Makluman:  Tulisan saya ini pernah disiarkan di Mingguan Malaysia pada 24 Oktober 2004 dengan tajuk asal "Jangan lambakkan gelaran Datuk.

PERTAMA sekali kita wajar berbangga dengan ketegasan kerajaan negeri Selangor menggantung gelaran enam Datuk yang dianugerahkan oleh Sultan Selangor. Pada masa yang sama kita juga berterima kasih dengan sikap proaktif kerajaan Selangor selepas heboh sana sini mengenai perilaku sesetengah Datuk yang tidak menjunjung kemuliaan gelaran itu.

Enam yang digantung gelaran itu adalah mereka yang sedang dan akan dihadapkan ke mahkamah kerana kes salah laku. Sebelum ini gelaran Datuk seolah-olah hak mutlak penerima sekalipun terlibat dalam jenayah.

Selangor adalah negeri pertama yang mengambil tindakan pantas selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju gelaran berkenaan ditarik balik sekiranya penerima terlibat dalam kes salah laku atau jenayah.

Ada dua perkara penting mengenai penganugerahan Datuk. Pertama mereka yang dianugerahkan gelaran itu tidak mampu menjaga kemuliaan gelaran tersebut. Ini termasuklah banyak Datuk yang dihadapkan ke mahkamah kerana salah laku seperti rasuah dan sebagainya.

Seperti biasa, sesetengah manusia boleh berubah lebih cepat daripada anak sungai. Sebelum dapat gelaran Datuk lain, selepas dapat Datuk jadi lain pula. Persepsi serong bahawa Datuk kebal daripada undang-undang membuatkan ada yang menyalahgunakan gelaran tersebut.

Manusia cepat berubah. Kalau berubah daripada yang sewajarnya kepada yang paling tidak wajar, pihak istana kena bertindak pantas untuk menggantung atau melucutkan. Ini untuk menunjukkan salah laku yang dilakukan oleh Datuk adalah perkara yang dipandang serius.

Memalukan

Tindakan yang barangkali dilihat sebagai “memalukan” penerima gelaran sebenarnya bertujuan memastikan hanya yang mulia dan berjasa saja dianugerahkan kemuliaan.

Perkara kedua, syarat pemilihan yang longgar. Mereka yang tidak menepati syarat dan etika untuk diberi kemuliaan itu juga terpilih menerimanya. Makna dan justifikasi “sumbangan” wajar ditelaah dengan jelas lagi bertanggungjawab.

Memanglah gelaran Datuk untuk mereka yang memberikan sumbangan dan kejayaan. Tetapi sumbangan atau kejayaan yang bagaimana untuk mewajarkan dianugerahkan gelaran? Sekarang kelihatan mudah untuk ahli sukan, artis atau ahli perniagaan mendapat gelaran Datuk. Benar-benar menepatikah justifikasi “sumbangan kepada negara” yang diberikan oleh mereka ini?

Bayangkan setiap tahun lebih kurang 6,000 orang dipilih untuk dianugerahkan pelbagai darjah kebesaran. Angka 6,000 bukan kecil dan adakah semuanya menepati jasa dan sumbangan kepada negara? Jangan terkejut kalau daripada jumlah itu 600 menerima gelaran Datuk.

Mengikut statistik tahun 2002, sebanyak 6,314 orang dianugerahkan darjah kebesaran dan 513 daripadanya dianugerah gelaran Datuk. Kalau diperincikan, Johor hanya menganugerahkan gelaran Datuk kepada dua penerima, Kedah (38), Kelantan (25), Melaka (78), Negeri Sembilan (53), Pahang (98), Perak (61), Perlis (15), Pulau Pinang (64), Sabah (57), Sarawak (14), Selangor (5) dan Terengganu (23).

Lebih memburukkan lagi apabila tidak dirujuk kepada pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan penerima benar-benar mempunyai moral dan perilaku yang bersih.

Syarat-syarat

Anugerah Jaksa Pendamai (JP) misalnya adalah satu pelantikan yang dibuat di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948. Tetapi anugerah Datuk tidak ada syarat-syarat yang jelas.

Isu ini timbul selepas kerajaan negeri Melaka mengurniakan gelaran Datuk kepada 84 penerima. Jumlah ini pada relatifnya sangat luar biasa kalau dibandingkan dengan pengurniaan Datuk di negeri-negeri lain tahun 2002.

Lambakan “Datuk” dari Melaka sempena hari ulang tahun Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob itu telah mencetuskan isu yang pernah dibangkitkan akhir tahun lalu. Kenapa gelaran tradisi dan selaras pula dengan sistem Raja Berperlembagaan menjadi bahan mainan?

Pada September lalu bekas Ketua Setiausaha Negara Senator Tan Sri Abdullah Ayub pernah menyuarakan kebimbangannya apabila negara ini mempunyai terlalu banyak yang bergelar Datuk.

Beliau bimbang apabila terlalu banyak, nilainya menjadi susut di mata rakyat. Kebimbangan beliau dikongsi dengan banyak pihak lain yang sebenarnya memendam rasa apabila ada yang membuat jenaka; kalau baling batu, yang kena adalah Datuk kerana terlalu banyak.

Memang wajar ditelaah semula syarat dan etika penerima gelaran Datuk. Ini supaya mereka yang dipilih dan dikurniakan gelaran semulia itu berada di tempat yang sepatutnya. Sultan dan raja mempunyai kuasa mutlak untuk menarik balik gelaran yang dikurniakan itu.

Kemuliaan

Menerima gelaran bererti menjunjung kemuliaan yang diberikan oleh pihak istana. Dalam budaya Melayu, istana itu tinggi dan mulia. Memberi gelaran adalah salah satu amalan yang diterima oleh semua. Ternyata amalan ini tidak ada apa salah silapnya kerana rakyat menerima bahawa yang terpilih diberi gelaran itu adalah kerana percaya sumbangan Datuk kepada negara.

Maka dalam kesempatan rakyat masih percaya bahawa Datuk adalah orang yang berjasa, pihak yang memberi tidak boleh teragak-agak untuk menggantung atau melucutkan mana-mana penerima yang didapati tidak wajar lagi menjunjung gelaran itu. Ini bertujuan menjaga imej pihak istana dan tidak mencemarkan amalan yang selaras dengan sistem Raja Berperlembagaan.

Alasannya mudah saja. Kepada mereka yang memberi sumbangan bakti kepada bangsa dan negara berilah tanda yang membezakan dengan orang biasa. Tetapi sumbangan atau kejayaan yang bagaimana? Itu satu bab penting yang mesti ditekankan. Misalnya tidak semua kejayaan membina empayar perniagaan boleh disamaertikan dengan sumbangan kepada bangsa dan negara. Wajarkah gelaran untuk mereka?

Apabila berlaku penganugerahan gelaran tidak mengikut syarat yang selayaknya, ini dengan sendiri mencetuskan satu fenomena sosial yang buruk dalam kalangan rakyat. Misalnya tujuan gelaran sebagai tanda mereka ini berada di tahap yang lain daripada orang biasa. Ukuran di sini ialah sumbangan mereka.

Tetapi apabila penganugerahan menjadi begitu murah, ia sudah tidak bernilai lagi. Fenomena buruknya apabila rakyat tidak menghormati penerima gelaran Datuk kerana ia bukan lagi satu tanda ketinggian nilainya.

Selain pihak pemberi, penerima juga mempunyai tanggungjawab untuk berlaku jujur kepada dirinya dan masyarakat sekelilingnya. Empunya diri pasti tahu apa sumbangan yang telah diberikan hingga dianugerahkan setinggi itu? Kalau merasa tidak wajar menerima, semulia-mulia tindakan ialah menolak. Bukannya menerima kemudiannya memberikan nilai yang buruk kepada gelaran mulia itu. Adakah yang telah dan akan berbuat begitu? Cubalah jujur kepada diri sendiri.

Jangan permurahkan nilai bintang kebesaran dalam tradisi Melayu itu sama dengan kulit siput.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *