Buku Khalid Salleh Di Mata Kami

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Selepas mengikuti secara dekat perjalanan seninya selama lebih tiga dekad, saya menyimpulkan Khalid Salleh seniman yang sangat konsisten dengan prinsip kesenimanan dan prolifik dalam berkarya. Karya-karyanya sejak dahulu sehinggalah yang terakhir Jual Ubat (2013), Khalid tidak pernah berubah dalam gagasan dan matlamat berkarya. Dia tidak banyak bercakap dan berforum tetapi terus berkarya sekalipun dalam skala yang kecil.

Khalid di mata fikir saya adalah anugerah kepada dunia kesenimanan sejagat. Ketegasannya tentang sebab musabab berkarya dan keterlibatan dalam seni tidak tergugat oleh apa-apa dan sesiapa sekalipun. Seni di tangan Khalid adalah wahana yang menghantar prinsip dan pemikiran. Dia seorang pemikir dan pemerhati sosial yang amat tekun.

Benar, Khalid tidak ada sijil (baca ijazah). Tetapi dalam banyak perkara dia mengatasi ketekunan dan ketajaman berfikir dalam kalangan ahli akademik yang memiliki sijil atau perakuan. Kelebihannya itu kemudiannya ditambah dengan prinsip Khalid yang kebal daripada rasukan material. Inilah yang membuatkan seniman jalanan ini bukan sahaja sukar malah tidak dapat dibeli prinsipnya atau dilencongkan matlamatnya.

Apabila mendeklamasi, kesan kepada jiwa khalayak adalah sangat luar biasa. Keterampilannya di pentas dengan kekaguman amat memagut perhatian. Khalid mungkin tewas sekiranya menyertai sayembara mendeklamasi puisi, tetapi pengalaman seorang aktor melonjak keterampilan sebagai deklamator. Kalau Indonesia berbangga dengan W.S Rendra, kita berbangga dengan Khalid Salleh.

Khalid bukan sahaja deklamator, dia juga sasterawan yang mengolah dan menggaul sendiri pemikiran dalam puisinya. Dia seorang aktor yang terdidik dengan disiplin dan penguasaan “ruang dan masa”, sekaligus menjadi kunci keterampilannya di pentas. Ini kerana seseorang deklamator sewajarnya tidak harus lupa diri dan ruang apabila berada di pentas.

Khalid, seorang aktor, sasterawan dan teateris yang sukar untuk didua atau ditigakan. Dia adalah satu-satunya seniman yang menguasai secara kukuh disiplin sastera, teater dan lakon. Dia melampaui tanda aras seorang yang “serba boleh” tetapi serba hebat dalam jalur-jalur kesenian yang diwarnai. Dia tidak menjadi lain selain seniman, setidak-tidaknya sejak pengamatan saya tiga dekad lalu. Menjual ubat di Jalan Masjid India Kuala Lumpur itu pun adalah proses pembinaan seorang aktor. Bukan jual ubat seperti orang lain.

Kalau tidak masakan tokoh seperti Krishen Jit dapat mengesan luar biasanya penjual ubat bernama Khalid Salleh ini untuk diserahkan tunggak utama dan tunggal teater Bukan Bunuh Diri karya Dinsman. Krishen Jit bukan sahaja terkenal dengan sifat sangat “cerewet” tentang pelakon malah amat berhati-hati. Hasilnya Khalid memberikan tafsiran yang berbeza kepada watak Adam dalam Bukan Bunuh Diri.

Teater ini menjadi peluncur yang membawa Khalid dari ruang jual ubat di Masjid India ke dunia yang hampir serupa; pentas teater yang menuntut kekuatan aksi dan suara. Maka Bukan Bunuh Diri hanya melangsungkan dirinya dalam kondisi dan ruang yang baru.

Saya mengikuti dengan membaca dan menonton semua karya-karya Khalid sejak kenal dan rapat pada 1984 di Pusat Seni (sekarang pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara – JKKN Wilayah Persekutuan) bersebelahan Balai Polis Jalan Bandar. Saya membaca hampir semua puisinya, saya menonton semua teater arahannya dan jua semua lakonannya di filem.

Ketika itu hampir setiap petang hingga malam saya menjadi sebahagian gelandangan teater di Pusat Seni, tempat yang mempertemukan saya dengan aktivis-aktivis teater yang sebelum itu hanya dibaca di akhbar. Di situ juga saya mengenali pemuda berambut panjang bernama Sani Sudin dan Syed Indera Syed Omar (Siso) yang “melalak” dengan lagu Masihkah Kau Ingat. Di situ juga saya mengenali dan rapat dengan Aziz H.M yang menulis puisi Akhir Disember Ini, yang kemudiannya dilagukan oleh Kopratasa. Akhirnya mereka semua menjadi kawan.

Advertisement

Khalid ibarat Pak Lurah atau Tok Batin kepada gelandangan teater ini. Dia amat dihormati oleh gelandangan teater di Pusat Seni malah menjadi rujukan. Katanya jarang dibantah, bukan kerana usia (lebih kurang 35 tahun) tetapi pengalamannya yang panjang. Ketika itu juga dia sudah mengamati politik Melayu yang tenat; kafir mengkafir sesama Islam. Khalid menulis buku Siapa Mengkafir Siapa pada 1986 tetapi difahamkan buku itu diharamkan.

Sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an, Khalid banyak mementaskan naskhah karyanya sendiri. Seingat saya Khalid hanya berlakon di bawah arahan orang lain dalam Malam Haram (arahan Rosminah Tahir), Bukan Bunuh Diri (Krishen Jit) dan Wangi Jadi Saksi (U-Wei Haji Saari). Selebihnya mementaskan dan mengarahkan sendiri. Antara karya teaternya; Gong Gedombak, Umbut Mayang Mengurai, Sijil Penuh, Bertam Bukan Semambu, Kena Main, Si Bereng-Bereng, Benda Sulit dan Bangsat.

Teater monolog telah membawa Khalid ke pentas antarabangsa. Misalnya teater monolog Pawang dipentaskan di Jepun dan Khalid menjadi salah seorang wakil negara. Kemudian Jual Ubat yang dihasilkan pada empat tahun terakhir hayatnya. Monolog ini dibawa menjelajah hampir semua bandar-bandar utama di Indonesia selepas dipentaskan di seluruh Malaysia.

Monolog Jual Ubat yang banyak mendapat sokongan moral dan kewangan daripada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) terbukti meletakkan Khalid di puncak kerjayanya sebagai seorang aktor, sekaligus sasterawan. Jual Ubat adalah kesepaduan pengalaman, ilmu dan pemikiran pada tiga atau empat tahun terakhir Khalid Salleh.

Malah seperti pusingan dari titik mula Khalid sebagai pemain tunggal di medan jual ubat kemudian menjadi aktor tunggal monolog Jual Ubat. Akhirnya dia kembali kepada asal usulnya dan Jual Ubat juga kemuncak proses kelahiran seorang seniman besar bernama Khalid Salleh. Bezanya dahulu dia bermonolog selama lima jam tanpa henti di Jalan Masjid India, namun dalam teater Jual Ubat hanya dua jam sahaja.

Selepas mengamati semua lakonan Khalid dalam filem Kaki Bakar, Jogho dan Hanyut yang semuanya diarahkan oleh U-Wei Haji Saari, serta teater Wangi Jadi Saksi oleh pengarah sama, saya tidak teragak-agak menyimpulkan bahawa monolog Jual Ubat adalah kemuncak keberadaan dan permainan seorang aktor.

Khalid ternyata hebat dan luar biasa dalam menghidupkan watak Mamat dalam Jogho sehingga berjaya meraih gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Asia Pasifik. Tetapi saya tidak terlalu berbangga dengan gelaran yang pernah disandang oleh P. Ramlee 44 tahun sebelum ini kerana bagi saya Khalid telah pun membina kejayaannya yang lebih besar daripada gelaran itu.

Sebagai Kakang dalam Kaki Bakar atau Mamat dalam Jogho, Khalid memberikan suatu yang sangat luar biasa kepada U-Wei Haji Saari. Pemilihan Khalid untuk kedua-dua filem ini dan teater Wangi Jadi Saksi adalah kecemerlangan U-Wei Haji Saari “membaca” dan menyusuri Khalid. Aktor hebat hanya untuk pengarah yang hebat.

Khalid menutup tugasnya sebagai seniman dengan Jual Ubat. Ini sangat signifikan dengan dunia asalnya. Dari sebuah kisah kecil yang diperhatikan, Khalid berbicara tentang tasawuf dan hakikat manusia. Kisah penjual ubat hanyalah wahana menyampaikan pesan dan dakwah yang sarat termuat dalam ocehannya. Sebagai pencerita, Khalid mempertontonkan kepada khalayak bahawa semua manusia sewajarnya mempunyai matlamat dan kesedaran sebagaimana dirinya; mencari hasil dan reda Allah.

* Penulis adalah pengendali laman web KUSEMAN.COM


Nota: Tulisan ini dipetik dari buku Khalid Salleh Di Mata Kami terbitan ITBM. Buku ini menghimpunkan tulisan 37 teman rapat Khalid Salleh. Kata Pengantar oleh Johan Jaaffar. Harga RM40.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *