Rencana ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya edisi November 2017. Terima kasih Editor Dewan Budaya Armin Azhari Salleh.
Satu babak daripada teater Sandera arahan A. Wahab Hamzah
Dikira dari pementasan sulung, Tamu Di Bukit Kenny arahan Baha Zain pada 1967, tahun ini Badan Budaya sudah mencapai usia 50 tahun. Sudah 50 tahun jugalah kekecewaan Sasterawan Negara Usman Awang terhadap pupusnya minat khalayak terhadap bangsawan apabila munculnya televisyen pada 1963. Badan Budaya DBP dizahirkan sebagai benteng supaya seni teater tidak turut menjadi mangsa dipinggirkan khalayak dengan adanya media baru yang lebih mempesona sifatnya.
Melalui badan budaya ini Usman Awang mahu DBP juga turut memikul tanggungjawab menyemarakkan seni dan kegiatan seni teater. Hal ini dikatakan demikian kerana seni berteater dan bidang kesusasteraan saling berkait antara satu dengan lain. Antara kedua-duanya saling memerlukan. Hal ini terbukti apabila teater yang dipentaskan oleh Badan Budaya DBP tidak terpisah dengan akar kesusasteraan dan persuratan Melayu.
“Sebenarnya kesungguhan untuk menubuhkan sebuah kumpulan drama di DBP timbul atas kekecewaan saya melihat seni bangsawan tiba-tiba dilupakan orang dengan bermulanya siaran TV pada tahun 60-an.” Demikian tulis Usman Awang pada buku cenderamata teater Sungai Mengalir Lesu pada September 1997. Teater arahan A. Wahab Hamzah ini dipentaskan oleh Badan Budaya DBP di Auditorium DBKL, adaptasi dari novel karya Sasterawan Negara A. Samad Said.
Johan Jaaffar dan Zakaria Ariffin (kanan)
Kumpulan drama yang dimaksudkan oleh Usman Awang dalam buku cenderamata itu adalah Badan Budaya DBP yang pada awalnya dikenali sebagai Keluarga Seni DBP. Inilah satu-satunya badan teater yang memberikan corak tersendiri kepada teater di negara ini. Bukan sahaja kelangsungan dapat dipertahankan malah idealisme seniman juga terus menyala pada detik pertama dengan Tamu Di Bukit Kenny hingga yang terakhir setakat ini , Sandera pada 2014 yang diarahkan oleh A. Wahab Hamzah.
Usman Awang berpeluang menyaksikan iltizam A. Wahab Hamzah untuk menempatkan jenama Badan Budaya DBP pada kelas tersendiri menerusi Sungai Mengalir Lesu. Oleh hal yang demikian , selain menyingkap resah dan curiga zaman perang, pengarah juga menyelitkan nilai tambah teknikal membuatkan kerusi di Auditorium DBKL bergegar semasa babak bom meletup di Singapura.
Usman Awang sempat melihat kecemerlangan Badan Budaya pada 30 tahun berikutnya dengan Sungai Mengalir Lesu. Pada masa yang sama tentunya beliau tidak menyangka sama sekali cetusannya yang mendapat sokongan padu Ketua Pengarah DBP ketika itu, Tun Syed Nasir Ismail, Badan Budaya DBP muncul sebagai tanda aras teater di negara ini.
Zaman kegemilangan Badan Budaya DBP sudah tentu pada dekad 1970-an hingga menyeberang alaf baru tahun 2000. Ini adalah zaman emas badan budaya yang bernaung dan mendapat dokongan yang cukup memberangsangkan daripada birokrat bahasa dan persuratan itu. Tun Syed Nasir, Hassan Ahmad, Haji Jumaat, A. Aziz Deraman dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kelangsungan badan budaya ini dalam agenda sastera serta budaya.
Sutung Umar RS dan Sabri Yunus (kanan)
Pada dekad gemilang itu DBP dinahkhodai oleh ketua yang bukan sahaja seorang birokrat malah mempunyai rasa dan pemikiran seni yang tinggi. Mereka inilah yang menjadi pemangkin kepada lonjakan Badan Budaya DBP menghasilkan teater-teater hebat. Pada masa sama banyak dalam kalangan warga DBP bukan sekadar “kakitangan kerajaan” malah sekaligus bertindak sebagai seniman yang turut berada di gelanggang seni.
Tentunya tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa pencapaian Badan Budaya DBP tidak tertanding oleh mana-mana pertubuhan atau badan teater khususnya di Kuala Lumpur pada dekad 1980-an dan 2000. Kegiatan berteater ini digerakkan oleh warga DBP daripada semua bidang dan lapisan. Mereka mengemudi hal-hal teknikal, pengurusan, artistik hinggalah secara tidak langsung membina hala tuju teater Malaysia pada umumnya. Dari dekad ke dekad, dari generasi kepada generasi, jenama Badan Budaya DBP selalu tampil dengan pementasan-pementasan yang bukan sahaja besar tetapi terserlah idealismenya.
Pada dekad emas itu, di DBPlah lubuk pemain teater, kalau pun bukan terhebat tetapi antara yang hebat di negara ini. DBP mempunyai pengarah-pengarah teater tersohor. DBP juga mempunyai pelakon yang seterusnya menjadi penggerak dunia lakon di negara ini. Sebahagian besar mereka yang dulunya bergerak bersama-sama Badan Budaya DBP kini teranjak ke tahap selebriti.
Sebahagian besar teater terhebat negara ini dihasilkan oleh Badan Budaya DBP. Sebahagian besar daripada karya yang menjadi mercu tanda teater Malaysia dahulu dan kini juga daripada badan budaya ini. Sebutkan saja apa judulnya – Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Salina, Pentas Opera, Zaman Gerhana, Pelayaran Inderaputra, Sungai Mengalir Lesu, Sandera, Imam, Tamu Di Bukit Kenny, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris, Rumah Kedai Jalan Seladang, Penghuni Paya (adaptasi novel Wole Soyinka Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1986), Pegawai Khalwat, Intan Yang Tercanai dan banyak lagi, itu adalah hasil Badan Budaya DBP.
Tidak sahaja mementaskan teater tetapi secara tidak langsung Badan Budaya DBP membina jambatan antara karya persuratan dengan karya seni pementasan. Banyak teater diadaptasi dari novel atau cerpen, dalam dan luar negara. Tentulah yang paling diingati dan sangat ketara diperkatakan adaptasi yang dilakukan oleh Johan Jaaffar terhadap karya sastera Sasterawan Negara Anwar Ridhuan (Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman), A. Samad Said (Salina), A. Samad Ismail (Rumah Kedai Jalan Seladang).
Sebelum menyertai DBP tahun 1977, Johan Jaaffar adalah nama besar dalam kelompok generasi muda yang mempelopori teater-teater absurd. Beliau menggilap nama dengan beberapa naskhah sendiri antaranya Angin Kering, Kotaku Oh Kotaku, Sang Puteri. Masuknya Johan Jaafar dalam kelompok seniman di DBP, ibarat benih yang baik jatuh di tanah yang subur. Beliau turut membina reputasi Badan Budaya DBP dengan teater-teater adaptasi yang cemerlang sepanjang zaman.
Zakaria Ariffin mengadaptasi karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein (Imam), Othman Haji Zainuddin membawa karya A. Samad Ismail, Patah Sayap Terbang Jua dan Zaman Gerhana karya A. Samad Ahmad, A. Wahab Hamzah dengan Sungai Mengalir Lesu (karya A. Samad Said), Al Amin (A. Samad Said) dan Sandera (Sasterawan Negara Arenawati). Patah Sayap Terbang Jua adalah satu-satunya novel A. Samad Ismail yang menyingkap perjuangan kewartawanannya zaman penjajahan Jepun di Malaya.
Apabila memperkatakan tentang teater Malaysia sepanjang zaman, teater-teater inilah juga yang diungkapkan. Tanpa menyebut karya-karya yang pernah dipentaskan oleh Badan Budaya DBP, tidak lengkaplah kenyataan tentang teater di negara ini. Demikianlah untuk menggambarkan tinggi dan berpengaruhnya sebuah badan budaya yang mendapat sokongan birokrat bahasa dan sastera itu.
Saya menonton semua teater yang dipentaskan Badan Budaya DBP sejak 1984 hingga kini. Tidak ada satupun yang terlepas hinggalah yang terakhir setakat ini, Sandera pada , 2014 . Saya juga mengikuti perjalanan kerjaya pelakon-pelakon yang dulunya rebung dalam teater, mereka mengalami proses pematangan hingga menjadi buluh yang tegap lagi teguh. Saya melihat sendiri zaman awal pengarah tersohor Sabri Yunus, Imuda, Abon (Shahrizan Ahmad) dan banyak lagi ketika mereka “bukan siapa-siapa”.
Walaupun tidak pernah terlibat dalam produksi teater DBP tetapi saya mengikuti dari dekat semua kegiatan Badan Budaya. Saya melihat bagaimana dekad kegemilangan teater di Kuala Lumpur sebahagian besar disumbangkan oleh badan budaya ini. Bahkan selepas berdirinya Istana Budaya sekalipun, pada pengamatan saya belum ada yang dapat menandingi teater-teater Badan Budaya DBP. Memang belum ada.
Berbanding teater Istana Budaya, secara relatifnya teater Badan Budaya DBP adalah miskin. Binaan set hanya ala kadar, pekerja kreatifnya tidak berbayar, pelakon yang diundang dari luar DBP ada sedikit sagu hati. Yang lainnya sekadar dihidang air serbat dan nasi bungkus. Dicatu pula oleh pengurus produksi, Fadzil Agussalim yang sangat tegas. Tidak ada lebih atau kurang.
Fadzil Agussalim adalah orang paling lama dalam Badan Budaya DBP. Dia komited dengan tugasnya di bidang pengurusan produksi, berpengalaman bekerja dengan semua pengarah yang mengarah untuk Badan Budaya DBP. Dia kenal dan faham kerenah mereka. Dia bersara pada 1997 dan Sungai Mengalir Lesu adalah kerja terakhirnya.
Tokoh-tokoh yang dilahirkan oleh Badan Budaya DBP seperti Johan Jaaffar, Dinsman, Zakaria Ariffin, Wahab Hamzah, Ismail Dahaman, Othman Haji Zainuddin, Noor Azam, Anwar Ridhuan, Sutung Umar RS, Imuda, Sabri Yunus, Bokhari Ibrahim, Badrul Hisham, Ghafar Abdullah, Ghani Abdullah, Abon dan banyak lagi adalah nama wajib dalam direktori teater Malaysia.
Yang perlu juga disebut ialah bahawa Badan Budaya DBP menjadi cara DBP memartabatkan seni teater selain tumpuan kepada bidang persuratan dan kesusasteraan. Inilah formula DBP yang diperkenalkan oleh bekas Ketua Pengarah DBP, Tun Syed Nasir Ismail. Beliau mempunyai keupayaan untuk melihat bakat luar biasa anak-anak buahnya di DBP dalam seni dan budaya.
Lima dekad dulu, Usman Awang pasti tidak terfikir kumpulan yang dinamakan Keluarga Seni DBP itu mampu mementaskan naskhah tulisannya, Matinya Seorang Pahlawan di London sempena Minggu Sastera Malaysia di sana. Di bawah arahan Zakaria Ariffin, semua itu terzahir dengan cemerlang. Selepas Tamu Di Bukit Kenny satu demi satu teater tampil dengan jenama “Badan Budaya DBP”, terlalu panjang senarai untuk disebutkan di sini. Yang terakhir ialah Sandera pada 2014.
Bayangkan kalau tanpa kekecewaan Usman Awang dan tanpa restu Tun Syed Nasir, pastinya seni pementasan akan terus tertinggal jauh ke belakang, setidak-tidak pada dekad kegemilangannya. Dengan berdirinya Badan Budaya DBP, teater yang membawa unsur bangsawan juga dapat dipentaskan dengan skala produksi yang besar antaranya Titah Tuanku, Siti Zubaidah, Pelayaran Inderaputra dan Zaman Gerhana ditulis dan diarahkan oleh Othman Haji Zainuddin.
Apakah yang membuatkan badan budaya ini terus konsisten dan memberi sumbangan besar kepada dunia teater tanah air? Memanglah sebagai badan budaya yang bernaung bawah agensi kerajaan, mereka mempunyai beberapa kemudahan dan ada peruntukan.
Yang perlu diingat ialah bahawa kemudahan prasarana dan kewangan sahaja bukan menjamin satu kesinambungan kegemilangan seperti dicatatkan oleh Badan Budaya DBP. Yang jelas ialah kejayaan Badan Budaya DBP berpunca daripada iltizam yang tinggi untuk mengangkat sastera dan budaya menerusi teater. Oleh hal yang demikian DBP sekarang perlu membuat sesuatu supaya kegiatan Badan Budaya DBP berterusan.