Gladiator adalah wira-wira bebal dan bodoh yang dilagakan seperti haiwan oleh tuannya.

Pemikiran feudal yang diwariskan kepada orang Melayu ialah setia membuta tuli kepada golongan elit Melayu. Era neofeudalisme  ini sebenarnya mempunyai pemikiran feudal yang lebih dahsyat berbanding era feudal sendiri. Elit Melayu daripada golongan politik menuntut rakyat setia membuta tuli kepada mereka.

Sebabnya selepas berakhirnya era feudalisme, bermula pula era baru neofeudalisme di mana tempat pembesar-pembesar feudal digantikan dengan golongan elit yang berpengaruh dan berkuasa dalam dunia politik.  Mereka inilah yang menyuburkan  sikap dan pemikiran konservatisme feudal dalam kalangan rakyat untuk mengekalkan kuasa.

Dulu pembesar-pembesar feudal menonjolkan wira dalam kalangan orang Melayu yang tidak mempunyai pemikiran atau pandangan dunia yang luas terhadap keadilan sosial. Kerana kecetekan pemikiran dan  bebal  mudahlah  pembesar feudal mengawa mereka.  Maka tidak hairanlah kalau wira Melayu era feudal  adalah  yang boleh dipegang tali hidungnya. Mereka ini setia melulu.

Wira ini jenis  begini diperlakukan seperti haiwan, diperagakan kehebatan bertarung di tengah gelanggang sambil disaksikan oleh pembesar-pembesar feudal. Wira pun bertarung setengah mati dengan kudrat, bukan ketinggian pemikiran untuk mematahkan hujah lawan.  

Disebabkan oleh akal dan pemikiran mereka dangkal, kehebatan hanya diukur pada kekuatan fizikal bukan daya intelektual. Cuma  lebihnya wira ini mempunyai tahap kesetiaan yang sangat tinggi, sekalipun pada hal-hal yang bertentangan dengan agama, moral atau sosial.  Mereka tidak takut kepada Tuhan tetapi takut kepada pembesar feudal.

Maka tidak hairanlah kalau  samseng-samseng  yang tidak menyumbang kepada kemajuan intelektual orang Melayu zaman dulu diangkat sebagai wira. Terus disanjung zaman ke zaman dalam pendidikan sejarah di negara kita. Sumbangan kemasyarakatan tidak menjadi ukuran sebaliknya dilihat sejauh manakah kesetiaan berkorban kepada pembesar feudal terhadap hal- hal yang tidak menyumbang kepada kebaikan masyarakat. 

Penjajah amat suka dengan sikap pembesar feudal yang membentuk wira  setia membuta tuli ini untuk menjaga kelangsungan kuasa seperti ini. Maka penjajah pun mendekati pembesar feudal sebagai seorang rakan bukan musuh di mana bangsanya akan ditarah kemudiannya.

Pemikir  tersohor S.H. Al Attas dalam  buku The Gradding of Accupational Prestige Amongs the Malay ini Malaysia dalam jurnal Modernization and Sosial Change menulis, “……modenisasi dan penjajahan Malaya, walaupun membawa perubahan-perubahan sosial, tidak menyebabkan kejatuhan golongan bangsawan tradisional tetapi sebaliknya memperkukuhkan kedudukannya. Kehilangan kuasa mereka di tangan British telah diganti dengan peningkatan kuasa pentadbiran dan kuasa sosial.”

Pemikiran feudalisme ini dialirkan kepada golongan elit Melayu yang berkedudukan tinggi dalam politik, berkuasa dan berpengaruh dalam sistem sosial dan politik moden. Ini berlaku selepas negara mencapai “kemerdekaan” daripada penjajah. Elit Melayu ini juga  menonjolkan  wira-wira yang  setia  melulu  untuk menjadi tunggak kepada kuasanya.

Advertisement

Pada masa yang sama elit Melayu ini mempotretkan dirinya sendiri  sebagai wira   kononnya  mempertahankan sesuatu yang menggugat kedudukan  orang Melayu. Ironinya dalam banyak hal tindakan golongan elit Melayu ini  bertentangan dengan agama, etika moral atau budaya.  Hal yang sebenarnya elit Melayu mempertahankan kepentingan mereka bukan kepentingan orang Melayu.  Malah selalu mengugut, sekiranya mereka tidak terus diberi kuasa,  orang Melayu akan ditindas.  Ironinya merekalah yang menindas Melayu.

Menjulang Hang Tuah kerana  kerana setia buta tulinya adalah satu bentuk  penerapan konservatisme feudal kepada orang Melayu hingga sekarang. Konservatisme ini mengalir kepada elit Melayu kemudian  mencipta  wira-wira Melayu yang  bebal, cetek pemikiran, samseng dan oportunis yang kononnya memperjuangkan orang Melayu.  Malangnya wira-wira bebal ini diterima kerana setianya kepada elit Melayu.

Sebenarnya wira ini hanya memperjuangkan kelangsungan elit Melayu. Pada masa yang sama pula dari setiap penjuru dan setiap masa, orang Melayu diperingatkan dan dijaja tentang masa depan mereka akan gelap sekiranya tiada elit Melayu. Peringatan-peringatan yang berupa ugutan ini diulang-ulang hingga tertanam di benak orang Melayu.

Oleh hal yang demikian tidak menghairankan kalau sepanjang zaman ada sahaja wira Melayu yang  bebal  ditonjolkan sebagai wira. Mereka  menjadi benteng kelangsungan kuasa  elit Melayu.  Hingga sekarang  sesetengah wira yang ditonjolkan oleh elit Melayu adalah yang dangkal dan tumpul dunia fikirnya. Wira-wira ini sanggup membuat kerja-kerja membodohkan diri  demi kepentingan elit Melayu yang menjadi ketuanya.

Taat setia membuta tuli ini membuatkan wira itu membisu terhadap kelemahan dan kemungkaran  golongan mereka. Pada masa yang lain pula mereka menjadi proaktif meluahkan hujah hujah dangkal semata-mata untuk  mempertahankan  elit Melayu  yang menyediakan kemewahan dan kedudukan kepadanya.  Mereka diberikan pangkat, gelaran dan imbuhan kerana kedangkalannya.

Pada era feudalisme wira disuruh berlawan seperti haiwan di tengah gelanggang dan disaksikan oleh pembesar-pembesar istana sambil bersukaria dengan dayang-dayangnya. Pada era moden ini pula elit Melayu juga melakukan hal yang sama. Mereka sendiri  tampil “berlawan” dengan lawan  serta memperagakan sekelian banyak kebodohan yang ada demi kelangsungan kuasa tuannya.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *