Saya tertarik dengan tulisan penyair Pyanhabib dalam Malaysian Insight bertajuk Perihal budayawan hendak mengadap Sultan.   Pyanhabib memberikan latar pengalamannya tentang ketegaran aktivis budaya di Kuala Lumpur berdepan dengan halangan demi halangan tanpa bertindak secara politik hingga ke tahap mengadap Sultan.

Aktivis seni dan budaya Kuala Lumpur tahun 1980-an pernah  “kehilangan” Pusat Seni di Jalan Bandar (sebelah ibu pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur) dan Rumah Anak Alam di Padang Merbuk. Tetapi  tidak pernah menyeret orang politik untuk memperjuangkan nasib mereka.

Pyanhabib

Tulis Pyanhabib, “Sebagai budayawan yang tahu budaya, kamu sepatutnya berlawan guna otak budaya kamu akan mereka yang kamu lihat meminggirkan kamu dan bukan berlawan guna kuasa politik hingga membabitkan Sultan. Tak cool langsung.”

Ketika saya mula-mula berkelana di Kuala Lumpur tahun 1984, Pusat Seni menjadi pusat pertemuan dalam kalangan aktivis dan tempat mengadakan latihan dan pementasan teater. Tokoh-tokoh besar seperti Allahyarham Mustaffa Noor, Johan Jaaffar, Khalid Salleh, Kamarul AR dan banyak lagi pernah berlakon di situ.

Bangunan Pusat Seni diambil semula oleh kerajaan untuk dijadikan pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Memang benar seperti kata Pyanhabib, aktivis teater tidak menggunakan atau membiarkan orang politik memperggunakan isu itu untuk kepentingan politik mereka.

Saya dan rakan-rakan kehilangan tempat berlatih dan bertemu dengan rakan-rakan. Kemudian kami beralih ke Central Market (Pasar Budaya) yang baru dibuka sebagai pusat menjual produk seni dan budaya. Kemi berkumpul dan mengadakan latihan di atas bumbung Central Market.

Aktivis budaya juga kehilangan Rumah Anak Alam pada tahun 1988 yang kemudiannya diroboh dan dibangunkan  sebahagian bangunan kampus induk ASWARA sekarang ini. Kehilangan itu juga tidak dijadikan isu politik kerana aktivis Anak Alam tidak mahu berpolitik. Kegiatan teater dan budaya di Kuala Lumpur terus hidup sehinggalah dilanda fenomena teater muzikal yang dipelopori Istana Budaya.

Tentunya sangat malang apabila sekumpulan budayawan dan seniman di Selangor membiarkan mereka dipergunakan oleh orang politik untuk tujuan politik. Tentu mereka nampak matlamat politik itu dan sepatutnya tidak membiarkan. Kecekalan budaya rapuh dengan rempuhan janji-janji orang politik.

Advertisement

Penyusupan orang politik dalam kalangan budayawan Selangor bukan pemangkin budaya yang sihat. Yang lebih terpancar adalah budaya kurang elok yang membaluti politik. Sewajarnya sebagai penggiat seni dan budaya, mereka harus berjuang dengan cara tersendiri. Kalau berminat dengan cita-cita politik, tinggalkan bidang budaya dan sertailah politik sepenuhnya.

Dalam kalangan budayawan atau seniman, mereka harus berhati-hati dengan huluran pertolongan yang berbau politik. Masakan tidak faham atau tidak peka dengan keadaan sekarang, semakin hampir pilihan raya, seboleh-bolehnya semua hendak dipergunakan.

Masakan diminta keluar dari premis yang sebelum ini menjadi pusat kegiatan budayawan Selangor telah hilang punca hingga sanggup menyekutukan diri dengan orang politik? Ambillah teladan bagaimana aktivis teater dan budaya di Kuala Lumpur matang berhadapan dengan halangan tanpa menagih bantuan yang bersifat politik.

Kita amat sangsi dengan keikhlasan orang politik mahu menyelesaikan masalah budayawan Selangor. Kenapa tiba-tiba mereka menjadi sangat prihatin dengan budaya dan budayawan? Biarlah ada sedikit kesangsian sebelum terperangkap dan diperalatkan. Semua ini boleh mendatangkan kerosakkan yang lebih besar apabila elemen-elemen politik bertunjang dalam kelompok budayawan. Dengan sendirinya ini akan mengheret aktivis budaya tidak mampu merentas perbezaan politik.

Malah kehadiran orang politik dalam kelompok budayawan Selangor telah memecah budayawan kepada dua kelompok. Satu kelompok budayawan terus dengan kegiatan budaya dan sastera. Sementara satu kelompok lagi berteriak dan mengeluh kononnya ditindas.

Kalau hendak berpolitik masuklah politik, jangan membawa politik masuk ke dalam kelompok budayawan. Berpolitik bukan satu kesalahan, sama juga sebagai aktivis budaya. Cuma yang tidak berapa kena dan nampak janggal apabila politik dibawa masuk ke dalam kelompok budayawan. Diajar bercakap dan bertindak macam orang politik.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

2 thoughts on “Reaksi tulisan Pyanhabib”
  1. Perangai mementingkan diri sendiri, sifat sombong mahu menebar jala pengaruh dan harapkan dedang ‘memanjaaang’ itulah nafsu orang politik. Kepuasan hati mereka ialah apabila perintah nafsu mereka diikuti orang banya….peduli hapa pada marhein dan keperluan budaya bangsa.

  2. Perangai mementingkan diri sendiri, sifat sombong mahu menebar jala pengaruh dan harapkan DEDAK ‘memanjaaang’ itulah nafsu orang politik. Kepuasan hati mereka ialah apabila perintah nafsu mereka diikuti orang banya….peduli hapa pada marhein dan keperluan budaya bangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *