Bob Woodward penulis buku Obama’s War

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Amerika Syarikat (AS) melancarkan perang ke atas Afghanistan pada 7 Oktober 2001 sebagai reaksi kepada serangan pada 11 September 2001 yang meranapkan menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York. Serangan itu bukan sahaja menggegarkan New York malah AS seluruhnya apabila sistem keselamatan negara itu dicerobohi dengan mudah.

Pada 2008 AS mendapat Presiden baru, Barack Obama. Kerja-kerja jahat Bush yang belum selesai terpaksa ditanggung oleh Obama antaranya perang Afghanistan. Obama perlu menyelesaikan perang di Afghanistan dan mengeluarkan 30,000 tentera AS di negara itu.

Strategi dan pelan tindakan Obama yang sebahagian besarnya bertentangan dengan Pentagon, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Jabatan Keselamatan Negara didedahkan dalam buku terbaru wartawan veteran Bob Woodward, Obama’s War.

Woodward diingati kerana bukunya yang kontroversi, All The President’s Men yang merakamkan kejayaannya membuat pembongkaran skandal Watergate dalam akhbar The Washington Post tahun 1970-an. Akibat pembongkaran itu Presiden Richard Nixon terpaksa meletak jawatan.

Menerusi buku Obama’s War, Woodward sekali lagi menggemparkan apabila mendedahkan strategi dan pendekatan Obama membuat keputusan berhubung perang Afghanistan.

Selepas Pentagon, CIA dan Jabatan Keselamatan Negara gagal menangani perang Afghanistan, Obama membuat strategi sendiri untuk memerangi Afghanistan. Antaranya Woodward mendedahkan bagaimana Obama menolak cadangan Pentagon untuk menambah jumlah tentera AS di Afghanistan.

Pada satu mesyuarat di White House 26 Oktober 2009, Obama melepaskan kemarahannya kepada Setiausaha Negara, Hillary Clinton dengan berkata, “Saya bukan buat kerja untuk sepuluh tahun. Saya tidak buat kerja jangka panjang kerana saya tidak mahu membelanjakan trilion dolar untuk itu.”

Obama’s War melibatkan temubual dengan lebih 100 individu penting dalam pentadbiran Obama yang terlibat dalam isu perang Afghanistan sepanjang 18 bulan Obama menjadi Presiden. 

Menerusinya, Woodward mendedahkan konflik dan percanggahan pendapat dalam lebih 20 sesi strategi sulit yang diadakan secara tertutup, lebih 40 perbualan peribadi antara Obama dengan ahli Kabinet dan pakar risikan. Malah mendedahkan bagaimana penasihat kanan Obama, David Axelrod meragui kejujuran Hillary apabila Obama bercadang melantik Hillary sebagai Setiausaha Negara semasa kempen pilihan raya.  “Bagaimana anda boleh mempercayai Hillary?” demikian tanya Axelrod.

Advertisement

Buku ke 16 Woodward ini boleh dianggap sebagai menyingkap di sebalik tabir pentadbiran Obama mengenai  perang Afghanistan. Banyak pendedahan yang dibuat dalam buku ini belum pernah disiarkan atau diketahui umum kerana banyak yang dikategorikan sebagai “off the records”. Buku ini juga mendedahkan bagaimana seorang Presiden muda dari kulit hitam bertindak sebagai komander tentera untuk menyelesaikan perang di Afghanistan.

Strategi Obama untuk mengeluarkan 30,000 tentera AS di Afghanistan selewat-lewat Julai 2011 mendapat tentangan  Pentagon. Komander tentera AS di Afghanistan mengkritik tindakan Obama, “Saya fikir anda tidak akan menang dalam perang ini.” 

Sebagai makluman, perang dilancar ke atas Afghanistan kerana dikatakan kubu Al Qaeda yang terlibat dalam serangan 11 September 2001. Pada masa yang sama Afghanistan ketika itu diperintah oleh rejim Taliban yang mempunyai hubungan dengan Al Qaeda.

Dalam wawancara dengan Woodward, Obama menjelaskan bahawa dia bukannya memikirkan AS akan menang atau kalah dalam perang itu sebaliknya adakah memberikan hasil yang lebih baik atau hancur pada akhirnya.

Membaca buku ini seolah-olah pembaca turut berada dalam semua sesi perbincangan tertutup, mesyuarat dan percakapan peribadi Obama dengan mereka yang mempunyai peranan dalam hal ehwal keselamatan AS. 

Malah sesekali seperti membaca novel fiksyen di mana Obama adalah watak utama seorang komander tentera yang terpaksa membuat tindakan penting supaya AS tidak terus hancur. Menerusi buku ini Obama bukan sahaja Presiden sebuah negara kuasa besar malah komander tentera, diplomat dan ketua agensi risikan yang sentiasa terdedah kepada bahaya.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *