Lirik lagu Sumbangsih

Oh sumbangsih jiwa ke jiwa
Nada kasih lagu bahagia
Nan kurindu masa ke masa
Tapi kecewa dilanda cinta

Oh rembulan tempat mengadu
Kami insan dahaga rindu
Ingin bersatu hidup bersama
Mengenang cintamu yang mulia

Kini semua hancur dan musnah
Niat bercantum badan berpisah
Kembang mawar beri padamu
Lambang kita pasti bersatu

Oh sumbangsih hati ke hati
Nada rindu luhur sejati
Kami insan rindu percantuman
Kami rindukan kan keadilan.

Apabila berulang kali menghayati lagu ini, timbul semacam satu kesyahduan dan kepiluan yang menggores hati. Sekalipun tanpa teknologi rakaman yang baik, melodi, lirik dan nyanyian biduannya telag menegaskan tentang kesatuan yang seni dalamnya.

Liriknya mudah tetapi menuntut kefahaman yang berlapis-lapis. Berpandukan kata-kata yang dipilih, saya percaya Sumbangsih melampaui sebuah kisah cinta lelaki dan wanita. Kalau ditelusuri kata demi kata, rangkap demi rangkap, ada makna yang lebih besar daripada itu.

Maka tidak hairanlah kalau lagu ini dikaitkan dengan tragedi besar negara ini, keluarnya Singapura dari Malaysia. Dalam kalangan orang Melayu, Singapura adalah sebahagian Malaya. Dalam konteks hubungan negara (Malaysia) dengan negeri (Singapura) , orang Melayu menjadi penyambungnya.

Perpisahan ini amat mengesankan. Lagu ini dipopularkan oleh penyanyi M. Bakri. Tetapi pertama kali dinyanyikan oleh penyanyi R. Ismail sebagai lagu tema pementasan drama Sumbangsih di Panggung Victoria, Singapura tahun 1961.

Advertisement

Sumbangsih diciptakan oleh komposer Zainal S. Abbas (Zainal Soib Abbas) kelahiran Medan Indonesia yang berhijrah ke Singapura. Walaupun begitu lagu ini sangat sinonim dengan peristiwa keluarnya Singapura dari Malaysia yang berlaku selepas pementasan pertama tahun 1961.

Disebabkan populariti mendadak lagu Sumbangsih, diadakan pementasan kedua pementasan kedua pada 1965 tidak lama selepas Singapura menjadi sebuah negara. Pementasan ini difahamkan bukan sahaja mendapat sambutan tetapi sangat mengharukan.

Ia mengharukan kerana lirik lagu ini lebih membawa maksud Melayu yang terpisah dua; Malaysia dan Singapura. Memang benar kalau membaca perlambangan dalam lirik ini, jelas suara kecewa akibat peristiwa besar itu.

Cuba lihat bait lirik ini:

“Oh rembulan tempat mengadu
Kami insan dahaga rindu
Ingin bersatu hidup bersama
Mengenang cintamu yang mulia

Kini semua hancur dan musnah
Niat bercantum badan berpisah
Kembang mawar beri pada mu
Lambang kita pasti bersatu.”

Daripada beberapa sumber lagu ini secara tidak langsung menjadi suara orang Melayu Singapura yang terpisah dengan sanak saudara di Malaysia. Lagu Sumbangsih menjadi begitu mengharukan selepas kita mengetahui latar penciptaannya dan peristiwa yang seiring dengannya.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *