burung besar,   dicatatkan juga kewujudan ular besar yang menelan gajah, tulang kepala ikan besar yang membolehkan manusia berjalan masuk ke mulut ikan tanpa menundukkan kepala.   Begtu juga ikan besar yang dari jauh disangka pulau, rupanya ikan yang sedang berehat di muka laut.

Pelukisan tentang ikan besar itu yang menyembur air melalui belakangnya dan saiznya hampir sama dengan kapal tentulah ikan paus yang masih wujud hingga kini.

Kitab ini memberikan kita satu pengalaman rohani yang hebat untuk menoleh ke zaman lampau sekalipun pengarang tidak mengatakan kitab ini sebuah buku sejarah. Catatan demi catatan dengan disebutkan nama perawi memperlihatkan kewujudan sebenar subjek cerita walaupun mungkin mengalami perubahan sebelum dikumpul dan dicetak.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *