Kalau dengan kapal layar boleh membawa manusia seperti Ferdinand Magellan mengelilingi dunia, buku pula bukan sahaja membolehkan manusia mengelilingi dunia malah menaklukinya. Buku adalah jendela untuk kita terbang ke seluruh dunia dan menyusuri pelbagai khazanah ilmu yang tersimpan di dalamnya.

Sejak turut berjual buku di Pasar Buku Bangi sejak setahun lalu (setiap Sabtu kedua dan keempat) dan bergaul dengan peminat dan pembaca tegar serta ahli-ahli akademik yang selalu datang ke pasar itu,  saya mendapat pengalaman baru dunia pembacaan.

Malah mereka mengesyorkan buku-buku sebahagian besarnya buku nadir untuk dibaca selain banyak buku koleksi saya yang bercorak pemikiran dan sosial bertukar ke tangan mereka. Kemajuan dan luasnya alam fikir bukanlah dijelmakan dengan gaya hidup mewah, urban dan metropolitan.

 

Banyak yang memperagakan gaya hidup mewah, bersidai di cafe-cafe mewah di Kuala Lumpur yang mundur alam fikir mereka. Ini disebabkan mereka memilih untuk membeli gaya hidup bukan buku untuk menambah pengetahuan dan menakluki dunia. Maka tidak hairan kemewahan itu menjadi janggal kerana diletakkan pada individu yang kecil alam fikirnya.

Saya mendapati sekarang ini telah wujud satu keghairahan dalam masyarakat  membaca buku. Kerap ditemui mereka yang berlumba-lumba mendapatkan buku yang baik dan tinggi nilai ilmunya. Tidak itu sahaja malah memantau buku-buku baru dari luar yang masuk ke pasaran negara ini.

Membaca adalah pemangkin   menjadikan manusia berjiwa dan beradab. Orang bijak pandai ada berkata, untuk membezakan antara seorang dengan yang lain lihatlah buku yang dibaca dan kawan yang didampingi.

Membaca bukan untuk untuk lulus peperiksaan; tidak kira untuk lulus sijil sekolah menengah atau untuk mendapat gelaran sarjana. Sebaliknya itu adalah keperluan sepanjang hayat. Ini kerana mencari membina diri supaya beradab dan berjiwa menerusi ilmu dari buku yang dibaca tidak pernah ada titik hentinya.

Buku berupaya memberikan keseimbangan kepada kecerdasan intelektual atau IQ.   Telah terbukti kecerdasan intelektual sahaja belum cukup menjadikan manusia beradab dan bertamadun kecuali turut memiliki kecerdasan emosi dan jiwa.

Buktinya Theodore John Kaczynski atau Ted seorang remaja genius memperoleh gelaran dokor matematik di Universiti Harvard pada usia 20 tahun. Kecerdasan intelektual atau IQ Ted sangat tinggi tetapi tidak diimbangi dengan kecerdasan emosi dan jiwa menerusi dunia pembacaan.

Akibatnya Ted mencipta bom yang mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan 23 yang lain. Ini disebabkan Ted mengalami ketidakseimbangan antara kecerdasan intelektual dan kecerdasan jiwa. Ted mengalami  kecacatan dalam membangunan hubungan sosial dengan manusia lain. Membaca adalah mengasuh jiwa selain mengutip sekian banyak ilmu dan pengajaran yang tersimpan dalam buku.

Ted mungkin tidak menjadi pembunuh apa lagi pereka alat membunuh manusia sekiranya kecerdasan intelektual diseimbangkan menerusi dunia pembacaan bahan-bahan bernilai baik bagi mewujudkan EQ (Emotional Quontien). EQ adalah jiwa atau rasa kemanusiaan yang tinggi yang dijana menerusi pembacaan.

Apabila seseorang itu menjadi pembaca perlu pula mengasah kemahuan untuk mengalirkan pengalaman di dunia pembacaan itu dalam bentuk tulisan. Buku dan budaya menulis mempunyai hubungan yang sangat rapat. Seorang pemburu ilmu yang baik akan mengalirkan ilmunya dalam penulisan. Buku adalah tempat yang menadah aliran ilmu itu.

Oleh hal yang demikian untuk menjadi penulis yang baik tidak kira siapa termasuk wartawan mesti menjadi pemburu ilmu yakni pembaca yang tegar. Menulis bermakna mengalirkan ilmu dan pemikiran yang disaring dan digubah dari dunia pembacaan. Buku adalah wahana yang menadah ilmu yang dituangkan itu.

Michael Hart dalam buku The Hundered Most Influential Persons In History meletakkan penemu kertas, Ts’ai Lun pada zaman Raja Ho Ti tahun 105 Masihi di tangga ketujuh selepas Nabi Muhammad, Issac Newton, Nabi Isa dan lain-lain lagi. Tempat ketujuh juga pada perkiraan Hart ialah penemu mesin cetak, Johan Gutenburg.

Tetapi akhirnya Hart mengekalkan Ts’ai di tempat ketujuh kerana kewujudanya lebih awal berbanding Gutenburg. Dengan adanya kertas, tanpa mesin cetak juga ilmu boleh disebarkan walaupun lingkarannya kecil. Tetapi mesin cetak tetap penting untuk menghasilkan buku. Kewujudan dua manusia ini mengubah lanskap bidang keilmuan di dunia; penemuan kertas dan mesin yang boleh mencetak kertas menjadi buku.

Demikianlah perihal buku dan dunia pemburu ilmu yang pelbagai ragamnya. Saya menjadi pembaca tegar kerana kerjaya wartawan menuntut terus mempertajamkan pemikiran dari masa ke semasa. Pembaca sekarang semakin kritis pemikirannya. Tidak boleh memperlekehkan mereka dengan tulisan yang tidak menjentik pemikiran. Memang benar, wartawan bukanlah manusia yang serba tahu, tetapi membaca salah satu kaedah supaya lebih banyak tahu.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *