Drama Pak Ya Cong Codei terbitan Balang Rimbun menjadi fenomena. Nama Sabri Yunus sebagai pengarah dan pelakon utama berselerak di media sosial. Kisah Pak Ya gedebe Kelantan ini juga menjadi topik bual, dari restoran lima bintang hingga gerai mamak di kaki lima.

Ironinya drama ini tidak ada pelakon yang popular tahap “gila”. Tidak ada watak CEO muda bergaya dengan kereta ultra mewah yang kerjanya bercinta di sepanjang drama. Lalu, apa sebenarnya faktornya Pak Ya Cong Codei?

Barangkali sebahagian penonton sudah muak dengan paparan artifisial di televisyen selama ini. Tidak habis-habis dengan berebut harta, bercinta dan hasad dengki yang tidak dibina dan diberi “nyawa” sebagai sebuah karya drama. Barangkali juga paparan yang sambil lewa itu tersasar jauh dari realiti sosial kononnya orang Melayu terlebih kaya dan matlamat hidup untuk berkereta mewah dan berfoya-foya dengan teman wanita sahaja.

Oleh hal yang demikian, kita wajar berbangga apabila Pak Ya Cong Codei menjadi topik bualan di pelbagai lapisan masyarakat. Ini menunjukkan wacana kemanusiaan yang dibawa oleh drama ini sampai kepada sasaran khususnya penonton drama Melayu.

Selama ini sebahagian besar drama Melayu di televisyen tidak lebih satu eskapisme sosial. Drama-drama menuntut kita meninggalkan realiti dan masuk dalam eskapisme sosial. Sebaliknya drama adalah sebuah interpretasi semula realisi sosial itu.

Ia bukan sebuah realiti sebagaimana anutan sesetengah pembuat drama atau filem yang bersungguh-sungguh memaparkan “realiti” yang mereka fahami. Kalau dunia pelacur mesti menunjukkan perbuatan melacur. Ini adalah penyakit kronik sesetengah pembuat drama atau filem kita. Hingga ada pembuat filem berkata, kalau adegan seks filemnya dipotong hilang “mesej” filem itu. Apa ni?

Pak Ya Cong Codei dirasakan begitu dekat dengan penonton bukanlah realiti tetapi sebuah interpretasi. Sabri Yunus membuat intreperpretasi semula realiti itu kemudian diletakkan dalam milieu sosial yang digarap dengan penuh sedar akan estitekanya. Milieu (latar sosial) dalam drama ini sangat baik persembahannya; sebuah komuniti orang Kelantan di pinggir Kuala Lumpur. Malah ini menjadi sebahagian daripada karakter drama ini.

Elemen kedaerahan misalnya komuniti Kelantan dan dialog dalam loghat Kelantan adalah sebahagian milieu sosial. Bagaimanapun tetap Malaysia kalau pun tidak global sifatnya. Imej Kuala Lumpur sebenarnya sangat klise dan basi dari relung lensa banyak drama Melayu. Tetapi Sabri Yunus mengungkap Kuala Lumpur dari sudut pandang geografi dan sosial yang lain.

Kekuatan Pak Ya Cong Codei pada wacana sosial dan kemanusiaan yang diangkatnya. Ceritanya seorang mafia kampung yang gedebe dari Kelantan diupah oleh seorang peguam terkenal mencari anaknya yang diculik pekerjanya sendiri.

Saya selalu percaya filem atau drama bukanlah cerita. Sebagai sebuah karya seni, cerita yang menarik sekalipun tidak ke mana kalau tidak membawa wacana. Kosong. Oleh itu wacana kemanusiaan yang dihamparkan Sabri Yunus lebih besar daripada ceritanya tentang mafia kampung dan rencah seksual pada permulaannya.

Advertisement

Pak Ya dibawa keluar dari watak klise mafia yang gemar membunuh, setidak-tidaknya samseng dengan orang sekeliling. Pak Ya seorang yang humanis, musuh yang mahu membunuhnya, Datuk Sahak dibiarkan terus hidup dengan deraan keinsafan. Pak Ya menekankan dialog yang dia bukan pembunuh, yang paling kejam dilakukan hanya menembak di telinga hingga tembus.

Kenapa Sabri Yunus mengemukakan watak Datuk Sahak sebagai peguam? Saya fikir bukan kebetulan sebaliknya terancang. Sabri Yunus mahu memberitahu, orang yang arif undang-undang yang berjaya melanggar undang. Datuk Sahak menjalankan perniagaan haram dengan Tony. Tetapi Pak Ya yang tidak arif undang-undang, mafia pula tetapi dia ada kelebihan kerana ada jiwa dan humanis.

Kerana itu juga Pak Ya memberikan semua upah RM40,000 mencari anak Datuk Sahak kepada ibu Rashdan, lelaki yang melarikan anak Datuk Sahar. Dia melarikan kerana dendam. Ibu Rashdan memerlukan RM40,000 untuk pembedahan jantung. Kesudahannya Pak Ya balik ke kampungnya dengan tangan kosong. Pak Ya mafia yang gagal kerana ada kemanusiaan dalam dirinya.

Saya melihat hal-hal kemanusiaan diungkap dengan pendekatan yang sangat menarik. Rashdan yang menculik anak Datuk Sahak bukan kerana jahat. Dia hanya mahu membalas dendam terhadap pembunuhan ayahnya oleh Datuk Sahak. Tetapi di suatu tahap, kemanusiaan mengatasi dendam dan berhasrat menyerahkan gadis itu kepada keluarganya. Adegan Rashdan berhujah dengan gadis yang diculik itu sangat menarik dan terkawal pembikinannya.

Banyak juga drama lain yang cuba membawa isu kemanusiaan tetapi banyak juga terperangkap dengan didaktik, ala khutbah dan dialog yang membosankan. Ini disebabkan tidak mampu mengikis keterujaan untuk memberi “mesej”. Apa itu mesej?

Karya seni bukan membawa mesej. Tidak perlu menonton drama kalau hendak mendapatkan mesej, dalam Whatsapp Group sangat banyak mesej “yang baik-baik”. Karya seni membawa wacana pemikiran pembuatnya, maka khalayak kenalah berfikir, bukan menelan bulat-bulat seperti membaca Whatsapp.

Kesimpulannya drama Pak Ya Cong Codei yang tidak ada pelakon kacak dan jelita, penuh gosip dan skandal dengan VIP itu dan ini, kereta mewah menjalar, ruang pejabat mewah, seolah-olah sedemikianlah kedudukan orang Melayu dalam perniagaan tetapi tetap menarik perhatian semua lapisan penonton. Ini membuktikan formula basi membariskan “batang pisang” membuat catwalk di depan kamera sebenarnya tidak terbukti berjaya. Harap pembuat drama sedar akan hakikat ini.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

2 thoughts on “Pak Ya Cong Codei”
  1. Filem Tamil dan drama Indonesia biasa memaparkan kehidupan sebenar dalam karya mereka, berbanding Melayu yang tak sudah2 dengan korporat atau profesional (pilot/peguam/arkitek dll).

    Sebuah karya yang sangat menarik hasil buah tangan otai Sabri Yunus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *