Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Gambar ihsan JKKN

Apakah ini satu evolusi? Demikianlah persoalan yang bermain di fikiran saya sebaik sahaja selesai menonton teater tradisi mek mulung di Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC Jumaat lalu. Mek mulung adalah satu-satunya teater tradisi yang paling kurang ditonjolkan kepada khalayak.

Berbanding kesenian tradisi lain seperti makyung, main petri, kuda kepang atau wayang kulit, mek mulung kini hanya wujud di sebuah kampung di Kedah iaitu di Kampung Wang Tepus di Jitra. Mek Mulung hampir pupus dan sekiranya ini berlaku, ia satu kehilangan kepada negara ini dalam konteks kesenian tradisinya.

Bagaimanapun mek mulung bernasib baik kerana beberapa institusi dan agensi seperti Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan beberapa pihak lain berusaha mengangkat mek mulung kepada khalayak semasa. ITBM misalnya pernah menerbitkan sebuah buku mengenai mek mulung yang merakamkan temu bual dan gambar-gambar mek mulung tradisi di Kampung Wang Tepus.

Kerana sifatnya sebagai sebuah kesenian tradisi, maka nilai tradisi dan kesenian itu dengan sendirinya menjadi satu tanda aras pada mana-mana persembahan mek mulung. Hal ini sama dengan makyung, aspek tradisi dan kesenian itu mesti dikekalkan sekalipun merentasi zaman. Daripada pembacaan saya mengenai mek mulung, kesenian ini cukup unik.

Sekali lagi adakah persembahan mek mulung di MATIC itu satu evolusi? Saya berpendapat demikian kerana persembahan dalam program Panggung Seni Tradiosional JKKN diresapi banyak nilai dan elemen semasa yang sekaligus memadamkan kata kunci “tradisi” dan “kesenian” pada mek mulung.

Persembahan mek mulung “Hikayat Puteri 12 Beradik” ini ditulis dan diarahkan oleh Zamzuriah Zahari dipersembahkan oleh Kumpulan Darinai Dance. Turut ditampilkan di pentas ialah tokoh-tokoh dan pewaris mek mulung di Kampung Wang Tepus seperti Ahmad Shahadan, Saad Taib, Kamaruzaman Debak dan Ishak Man. Usaha menampilkan tokoh-tokoh ini patut dipuji.

Watak badut memainkan peranan penting dalam kesenian tradisi Melayu. Dalam wayang kulit, makyung, bangsawan termasuk mek mulung. Badut mempunyai lesen yang besar dalam lingkaran cerita istana dan pembesar-pembesar istana. Badut jugalah yang diberi kuasa mempermain-mainkan atau mengkritik pembesar istana.

Jadi, badut bukanlah watak tempelan sebaliknya watak utama setaraf dengan pembesar istana. Badut menjadi pemangkin aliran cerita. Walaupun begitu badut mesti diberikan lingkaran dalam “ruang” lakonnya. Kehadiran badut tidak boleh menjadi kerencatan atau kerosakkan pada aliran cerita dan latar zamannya. Kelakar badut mesti terkawal dan tidak terbawa-bawa memberi reaksi kepada penonton yang berteriak di depan pentas. Badut adalah pelakon, bukan pelawak.

Advertisement

Oleh yang demikian, saya mendapati watak badut dalam persembahan mek mulung ini, dua watak bernama Awang terkeluar jauh dari aliran cerita. Pengarah tidak sepatutnya memberi kelonggaran kepada watak Awang keluar dari aliran dan ruang cerita. Sebenarnya menuturkan lenggok dan istilah di luar aliran cerita pun sudah menjejaskan, apatah lagi menyelitkan bahasa Inggeris yang hanya mempunyai nilai humor pada ketika ini.

Sekiranya persembahan dua badut utama ini dipisahkan dengan mek mulung, tidak dinafikan ia suatu yang penuh dengan nilai humor. Tetapi apabila dialirkan selari dengan cerita, pendekatan humor mesti dibataskan dalam ruang zamannya. Ini kesenian tradisi, nilai tradisi mesti dijaga.

Begitu juga dengan dialog beberapa dayang-dayang raja yang mencetuskan humor tetapi terkeluar dari aliran cerita. Pengarah mesti memberikan penegasan yang menyeluruh terhadap ciri-ciri tradisi dan kesenian pada persembahan ini. Tidak terkecuali watak badut dan dayang kerana ia tidak terpisah malah satu kesatuan dalam pementasan.

Menyelitkan isu trangender dalam mek mulung ini adalah tidak wajar. Malah dalam beberapa dialog, ada unsur-unsur yang menyentuh peribadi individu tertentu masa ini. Hal ini perlu dielakkan. Tidak sepatutnya peranan badut berubah menjadi jenaka remeh (low farcical slapstick comedy).

Kalau saya seorang pelancong yang baru pertama kali menonton mek mulung, persembahan ini telah memberikan tanggapan yang kurang tepat terhadap kesenian tradisi mek mulung. Kehalusan seni pada pengucapan mesti dikawal kerana mek mulung bukan persembahan lawak sekalipun ada lawak dalamnya.

Bagaimanapun persembahan muzik, kostum dan gerak di pentas memberikan penegasan tentang keseniaan dan ciri-ciri tradisi mek mulung. Saya dapat menghayati dan menikmati muzik tradisi ini serta gerak di pentas. Reka kostum memperlihatkan usaha bersungguh-sungguh untuk menepati ciri-ciri tradisi dan seninya.

Mek mulung sebuah persembahan yang menggabungkan nyanyian, lakonan, tarian dan jenaka. Ciri-ciri ini ada pada banyak kesenian tradisi kita misalnya bangsawan dan makyung. Ciri-ciri tradisi mesti dikekalkan sekalipun menggunakan teknologi pementasan yang terkini, misalnya pada sistem bunyi dan tata cahaya.

Inisiatif JKKN menghidupkan kesenian tradisi menerusi program Panggung Seni Tradisional yang mula diperkenalkan sejak 2013 suatu yang amat bertepatan dengan matlamat pelestarian kesenian tradisi. Oleh yang demikian mereka yang diberi kepercayaan oleh JKKN mengisi program ini mesti meletakkan keutamaan pada nilai seni dan tradisi sesuatu persembahan itu.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *